Friday, March 31, 2017

EXCO PAS Tidak Wajar Tinggalkan Kerajaan Negeri Selangor


Tekanan di media sosial jangan dijadikan ukuran untuk PAS keluar kerajaan Selangor.

Kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad bahawa PAS Selangor menunggu arahan daripada kepimpinan pusat sama ada kekal atau keluar dari kerajaan negeri adalah keputusan yang baik.

Lagipun dengan langkah seperti itu PAS Selangot tidak bertindak atau mahu mendahului arahan parti, walaupun berdepan tekanan di media sosial.

Oleh kerana ketika ini tiada arahan untuk keluar daripada kerajaan negeri, adalah elok untuk PAS Selangor terus berada dalam kerajaan negeri. Lagipun, ada berbagai kemungkinan dalam kerjasama PAS dengan PKR dan kemungkinan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang juga anggota Pakatan Harapan (PH).

Walau ada pelbagai desakan, kepimpinan PAS Selangor mesti bijak mengatur strategi, apalagi dalam hubungannya dengan PKR. Setidak-tidaknya mendahulukan PKR!!!

Pada PRU13, PAS dan DAP masing-masing menang 15 DUN dengan PKR mendapat 14 kerusi sementera BN menang hanya 12 kerusi di Selangor.

Bagaimanapun PAS kini tinggal 13 ADUN selepas dua melompat ke PAS dan bekas Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR menjadi ADUN Bebas. DAP kekal dengan 15 ADUN sementara PKR juga 13 ADUN seperti PAS.


Pada  24 Mac lalu, Pemuda PAS Kuala Selangor, Subang, Serdang dan Pandan sebulat suara meluluskan usul memutuskan hubungan dengan PKR, selepas usul sama diluluskan di Tumpat (Kelantan), Permatang Pauh dan Bayan Baru (Pulau Pinang).

Ketua Pemuda PAS Kuala Selangor Ahmad Hakimi Othman berkata keputusan pihaknya dicapai berdasarkan tiga peristiwa membabitkan hubungan PAS dan PKR negeri.

1. Pemimpin PKR Melayu Islam memandang sinis usaha memartabatkan mahkamah syariah dan memejamkan mata dalam penerangan yang diberikan.

2. Pilihan Raya Kecil Sungai Besar melihatkan pengkhianatan jelas terhadap unsur-unsur tahaluf siyasi PAS yang digariskan dalam Majlis Syura Ulama, dan

3. Isu air Selangor dan pertikaian dengan Splash masih tidak diselesaikan hingga menyeret PAS dalam krisis keyakinan rakyat terhadap tindak tanduk kerajaan yang ada.

AZMIN...Bincang masalah secara tertutup.
Iskandar yang juga EXCO kerajaan negeri berkata: “Sekarang ini ramai orang yang lebih presiden daripada presiden,” tambahnya, yang juga exco kerajaan negeri.

PAS mengekalkan hubungan politik dengan PKR, walaupun selepas Pakatan Rakyat terkubur dan bertegas tidak akan bekerjasama dengan DAP dan Amanah, sekutu PKR dalam PH. 

 PKR memimpin kerajaan Selangor, yang disertai PAS, DAP dan AMANAH, hasil daripada persetujuan dalam kalangan pembangkang sejak pilihan raya umum ke-12.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini (25 Mac 2017) menggesa PAS dan PKR menghentikan perbalahan dalam media, sebaliknya kedua-dua parti perlu membincangkan masalah mereka secara tertutup.

“Ini bukan masanya untuk kita berbalah secara terbuka. Saya menggesa semua pihak duduk dan berbincang,” kata timbalan presiden PKR itu.

“Paling penting, letak kepentingan negara dan rakyat di tempat pertama kerana keutamaan kita ialah hadapi pilihan raya akan datang,” katanya.

Ketegangan antara kedua-dua parti semakin memuncak di Selangor selepas Azmin mengejek kekalahan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam pemilihan PAS Kawasan Pengkalan Chepa di Kelantan, pada 18 Mac lalu.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan nasib kerjasama antara kedua parti akan ditentukan pada mesyuarat agung tahunan yang dijadualkan pada 29 April hingga 1 Mei di Kota Sarang Semut, Kedah, selepas beberapa kawasan termasuk di Selangor meluluskan usul memutuskan kerjasama dengan PKR.

Iskandar sebelum ini memberi amaran tindakan memutuskan kerjasama dengan PKR hanya akan membuka laluan kepada AMANAH.

“Kita tidak takut hilang jawatan…tapi kita takut AMANAH akan masuk (ke dalam pentadbiran kerajaan Selangor).”

Sudah nyata bahawa tiga anggota EXCO Selangor daripada PAS tidak akan keluar daripada kerajaan negeri yang diterajui PKR selagi tidak menerima arahan pucuk pimpinan tertinggi parti.

Selain Iskandar dua lagi Exco sedang menunggu keputusan muktamar PAS bulan depan, sebelum memutuskan langkah seterusnya.

“Saya ikut arahan presiden parti sebab kita hanya ada satu presiden sahaja… buat masa ini tiada arahan untuk itu, jadi kita bertugas seperti biasa,” katanya.

Selain Iskandar, dua lagi anggota Exco kerajaan negeri daripada PAS ialah Zaidy Abdul Talib dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Hubungan PAS-PKR tegang susulan ada cadangan daripada beberapa PAS kawasan yang menuntut pucuk pimpinan memutuskan kerjasama dengan PKR selepas parti itu bertegas untuk menjalin kerjasama dengan AMANAH dan DAP.

Nik Abduh pula baru-baru ini mengesahkan rancangan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menawan Selangor.

No comments: