Tuesday, March 14, 2017

PPBM Cadang PH Guna 1 Logo, 1 Manifesto Serta 1 Calon Hadapi BN...


Persetujuan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang sebulat suara bersetuju untuk membentuk gabungan rasmi dengan Pakatan Harapan (PH) akan  meletakkan keadaan yang semakin kukuh kepada gabungan parti-parti politik menentang Barisan Nasional (BN).

Di bawah cadangan itu, semua tiga  parti komponen PH, bersama dengan PPBM akan menyertai pilihan raya umum (PRU) akan datang di bawah 1 logo, 1 manifesto, dan seorang calon bagi setiap kerusi yang mereka putuskan untuk bertanding.

Walaupun bersetuju untuk menyertai PH, cadangan yang dicapai oleh PPBM masih belum dibentangkan kepada PH.

Ini bukan kali pertama pemimpin berusia 91 tahun itu mencadangkan gabungan membabitkan semua parti pembangkang yang mempunyai matlamat hampir sama iaitu menewaskan kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Malah, Dr Mahathir berkali-kali menegaskan satu-satunya cara pembangkang boleh membentuk kerajaan ialah dengan syarat semua bekerjasama memastikan pertandingan 1 lawan 1 terhadap BN pada PRU14.

Pada September tahun lalu, Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir membuat desakan sama dan mencadangkan gabungan pembangkang baharu yang dinamakan “Barisan Rakyat”.

Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata gabungan tiga  pihak itu “sudah tahu mengenainya”.


“Mesyuarat hari ini fokus kepada satu perkara sahaja, iaitu penyertaan PPBM dengan PH, di bawah satu pakatan besar pembangkang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi PPBM di Petaling Jaya hari ini.

Dr Mahathir berkata perkara itu bagaimanapun belum diputuskan namanya. “Tetapi kami setuju selain nama baharu, kami juga perlu ada logo baharu dan simbol untuk PRU akan datang.”

Perkara ini akan dimaklumkan secara rasmi kepada PH mengenai keputusan kami tidak lama lagi.

PPBM juga akan mengemukakan permohonan rasmi menyertai gabungan PH namun meminta nama itu ditukar.

"(PPBM) juga bersetuju bahawa polisi yang kita persetujui ialah, kita perlu - selain daripada mengadakan nama yang baru - kita juga ingin ada suatu logo dan simbol untuk (menghadapi) pilihan raya dan mempunyai satu manifesto," kata Dr Mahathir.

Pengerusi BERSATU itu berkata, secara dasarnya BERSATU bersetuju selain nama pakatan baru, mereka juga ingin suatu logo bersama yang baru serta manifesto untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Menurut Dr Mahahir, pemimpin PH sudah mengetahui niat PPBM  mahu menyertai gabungan berkenaan. Justeru, katanya, beliau berharap, penyertaan rasmi parti berkenaan dalam HARAPAN dapat menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Ditanya sama ada beliau percaya PH akan bersetuju dengan cadangan itu, terutama membabitkan seorang calon mewakili pakatan di setiap kerusi, Dr Mahathir menjawab dengan nada positif.


Dr Mahathir yang juga perdana menteri paling lama berkhidmat berkata ini kerana PH sudah sedar kegagalan mereka menyatukan semua parti dan bertanding di bawah satu simbol, adalah alasan mereka kalah pada PRU lalu.

“Kami akan berbincang lanjut mengenai perkara ini bila kami berada dalam pakatan. Tetapi prinsipnya di sini ialah kami akan hanya meletakkan seorang calon bagi setiap kerusi bagi mewakili pakatan.

“Kemudian kami akan mendesak semua ahli pakatan untuk menyokong dan undi calon tunggal itu,” katanya.

Berkaitan dengan PAS, Dr Mahathir berkata parti itu amat dialu-alukan untuk menyertai pakatan baharu, walaupun perkara itu masih belum dibincangkan lagi.

“Kami terbuka untuk menubuhkan sekutu dengan mana-mana parti. Bukan saja PAS, tetapi ada dua atau tiga parti lain yang berminat,” katanya.

No comments: