Friday, February 3, 2017

'Rundingan Bangsar' - PAS Sifatkan Remeh, Memalukan PPBM, Mukhriz...


Apakah usaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berunding dengan PAS kelmarin (1 Februari 2017), hanya  sebagai pertemuan membuang masa/

Apakah ia peluang PAS mempermain atau memperlekehkan PPBM dan pemimpinnya?

Hasrat PPBM ialah mencari kesepakatan satu lawan satu menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, namun kesannya jelas sekali sebaliknya.

Sudah nyata kebimbangan banyak pihak bahawa usaha PPBM itu tidak lebih membuang masa memandangkan sikap PAS yang mahu menjadi "king maker" dalam politik negara, kini terang lagi bersuluh.

Bahkan, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga menegaskan PAS tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai hubungan dengan Amanah dan DAP.

Presiden PAS itu semalam menegaskan, ‘Rundingan Bangsar’  itu belum membawa ke arah kerjasama antara kedua-dua parti.

Sebaik-baiknya  Hadi menunggu laporan hasil mesyuarat berkenaan atau keputusan Majlis Ulamak sebelum membuat ulasan.

Namun beliau nampaknya tidak sabar menyatakan pendirian walaupun pakatan pem­bangkang me­nyam­but baik perkemba­ngan terbaharu itu yang dilihat memberi harapan baharu.

Mengakui belum menerima laporan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Hadi menyifatkan  pertemuan semalam adalah pertemuan biasa atas permintaan PPBM, bukan suatu perundi­ngan khusus.

“Semalam ada pertemuan. PPBM minta jumpa dengan PAS. Jumpa sahaja. Belum ada apa-apa keputusan kerana perkara itu hanya boleh diputuskan oleh Jawatankuasa PAS Pusat.


“Kita sudah buat garis panduan dan sempadan yang PAS tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai hubu­ngan dengan DAP dan PAN. Setakat ini, hasil pertemuan belum dilapor lagi kepada saya,” ujarnya.

PPBM sebelum ini telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Pakatan Harapan dan kerjasama tersebut disahkan sendiri Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan diteruskan.

Jadi tidak hairanlah apabila rakan pembangkang PPBM, seperti PKR, DAP dan AMANAH menunggu dengan penuh minat mengenai ‘Rundingan Bangsar’ itu.

Ini dibuktikan apabila  setiausaha agungnya Mohd Anuar Tahir, berkata AMANAH berharap PPBM  melaporkan segera kepada PH mengenai keputusan yang dicapai melalui pertemuan dengan PAS kelmarin.

Parti itu mengambil maklum laporan media pertemuan antara PPBM dan PAS itu sambil menegaskan, AMANAH secara konsisten menjunjung semangat muafakat yang disepakati bersama dalam perjanjian persefahaman ditandatangani antara PH dan PPBM sebelum ini.

Yang penting, sebarang perundingan bilateral dengan pihak lain perlu dilapor kembali.

“Sehubungan itu, Amanah mengharapkan PPBM segera melaporkan kepada ketiga-tiga parti dalam PH berhubung keputusan yang dicapai melalui pertemuan dengan PAS itu,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Menilai kenyataan Hadi dan Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim bahawa perjumpaan PAS-PPBM kelmarin hanya  sembang-sembang, menimbulkan banyak pertanyaan emngenai sikap PAS terhadap pertemuan itu.

Apakah rundingan yang dianggap ‘sembang-sembang’ oleh PAS menggambarkan sikap berbeza dua parti berkenaan?

Pada PPBM, IA melihatnya sebagai ‘serius’ untuk mewujudkan pakatan, PAS anggap ia sebagai suatu perbualan semata-mata.

Lebih teruk,  apakah ia suatu perbualan kosong?

Apakah ini cara PAS melayan PPBM dan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir?

Sungguh menjijikkan jika PAS melihatnya sebagai suatu ‘sembang-sembang’ sedangkan harapan penyokong parti, khususnya PPBM yang mengharapkan ia sesuatu yang serius daripada PAS.

Selain sebang-sembang, delegasi PAS yang diketuai Tuan Ibrahim pada pertemuan itu hanya bertindak sebagai jawatankuasa perunding.

Malah ia tidak mempunyai mandat untuk membuat sebarang keputusan berhubung soal kerjasama kedua-dua parti tersebut.

Di pihak PPBM pula difahamkan, sekiranya PAS semalam bersetuju untuk bekerjasama, Mukhriz bersedia menandatangan perjanjian untuk mempercepatkan kerjasama.

Apakah ini menggambarkan bahawa PAS tidak serius dan sengaja melambat-lambat atau menangguh-nangguhkan keputusan sambil menunggu kerjasama yang ‘sebenar’ dengan UMNO.

Mungkin kerana tiada keputusan yang boleh dibuat dan sengaja ditangguh-tangguhkan Tuan Ibrahim mengatakan dalam kenyataannya semalam bahawa tiada sebarang keputusan muktamad dibuat mengenai hubungan PAS dan PPBM.

Menurutnya, segala cadangan hasil perbincangan itu akan dikaji dan diteliti oleh Jawatankuasa Teknikal Bersama seterusnya dibawa kepada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk diputuskan.

"Sebagaimana amalan dalam semua kerjasama politik (tahaluf siyasi) yang dibuat sebelum ini, begitulah juga dalam hubungan dengan PPBM, PAS akan menyerahkan kepada Majlis Syura Ulamak PAS," ujarnya dipetik daripada kenyataan beliau semalam.

Menurut Tuan Ibrahim,  badan tertinggi yang memandu parti itu akan membuat keputusan berhubung kerjasama politik bersama PPBM dengan meneliti aspek syarak sama ada boleh diteruskan atau sebaliknya.

Malah kenyataan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Mohd Zuhdi Marzuki (kanan) yang menyifatkan kerjasama PAS dan PPBM 'masih jauh' untuk terlaksana sebagai sesuatu yang tidak enak untuk didengar dan diterima oleh PPBM.
.
Katanya, semua cadangan kerjasama daripada PPBM perlu terlebih dahulu diteliti oleh Jawatankuasa PAS Pusat sebelum dibawa ke Majlis Syura Ulamak (MSU).

"MSU adalah badan yang mempunyai kata akhir untuk membenarkan kerjasama itu atau tidak," ujarnya.

Jelas dan nyata pada ketika PPBM sudah begitu yakin ‘Rundingan Bangsar’ akan membawa harapan besar, PAS melihatnya sebagai pertemuan biasa yang belum membawa makna apa-apa.

Kesian kepada PPBM dan Mukhriz yang meletakkan harapan begitu tinggi kepada rundingan di Bangsar pada hari Wilayah itu!

No comments: