Thursday, May 25, 2017

Benarkah Kajian Invoke Malaysia Hanya Syok Sendiri, Demi Anwar?


Invoke Malaysia tidak habis-habis dengan kajian untuk menunjukkan siapa sepatutnya dilantik untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia selepas pilihan raya umum ke 14.

Usaha itu dilihat boleh mengencatkan hubungan antara parti dalam pakatan itu.

Berikutan itu, kajian yang dilihat sebagai ‘syok sendiri’ itu mengundang kritikan daripada pemimpin rakan pakatan pembangkang yang melihat ia sengaja ditimbulkan.

Pengumuman kajian juga menunjukkan bahawa PKR tidak habis-habis dengan isu kononnya hanya pemimpin mereka layak untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Yang nyata dan jelas ialah ia diulang-ulang untuk ‘memaksa rakyat’ menerimanya.
Pengumuman oleh oleh Naib Presiden PKR dan Penyelaras Invoke, Rafizi Ramli itu, selang tiga hari selepas Kongres PKR membuat gimik sepanduk tertera “Anwar PM ke-7”.
Sepanduk itu diangkat di hadapan pemimpin parti lain termasuk pemimpin utama Parti Pribui Bersatu Malaysia (PPBM) yang hadir sebagai tetamu.


Sewajarnya PKR tidak membenarkan pengumuman secara terbuka mengenai perkara ini apa lagi isu siapa Perdana Menteri pembangkang turut dimainkan oleh Barisan Nasional (BN)/UMNO untuk mengelirukan rakyat.

Apakah PKR kini terikut-ikut dan terpengaruh dengan rentak permainan politik BN/UMNO yang mahu menunjukkan bahawa pembangkang gagal untuk menonjolkan siapa sebenarnya Perdana Menteri mereka jika menang pilihan raya umum ke 14?
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima  tahun, dan tidak dibenarkan bertanding dalam pilihan raya untuk lima tahun selepas dibebaskan.
Juga apa yang sedang cuba dimainkan oleh PKR melalui Invoke Malaysia apabila mengumumkan senarai calon perdana menteri paling popular pada ketika rundingan mengenai perkara itu sedang dijalankan?

Banyak persoalan yang boleh ditanya mengenai usaha dan pengumuman Invoke Malaysia ini. Yang yang utama ialah, apakah ia untuk kepentingan Malaysia atau untuk kepentingan PKR semata-mata?

Atau apakah PKR cuba menonjolkan dirinya sebagai parti yang berjuang hanya untuk Anwar serta pembebasannya, bukan untuk menjatuhkan kerajaan BN yang diselimuti oleh berbagai skandal kewangan dan kleptokrasi?


Kelmarin, Invoke Malaysia mengumumkan butiran hasil kajian olehya dengan  melibatkan hampir 18,000 responden yang menyebut pemimpin tertinggi PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan paling banyak, iaitu 23.5% sebagai Perdana Menteri.

Ini  diikuti Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan undian 17.6%, Dr Mahathir (16.5%), dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin (12.6%).

Hasil kajian Invoke Malaysia seperti diumumkan oleh Rafizi menunjukkan ‘siapa pilihan rakyat’ untuk menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan menang pada pilihan raya umum akan datang.

Pada kajian itu, Rafizi berkata sebanyak 31% daripada mereka mahu mengekalkan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri, sementara 34.6% membuat pelbagai pilihan daripada 9 orang pemimpin pembangkang, termasuk dirinya, manakala selebihnya tidak menjawab.
Ditanya mengapa pemimpin Amanah dan DAP tidak disenaraikan, Rafizi berkata kajian itu berdasarkan jumlah kerusi yang ditandingi pembangkang dan jumlah majoriti pengundi Melayu.

Berikutan pengumuman itu, semalam Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pengumuman Rafizi itu tidak akan membawa apa-apa makna sekiranya pembangkang tidak memenangi pilihan raya akan datang.


“Kalau tak menang, sesiapa pun tak boleh jadi Perdana Menteri. Perkara utama ialah menang. Kalau nak jadi calon, siapa pun boleh jadi,” katanya selepas program ceramah di Kampung Baru malam tadi.

Dr Mahathir semalam menyampaikan ceramah pada Jelajah Semarak di padang Kelab Sultan Sulaiman, Kmpung Baru bersama-sama Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Bagi Dr Mahathir,  berpendapat kajian seumpama itu lebih sesuai selepas Pakatan memenangi pilihan raya.

“Bila menang boleh buatlah. Kalau tak menang, bubuh nama, itu syok sendiri,” katanya kepada wartawan.

Isu nama Perdana Menteri menjadi perbahasan antara PKR dan pemimpin pembangkang lain selepas perwakilan PKR membuat gimik sepanduk tertera “Anwar PM ke-7”, pada kongres parti yang dihadiri Dr Mahathir dan pemimpin PPBM lain minggu lalu.

Malah, bekas menteri yang kini menyertai DAP, Datuk Zaid Ibrahim turut mengecam kenyataan PKR itu sementara  Ketua ARMADA, PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan PKR sebagai tidak sensitive.

Sebelum ini, menurut laporan, dalam wawancara ekslusif bersama FMT baru-baru ini, Dr Mahathir berkata sebarang rancangan melantik perdana menteri perlu mematuhi kedaulatan undang-undang.

“Kita berjuang untuk menegakkan kedaulatan undang-undang. Tetapi, jika (selepas) berkuasa kita tidak mematuhinya, apa hak kita untuk menegur orang lain yang tidak mengikut undang-undang?” soalnya.

Sunday, May 21, 2017

Nik Nazmi Sebenarnya Yang Memiliki "Mentaliti Saling Bangkang'......


Apa yang dimaksudkan oleh Ketua Pemuda PKR bahawa mentaliti saling bangkang' punca Pakatan Rakyat pecah?

Buta-buta sahaja Nik Nazmi Nik Ahmad menyalahkan pihak lain (selain PKR) sebagai penyebab tragedi 'perpecahan’ melibatkan gabungan pembangkang, iaitu yang terbesar sejak gabungan itu dibentuk selepas merdeka.

Apabila Nik Nazmi mengatakan percakaran dalaman secara tidak langsung memberi tanggapan kepada masyarakat seolah-olah Pakatan Harapan, sebelum ini dikenali sebagai Pakatan Rakyat, belum bersedia untuk mentadbir negara.

Hakikatnya beliau sebenarnya adalah suara pemecah pakatan pembangkang dengan memberikan ruang dan idea kepada Barisan Nasional (BN) dan sekutunya apabila menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri daripada pembangkang walaupun bekas timbalan perdana menteri itu sedang menjalani hukuman penjara.

Melalui ucapan dasar kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) semalam mengusulkan nama Anwar sebagai perdana menteri seterusnya menjadi pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Dan tidak berhenti sekadar itu apabila AMK turut menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sebagai perdana menteri sehingga Anwar dibebaskan dari penjara.

“Beliau telah buktikan sebagai ketua pembangkang yang mainkan peranan dalam membentuk PH bila terburainya Pakatan Rakyat,” kata Nik Nazmi dalam ucapan pergulungan kongres pemuda PKR ke-12 di Pusat Konvensyen Ideal di Shah Alam semalam.


Memang pendirian ini tidak mengejutkan. Tetapi apakah ini jawapan terbaik untuk meleyapkan perbuatan  pihak tertentu mempertikaikan keengganan PH mengumumkan calon perdana menteri pakatan pembangkang untuk PRU-14?

Beliau seolah-olah terikut-ikut dengan kenyataan pemimpin DAP, Datuk Zaid Ibrahim yang mengatakan Tun Dr Mahathair sesuai sebagai Perdana Menteri sekiranya pembangkang memenangi pilihan raya umum ke-14 nanti (PRU14).

Malah, beliau turut terikut-ikut dengan perkhabaran oleh pihak tertentu yang sengaja menyebarkan maklumat bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin dicadangkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menjadi Perdana Menteri.

Sedangkan persefahaman sudah dibuat sebelum ini untuk ‘tidak menamakan sesiapa sebagai Perdana Menteri’ di kalangan pembangkang, sehinggalah menang pilihanraya.

Maknanya yang penting menang PRU14 dahulu dan melalui semangat setiakawan melantik Perdana Menteri dengan melihat banyak faktor, termasuk parti mana paling banyak memenangi kerusi Parlimen – kecuali parti DAP.

Dalam soal menamakan Perdana Menteri ini, Nik Nazmi hanya melihat kesalahan pihak atau parti sedangkan kenyataannya sendiri sebenarnya boleh membawa kepada tragedi “perpecahan” melibatkan gabungan pembangkang.

Dijangkakan di kalangan pembangkang, tiga parti terkuat untuk dapat mencalonkan pemimpin mereka sebagai Perdana Menteri ialah PKR, AMANAH dan PPBM.

Ini kerana DAP sendiri, khususnya Lim Kit Siang awal-awal mengatakan beliau tidak berminat menjadi Perdana Menteri.

Malah, begitu juga dengan Dr Mahathir.


Jadi kenapa Nik Nazmi memperkatakan isu Perdana Menteri ini mesti datang daripada PKR yang seolah-oleh mahu mengeruhkan persefahaman sebelum ini yang sudah dinyatakan oleh beberapa pemimpin PH, termasuk daripada PKR sendiri - Datuk Saifuddin Abdullah.

Memanglah pemimpin parti bebas membuat kenyataan namun, apakah Nik Nazmi peka dan faham dengan apa yang sedang diusahakan oleh PH mengenai Perdana Menteri mereka sejauh ini?

Kenapa beliau melompat lebih awal  dan menyalahkan pihak lain sedangkan pengajaran daripada majoriti pengundi Pakatan Rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menunjukkan kekecewaan mereka dengan perpecahan di kalangan pakatan pembangkang.

Jika beliau dapat menghidu punca perpecahan pembangkang, kenapa beliau tidak cuba mengelak mengutarakan kenyataan yang akan mengukuhkan lagi  ‘mentaliti saling membangkang yang masih menebal’ dan menjadi punca  pakatan pembangkang gagal mengurus perbezaan prinsip secara matang?

JIka ditoleh kembali, pada 2015, Pakatan Rakyat yang ditubuhkan pada 2008 terkubur selepas PAS meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP.

Parti Islam itu meluluskan usul putus hubungan politik dengan PKR selepas mendakwa parti reformasi itu mengkhianati perjanjian “tahaluf siyasi” pada Muktamar PAS ke-63 bulan lalu.

Malah kerana pertikaian itu, seolah-olah kerajaan Selangor pimpinan PKR kini sedang terumbang-ambing.

PH yang dibentuk menggantikan Pakatan Rakyat kini dianggotai oleh PKR, DAP, AMANAH  dan PPBM dan sedang berusaha membentuk persefahaman antara mereka.

Siapakah antara PKR, DAP, AMANAH dan PPBM yang sebenarnya menghadapi masalah dalaman yang teruk dan membuat kenyataan yang menunjukkan ‘mentaliti saling membangkang’ seperti diperkatakan oleh Nik Nazmi?

Semasa ucapan dasar Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) di IDCC Shah Alam semalam, beliau menegaskan:  “Suka atau tidak, yang pasti majoriti pengundi yang memilih kita semasa PRU13 rasa kecewa, marah dan tidak berpuas hati dengan perkembangan parti pembangkang.”

Semalam juga, Nik Nazmi bijak pula menyeru Pemuda PKR agar melupakan kemelut yang berlaku dalam pakatan pembangkang sebelum ini, sebaliknya menjadikannya sebagai pengajaran.

Jika tahu kelemahan dan memerlukan semua pihak  fokus kepada PRU14, Nik Nazmi tidak sewajarnya menimbulkan isu siapa Perdana Menteri ketika ini.


Untuk seketika ini, daripada bercakap mengenai siapa Perdana Menteri, lebih baik Nik Nazmi menyelesaikan kemelut dalam AMK sendiri.

Ia tercetus  apabila seorang wakil Pemuda PKR mendesak pucuk pimpinan sayap itu, yang dipercayai dituju kepada Nik Nazmi Nik Ahmad, supaya melepaskan jawatan ketua sayap itu atas alasan gagal memperlihatkan kepimpinan efektif.

Wakil Pemuda PKR Melaka, Naqqiuddin Nazrin berkata, desakan itu dibuat susulan kegagalan Nik Nazmi menggalas tanggungjawab sebagai ketua apabila gagal turun padang menjelaskan isu-isu berbangkit kepada anak muda.

“Setakat ini saya boleh kata kosong. YB, saya minta maaf terpaksa cakap akibat YB tidak atur program anak muda akhirnya AMK dipandang lembik,” demikian kata Naqqiyuddin.

Dalam kedudukan sebegini adalah lebih baik Nik Nazmi menyelesaikan kemelut dalaman AMK terlebih dahulu daripada mengkritik parti lain yang kononnya mempunyai ‘mentaliti saling bangkang’.

Beliau sewajarnya faham bahawa jika dalam organisasi AMK sendiri wujud ‘mentaliti saling bangkang’, bukanlah sesuatu yang pelik jika ada perbezaan pendapat antara pembangkang, iaitu organisasi yang lebih besar dan berbeza dalam banyak perkara.

Namun dengan mengisytiharkan Anwar atau Wan Azizah sebagai layak menjadi Perdana Menteri secara terbuka, Nik Nazmilah yang dilihat watak sebenar yang mempunyai ‘mentaliti saling bangkang’.

Ini kerana secara kolekstifnya sebelum ini sudah dipersetujui oleh pemimpin pembangkang agar isu siapa Perdana Menteri ‘disejukkan dahulu’ sementara waktu.

Atau apakah Nik Nazmi sengaja sdsuruh atau diminta supaya memanaskan semula gelanggang membincangkan isu Perdana Menteri di kalangan pembangkang yang kelak membuka ruang kepada BN/UMNO untuk mengatur strategi menyerang semua pembangkang?

Apakah kepimpinan PKR memang sengaja merancang ke arah ini? 

Tuesday, May 2, 2017

'1 Lawan 1' Sudah Mati, Hadi Perkecilkan Parti Pembangkang Lain


PAS tidak pernah gentar berdepan situasi pertandingan walau berapa penjuru pun.

Ia mampu bertanding sendirian dan bukan sesuatu yang baru baginya berdepan situasi sedemikan.

PAS serik dijadikan batu loncatan, apa lagi parti pembangkang lain kecil bernanding dengan PAS dari segi kawasan dan cawangan.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan semalam parti itu pernah hadapi segala kemungkinan kerana sejarah politiknya panjang lebih dari orang lain.

“Kita pernah sendirian, pernah tinggal satu kerusi, tak ada kerusi langsung, dua penjuru, tiga penjuru. Pengalaman kita banyak.”

“Apa yang penting PAS negeri, kawasan patuh kepada pimpinan pusat,” katanya.

Kenyataan Hadi itu membawa gambaran jelas bahawa PAS tidak memerlukan sebarang pakatan untuk menjamin ‘1 lawan 1’.

Ia boleh berdiri sendirian, malah Muktamar PAS  ke-63 yang berakhir semalam  jelas sekali sudah menghancurkan semua harapan pertandingan 1 lawan 1 antara parti pembangkang dan Barisan Nasional (BN).


Malah Hadi jelas memberikan isyarat akan mengetepikan parti komponen Pakatan Harapan (PH),  dengan menyifatkan mereka kecil berbanding PAS.

Ditanya sama ada PAS akan berbincang dengan PH bagi memastikan pertandingan 1 lawan 1 melawan BN, Hadi berkata perkara itu tidak berbangkit kerana PAS mempunyai asas yang kukuh.
                       
“Kita tidak boleh berbincang atas angin. Kita bukan berniaga atas angin. Kita ada 165 kawasan, kita ada 7,000 cawangan.

“Mereka tidak ada kawasan, tidak ada cawangan. Jadi kita tubuhkan Gagasan Sejahtera,” katanya, merujuk kepada “blok ketiga” yang mereka bentuk bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Jawapan itu sebagai pukulan kepada kepimpinan PH, terutamanya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR, yang menggesa PAS supaya berganding dengan pakatan pembangkang itu bagi memastikan pertandingan 1 lawan 1 melawan BN, kerana percaya pertandingan pelbagai penjuru hanya beri kelebihan kepada pakatan pemerintah.

Sudah jelas kini bagi PAS, bahawa  selain UMNO, parti pembangkang lain tidak setaraf dengannya kerana lebih kecil dari segi kawasan mereka dengan cawangan yang terlalu sedikit.

Berikutan itu PAS tidak sanggup dan tidak lagi mahu digunakan sebagai batu loncatan kepada mana-mana parti atau individu, bahkan di dalam partinya, individu seperti itu sudah dipecat atau meninggalkan parti atas kehendak sendiri.

Sebaliknya penghargaan diberikan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) bererti PAS terbuka kepada kerjasama dan  konsisten untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam soal kebajikan rakyat dan akan menentang mana-mana pihak dalam perkara yang bertentangan dengan Islam.

Hadi berterima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana memberikan laluan kepada PAS membentangkan usul dan berkata mereka tidak akan melupakan kerjasama itu.


Berikutan itu, PAS akan meneruskan agenda memartabatkan Islam, termasuk mendesak pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Hadi memberi contoh, dalam Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016 PAS bangkang kerana tidak sesuai dengan realiti masyarakat di Malaysia.

Selain isu besar atau kecilnya parti  Hadi turut merujuk kepada sejarah kegagalan hubungannya dengan parti politik lain.

Menurut Hadi, sejarah membuktikan PAS sudah mematuhi syarat menghormati dasar parti rakan, tetapi parti lain yang menjadi pemula terputusnya kerjasama.

“Yang pecat PAS dari BN ialah Umno, bukan PAS keluar. Termasuk Semangat 46, ia singkirkan diri. Termasuk DAP tahun 2000 iaitu Barisan Alternatif, DAP yang keluar. Termasuk yang terakhir, DAP yang pecat PAS dengan tidak ada undang-undang. Bukan kita keluar, tidak,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan Muktamar ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut semalam.

Pilihan raya umum 1974 menyaksikan PAS bertanding di bawah bendera BN buat pertama kali dan kali terakhir. Konflik antara presiden PAS ketika itu, Tan Sri Asri Muda dan ketua menteri Kelantan Datuk Muhammad Nasir membawa kepada perpecahan dalam kerajaan gabungan di Kelantan, dan terkeluarnya PAS dari BN pada 1977.

Hubungan PAS dan DAP sewaktu dalam Barisana Alternatif dan Pakatan Rakyat terputus akibat pertelagahan antara lain mengenai pelaksanaan undang-undang Islam.


Terbaru, Majlis Syura Ulama PAS bakal menentukan nasib kerjasama antara parti itu dan PKR, selepas muktamar meluluskan usul memutuskan “tahaluf siyasi” dengan parti reformasi itu.


Hadi menegaskan, PAS ketika bekerjasama pembangkang lain, tidak sentuh dasar parti lain dan itu sikap[ PAS.”Itu sikap kita. Bila orang lain sentuh dasar, itu sudah langgar sempadan,” katanya.

Friday, April 7, 2017

Gagal Dapatkan Jawatan, Tuduh Pucuk Pimpinan PPBM Pilih Kroni???


Datang ke ceramah seramai lebih 3,500 orang dilapor hanya 400 atau 500 sahaja oleh media penyokong Barisan Nasional (BN)/UMNO), termasuk TV3.

Keluar parti dan memasuki AMANAH di Baling, Kedah seramai 13  orang tetapi dilaporkan 500 orang keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Ahli berdaftar di bahagian berkenaan dianggarkan sekitar 200 orang sahaja.

Terbaru di negeri Sembilan (Rembau) juga dilaporkan 500 orang tetapi yang sebenarnya jumlah tidaklah begitu besar sekitar 30 orang sahaja. Yang ini dikatakan memasuki PKR pula.

Malah dikatakan menggemparkan ialah apabila pada 2 April lalu dilaporkan Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) seluruh negeri menetapkan pendirian bersama dalam mesyuarat gabungan itu untuk tidak lagi menyokong kepimpinan pusat.

Dakwanya beberapa pemimpin tertinggi dalam parti jelas mengamalkan kronisme dengan melantik rakan-rakan mereka untuk menerajui kepimpinan di peringkat Bahagian dan Negeri.

Timbalan Presidennya Datuk Mohd Zin Mustapa dipetik berkata, GKCM memandang serius tentang perkembangan politik mutakhir ini dakwanya, terdapat banyak kepincangan dalam partiyang baharu tujuh bulan ditubuhkan itu.

GKCM telah mengenal pasti beberapa perkara yang menjadi punca permasalahan parti yang diterajui Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu.

Menarik perkembangan ini dan kerana itu mendapat liputan meluas di media prokerajaan.

Alasan keluar parti  kononnya kerana wujud kroni dalam pemilihan peringkat bahagian serta negeri.

Berkaitan perkembangan terbaru ini, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan dakwaan itu hanya dilakukan oleh sebahagian kecil ahli parti.

"Tak apalah dalam politik ada orang suka dan tidak suka walaupun kenyataan yang keluar hanya daripada kumpulan kecil sahaja.

"Sebahagian besar ahli GKCM sudah berada dalam pimpinan PPBM sudah pun memegang jawatan mungkin ada kekecewaan atau sebab lain," ujarnya dalam sidang media diadakan kelmarin.

Beliau turut menyanggah dakwaan wujudnya kroni di dalam menyusun barisan kepimpinan parti itu di peringkat bahagian dan negeri sebagaimana dakwaan GKCM.

Muhyiddin secara terbuka berkata  pihaknya sedia berbincang untuk menjelaskan duduk perkara sebenar gerakan politik yang dibawa oleh parti itu kepada GKCM yang masih kurang jelas.


"Ini sebagai cabaran, sebaik mungkin ada perkara kita berbincang untuk mmenjelaskan apakan gerakan politik di bawa oleh PPBM. Kita mahu mereka bersama-sama dengan kita menyokong.

"Pimpinan belum setahun jagung pun namun dalam tempoh yang singkat itu PPBM sudah diterima ramai terutama mereka yang telah berjuang dalam parti politik sebelah kerajaan (UMNO),” katanya.

Hakikatnya, sebahaian besar dikalangan pimpinan adalah orang yang baharu dan ada dikalangan yang pengalaman dan pernah berada dalam parti politik.

Menariknya apabila Ketua Penaja PPBM Bahagian Rembau, Bakly Baba mengatakan hanya segelintir ahli PPBM Rembau, diketuai Ketua Aktivis PPBM Negeri Sembilan, Mohd Anas Sudin - lebih kurang 30 orang pengikutnya (kebanyakan anak muda belasan tahun) - mengisytiharkan keluar parti malam kelmarin, banyak suara yang mempertikaikannya.

Mohd Anas mendakwa kumpulannya sebagai barisan AJK PPBM Rembau. berkata keputusan itu dibuat sebulat suara dalam satu mesyuarat pada 28 Mac lepas ekoran mereka hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan PPBM, yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Berikutan keputusan keluar parti beramai-ramai ini, saya boleh katakan PPBM Rembau lumpuh 99 peratus. Di Bahagian Rembau, ada 2,000 ahli dan 1,500 lagi akan keluar parti dalam masa terdekat," katanya dalam satu sidang media di Seremban.

Mohd Anas yang menyertai PPBM pada 10 Oktober 2016, berkata surat keluar parti secara beramai-ramai itu, bagaimanapun akan diserahkan kepada Ibu Pejabat PPBM selewat-lewatnya 15 April ini.


Bagi Bakly, dakwaan ini adalah palsu dan berniat untuk mengelirukan pandangan umum terhadap nama baik PPBM.

“PPBM Pusat hanya baru menamakan saya sebagai Ketua Penaja Bahagian Rembau pada 31-Mac (Jumaat) yang lepas dan saya diarah oleh PPBM Pusat untuk membentuk barisan Penaja PPBM Rembau.

“Kami telah bermesyuarat pada 1 April yang lalu (Sabtu) . Senarai barisan Penaja Bahagian telah siap untuk diserah ke Ibupejabat parti dalam masa terdekat.

Pada peringkat awal, Mohd Anas telah dinamakan sebagai Timbalan Ketua Penaja Bahagian Rembau. Kita telah berhubung dengan dia beberapa kali tetapi dia telah menolak cadangan ini dan mengatakan dia telah mengisi borang ahli PKR,” kata Bakly.

Berikutan keputusan itu Bahagian Rembau terpaksa mengeluarkan Mohd Anas daripada  jawatan Timbalan Ketua Bahagia dan dakwaan yang mengatakan PPBM Rembau akan ditutup tidak berasas sama sekali.

Hakikatnya, cawangan PPBM belum pun diwujudkan lagi. Yang ada hanya Jawatankuasa penaja PPBM Rembau yang baru saja diperakukan dalam mesyuarat 1 April baru-baru ini.

“Persoalannya kenapa dia berusaha membawa penyokong menyertai PKR ?

Kenapa tidak menyertai semula UMNO? Tindakan ini bertujuan untuk melaga-laga dan memecahbelahkan keakraban hubungan parti-parti komponen Pakatan Harapan.

Pada sidang media yang dibuat kelmarin, Mohd Anas mengatakan dia keluar PPBM dan tidak menyatakan pendirian untuk menyertai mana-mana parti, sedangkan menurut Bakly, bukti jelas menunjukkan beliau bukan sahaja menganggotai PKR malah telah mengajak ahli-ahli PPBM mengisi borang PKR dan telahpun mewujudkan Grup WA Aktivis PKR Dun Paroi.

Malah ada gambar Mohd Anas dan rakannya mengisi borang keahlian PKR pada 30 Mac, 2017, sehari sebelum pengumuman rasmi Ketua-ketua Penaja Bahagian PPBM Negeri Sembilan dibuat, iaitu selepas mengetahui yang dia tidak dinamakan sebagai Ketua Penaja Bahagian PPBM

Kumpulan yang keluar PPBM di Baling.
Apa yang berlaku di Rembau ini sebahagian contoh bahawa perebutan mengepalai bahagian penaja bukan sahaja berlaku di negeri Sembilan tetapi juga di beberapa negeri lain seperti Kedah, Perak, malah Kelantan.

Seperti kata Muhyiddin, tidak  tepat jika kata ada kroni kerana pucuk pimpinan tidak memilih sesiapapun atas sebab mereka rapat dengan sesiapapun dalam pimpinan tertinggi parti.


Ini kerana semua pimpinan di peringkat negeri dan bahagian dikemukakan oleh bahagian yang diterima di peringkat pusat.

Lagipun, jika mereka tidak berpuashati atau merasakan 'panas' atau 'seram sejuk', elok juga cari cuaca yang nyaman melalui parti lain.

Cuma anehnya, kenapa pilih parti pembangkang yang juga berada dalam Pakatan Harapan (PH)?

Matlamat memang untuk melawan Barisan Nasional (BN) tetapi strategi mereka ialah bergasak dulu di halaman sendiri bagi melemahkan rakan dalam PH sebelum berdepan BN/UMNO.

Apakah langkah ini bertepatan hanya kerana tidak mendapat jawatan seperti diidam-idamkan?

Sunday, April 2, 2017

Jelas Dan Nyata, Najib Kini Benar-Benar Takut Kepada Dr Mahathir


Apakah situasi negara pada hari ini dalam mewujudkan platform berhujah dengan terbuka sudah berubah berbanding apa yang disaksikan lima dekad yang lalu di bawah pentadbiran Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj?

Kira-kira 49 tahun lalu, pada 24 November 1968, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mengambil bahagian dalam debat awam enam jam dengan Profesor Naguib Alatas yang mewakili Parti Gerakan.

Pada hari itu hadirin padat di Auditorium MARA di Kuala Lumpur.

Sebaliknya, debat antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Nazri Aziz terpaksa dibatalkan selepas polis menarik balik permit bersyarat yang diberikan kepada pihak penganjur, Sinar Harian kelmarin.

Persoalannya, apakah kita mencapai kemajuan dalam demokrasi dan hak asasi manusia atau kita mundur atau mengambil langkah ke belakang dalam tempoh enam dekad ini?

Lim semalam turut menberi pendapat bahawa debat antara bekas perdana menteri dan menteri Kabinet di premis persendirian jika dianggap sebagai ancaman keselamatan dan perlu diharamkan oleh pihak polis, ia adalah (proses yang dilihat sebagai) penyalahgunaan kuasa.

Apakah laporan bimbang akan terjadinya huru-hara yang meenjadi punca debat antara Dr Mahathir dan Nazri dibatalkan,  boleh diterima pemimpin dan rakyat negara ini?


 Timbalan Ketua Polis Selangor, DCP Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff memaklumkan, risikan pihak polis mendapati ada pihak tertentu mahu menimbulkan kekacauan sekiranya majlis debat diadakan.

Keadaan itulah yang memaksa polis membatalkan kelulusan terhadap penganjuran acara berkenaan yang dijadual diadakan di Shah Alam.

Bekas perdana menteri mempersoalkan keputusan polis itu dengan mendakwa  keputusan pihak polis tidak membenarkan debat Jumaat ini,  dibuat “kerana takut.”

“Petang tadi saya dapat maklumat, polis kata tak boleh, kononnya ada orang-orang di situ buat laporan, takut jadi huru- hara.

“Bukan ada siapa pun duduk di situ, yang ada kilang saja. Jadi sekali lagi dibatal. Dibatal kerana apa, kerana takut,” kata Dr Mahathir dipetik Malaysiakini.

Bercakap pada ceramah anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Cheng, Melaka malam tadi, Dr Mahathir memetik pepatah Melayu , “Berani kerana benar, takut kerana salah”, Dr Mahathir berkata, kerajaan takut kerana tahu ia telah melakukan kesalahan.

“Yang tangguh nak bahas ini kerana dia tahu dia salah, dia mencuri. Ada bukti jelas dia mencuri tetapi tak berani nak cakap,” kata beliau.

'Dia' itu siapa? Siapa sebenarnya takut?

Apakah dia itu Datuk Seri Najib Razak? Apakah Najib bimbang banyak perkara akan 'dilondehkan' mengenai isu yang berlegar sekitar dirinya?


Mohd Fuad mengatakan sehingga kini, polis menerima 18 laporan yang dibuat orang awam dan penduduk sekitar lokasi debat itu akan diadakan.

“Inteligen (risikan) pihak polis menunjukkan ada pihak tertentu yang akan membuat kekacauan pada tarikh tersebut jika program ini diteruskan," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor hari ini.

Debat yang pada awalnya dijadual untuk diadakan pada 25 Mac di Maktab Rendah Sains Mara Kuala Kangsar ditukar ke hari dan tempat lain selepas polis Perak menolak permohonan penganjur kerana lewat menghantar permohonan dan tidaksesuaian kawasan.

Lim turut menyifatkan keputusan polis membatalkan permit debat n Dr Mahathir dan Nazri sebagai bukti pentadbiran Najib “semakin takut” dengan tuntutan rakyat yang mahukan akauntabiliti dalam isu 1MDB.

Lim mendakwa Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan, tidak mempunyai jawapan kepada siri persoalan mengenai kontroversi yang menyelubungi firma pelaburan itu.

Ahli Parlimen Gelang Patah ini berkata, ramalan mereka yang pentadbiran Najib tidak akan membenarkan debat terbukti tepat kerana pihaknya telah dapat membaca dengan tepat “mood politik, watak dan kualiti pentadbiran Najib.”

“Jelas sekali, kerajaan Najib (semakin) takut dengan rakyat yang menuntut akauntabiliti terhadap skandal 1MDB,” katanya.


Ini kerana  Najib tidak mempunyai jawapan kepada tuntutan-tuntutan ini dan tidak dapat membersihkan Malaysia daripada siri kutukan, penghinaan dan azab yang dianggap di seluruh dunia sebagai “kleptokrasi global.
Beliau berkata, ini adalah sebab untuk “bersandiwara” dan satu tragedi apabila lokasi asal debat diubah dari Padang Rengas ke Shah Alam, dan kedua-duanya disekat oleh pihak polis.

Pembatalan debat dibuat selepas pihaknya menerima surat daripada ketua polis daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, petang semalam, demikian menurut Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob.

Kelmarin, beliau mengumumkan pihaknya mendapat kebenaran untuk mengadakan program itu dengan beberapa syarat.

Dalam surat dikeluarkan kelmarin, ketua polis daerah memberi keizinan dengan syarat memastikan peserta tidak melakukan apa-apa perbuatan membuat apa-apa penyataan yang akan mengganggu ketenteraman.

Karangkraf juga diberitahu agar memastikan debat tidak melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.


Lewat petang semalam, dalam tweetnya, Hussamuddin berkata: “Pelik, dialog Tun M vs DS Nazri, semalam kami terima surat lulus permit. Petang ini terima surat batal permit. Payah!!”

Friday, March 31, 2017

EXCO PAS Tidak Wajar Tinggalkan Kerajaan Negeri Selangor


Tekanan di media sosial jangan dijadikan ukuran untuk PAS keluar kerajaan Selangor.

Kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad bahawa PAS Selangor menunggu arahan daripada kepimpinan pusat sama ada kekal atau keluar dari kerajaan negeri adalah keputusan yang baik.

Lagipun dengan langkah seperti itu PAS Selangot tidak bertindak atau mahu mendahului arahan parti, walaupun berdepan tekanan di media sosial.

Oleh kerana ketika ini tiada arahan untuk keluar daripada kerajaan negeri, adalah elok untuk PAS Selangor terus berada dalam kerajaan negeri. Lagipun, ada berbagai kemungkinan dalam kerjasama PAS dengan PKR dan kemungkinan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang juga anggota Pakatan Harapan (PH).

Walau ada pelbagai desakan, kepimpinan PAS Selangor mesti bijak mengatur strategi, apalagi dalam hubungannya dengan PKR. Setidak-tidaknya mendahulukan PKR!!!

Pada PRU13, PAS dan DAP masing-masing menang 15 DUN dengan PKR mendapat 14 kerusi sementera BN menang hanya 12 kerusi di Selangor.

Bagaimanapun PAS kini tinggal 13 ADUN selepas dua melompat ke PAS dan bekas Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR menjadi ADUN Bebas. DAP kekal dengan 15 ADUN sementara PKR juga 13 ADUN seperti PAS.


Pada  24 Mac lalu, Pemuda PAS Kuala Selangor, Subang, Serdang dan Pandan sebulat suara meluluskan usul memutuskan hubungan dengan PKR, selepas usul sama diluluskan di Tumpat (Kelantan), Permatang Pauh dan Bayan Baru (Pulau Pinang).

Ketua Pemuda PAS Kuala Selangor Ahmad Hakimi Othman berkata keputusan pihaknya dicapai berdasarkan tiga peristiwa membabitkan hubungan PAS dan PKR negeri.

1. Pemimpin PKR Melayu Islam memandang sinis usaha memartabatkan mahkamah syariah dan memejamkan mata dalam penerangan yang diberikan.

2. Pilihan Raya Kecil Sungai Besar melihatkan pengkhianatan jelas terhadap unsur-unsur tahaluf siyasi PAS yang digariskan dalam Majlis Syura Ulama, dan

3. Isu air Selangor dan pertikaian dengan Splash masih tidak diselesaikan hingga menyeret PAS dalam krisis keyakinan rakyat terhadap tindak tanduk kerajaan yang ada.

AZMIN...Bincang masalah secara tertutup.
Iskandar yang juga EXCO kerajaan negeri berkata: “Sekarang ini ramai orang yang lebih presiden daripada presiden,” tambahnya, yang juga exco kerajaan negeri.

PAS mengekalkan hubungan politik dengan PKR, walaupun selepas Pakatan Rakyat terkubur dan bertegas tidak akan bekerjasama dengan DAP dan Amanah, sekutu PKR dalam PH. 

 PKR memimpin kerajaan Selangor, yang disertai PAS, DAP dan AMANAH, hasil daripada persetujuan dalam kalangan pembangkang sejak pilihan raya umum ke-12.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini (25 Mac 2017) menggesa PAS dan PKR menghentikan perbalahan dalam media, sebaliknya kedua-dua parti perlu membincangkan masalah mereka secara tertutup.

“Ini bukan masanya untuk kita berbalah secara terbuka. Saya menggesa semua pihak duduk dan berbincang,” kata timbalan presiden PKR itu.

“Paling penting, letak kepentingan negara dan rakyat di tempat pertama kerana keutamaan kita ialah hadapi pilihan raya akan datang,” katanya.

Ketegangan antara kedua-dua parti semakin memuncak di Selangor selepas Azmin mengejek kekalahan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam pemilihan PAS Kawasan Pengkalan Chepa di Kelantan, pada 18 Mac lalu.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan nasib kerjasama antara kedua parti akan ditentukan pada mesyuarat agung tahunan yang dijadualkan pada 29 April hingga 1 Mei di Kota Sarang Semut, Kedah, selepas beberapa kawasan termasuk di Selangor meluluskan usul memutuskan kerjasama dengan PKR.

Iskandar sebelum ini memberi amaran tindakan memutuskan kerjasama dengan PKR hanya akan membuka laluan kepada AMANAH.

“Kita tidak takut hilang jawatan…tapi kita takut AMANAH akan masuk (ke dalam pentadbiran kerajaan Selangor).”

Sudah nyata bahawa tiga anggota EXCO Selangor daripada PAS tidak akan keluar daripada kerajaan negeri yang diterajui PKR selagi tidak menerima arahan pucuk pimpinan tertinggi parti.

Selain Iskandar dua lagi Exco sedang menunggu keputusan muktamar PAS bulan depan, sebelum memutuskan langkah seterusnya.

“Saya ikut arahan presiden parti sebab kita hanya ada satu presiden sahaja… buat masa ini tiada arahan untuk itu, jadi kita bertugas seperti biasa,” katanya.

Selain Iskandar, dua lagi anggota Exco kerajaan negeri daripada PAS ialah Zaidy Abdul Talib dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Hubungan PAS-PKR tegang susulan ada cadangan daripada beberapa PAS kawasan yang menuntut pucuk pimpinan memutuskan kerjasama dengan PKR selepas parti itu bertegas untuk menjalin kerjasama dengan AMANAH dan DAP.

Nik Abduh pula baru-baru ini mengesahkan rancangan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menawan Selangor.

Sunday, March 26, 2017

“Tak Tanya’ Atau Nazri Kelu Berdepan Cendol, Dr Mahathir?


Pertamuan antara bekas ‘Bos’ dengan ‘anak buahnya’ di tepi Sungai Perak di Kuala Kangsar kelmarin sangat menarik.

Walaupun dialog dibatalkan, dan kedua-duanya  sekadar menghirup semangkuk cendol petang semalam, pertemuan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Nazri Aziz tetap berlaku.

Dr Mahathir mendedahkan bahawa Nazri berusaha bertemunya apabila berhenti untuk menikmati cendol dan laksa di sebuah gerai terkenal di Kuala Kangsar.

Bagaimanapun, dilaporkan  Nazri hanya mendiamkan diri atau 'kelu' semasa pertemuan itu.

Itulah ketentuan Allah. Namun di sebalik pertemuan itu satu perkara yang masih diperkatakan ialah kenapa Nazri diam dan Dr Mahathir pun tidak membuka mulut untuk berbual dengannya.

Dr Mahathir mengatakan beliau sendiri  hairan mengenai suasana 'sepi' antara kedua-dua mereka pada pertemuan semalam.

"Dia bertekad jumpa dengan saya tetapi apabila kami bertemu di tempat cendol, dia tidak berkata apa-apa. Apa gunanya berjumpa tetapi tidak kata apa-apa," jelas Mahathir.

Lantas Dr Mahathir malam kelmarin membandingkan mikrofon dengan 'mulut Nazri'.

"Mikrofon ini seperti Nazri, hilang suara", kata Dr Mahathir berjenaka.


Kata-kata Dr Mahathir itu disambut dengan  gelak ketawa oleh hadirin pada  program ceramah anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada sebelah malam di Kuala Kangsar itu.

Kata-kata Dr Mahathir itu dibuat secara sepontan apabila ketika berucap itu tiba-tiba mikrofon yang digunakannya tidak berfungsi.

Selepas seminit lebih, setelah pihak penganjur bergegas untuk menyelesaikan masalah, Dr meneruskan ucapannya.

Dr Mahathir turut  menceritakan kesungguhan Nazri untuk berdebat dengannya. "Tetapi saya nampak partinya tidak sokong, kerajaan tidak sokong, tiada siapa yang sokong dia supaya dia tidak boleh berdebat dengan saya,"

Nazri pula hari ini berkata hanya mendiamkan diri ketika pertemuannya dengan bekas Perdana Menteri, itu semalam kerana tidak ditanya sebarang soalan.

Menurut Nazri, beliau mahu menghormati majlis kerana terdahulu, Naib Presiden PPBM, Datuk Hamidah Osman berkata, tiada ucapan akan disampaikan di kawasan gerai-gerai berkenaan.



"Ia adalah kesempatan bagi mereka, bukan saya, jadi saya hormati apa yang mereka tanya saya, jadi saya tak berkata apa-apa.

"Tetapi saya banyak bercakap dengan orang di sebelah kanan saya, kerana dia tanya soalan, jadi saya jawab. Tetapi Mahathir tak tanya apa-apa kepada saya," kata Nazri.

"Jadi saya hanya menunggu dia bertanya apa-apa kepada saya. Dia tak tanya dan saya tak mahu ganggu privasi dia sedang menikmati cendol.

"Sebagai penghormatan, saya hanya menunggu dia, (tetapi) dia tak bertanya," kata Nazri ketika dihubungi Malaysiakini.

Nazri berkata, Dr Mahathir kemudian menyebut mengenai Sungai Perak dan mahu melihat kawasan berkenaan.

"Kami hanya ikut dia, kemudian dia bercakap dengan orang yang berdiri dekat kami dan kata dia nak pergi, dan saya ucapkan selamat jalan, itu sahaja," katanya.


Apapun kedua-duanya dijangka bertemu lagi pada debat di Shah Alam pada 7 April nanti. 

Wednesday, March 22, 2017

Laporan Kononnya Persediaan Untuk Dakwa Jho Low Hanya Spekulasi?


Ini semua mungkin tidak benar dan sengaja dibuat spekulasi.
 Jangan percaya bahawa sepasukan dari Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) sudah selesai menemuramah beberapa pihak di Singapura berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) baru-baru ini.

Hasilnya, pihak berkuasa itu sudah  bersedia untuk mendakwa Low Taek Jho, atau Jho Low, jutawan rakyat Malaysia kelahiran Pulau Pinang yang dinamakan Jabatan Kehakiman AS (DOJ) tahun lalu dalam kertas siasatan salah guna wang 1MDB.

The Wall Street Journal  (WSJ) sengaja memperbesar-besarkan berita kononnya kumpulan Jho Low terlibat dalam apa yang mereka percaya sebagai "salah satu penipuan kewangan terbesar dalam sejarah".

Dengan memetik sumber-sumber biasa dengan siasatan, WSJ berkata, pendakwa AS merancang memfailkan tuduhan jenayah penipuan dan pengubahan wang haram terhadap Low dan beberapa rakan-rakannya yang berpotensi.

DOJ baru-baru ini berusaha memasukkan beberapa harta milik keluarga Jho Low ke dalam senarai aset yang mahu disitanya.

Hotel Park Lane di New York milik Joho Low
Ia termasuk kapal layar mewahnya, Equanimity, bernilai AS$165 juta (RM730 juta).

Ahli keluarga Jho Low sebaliknya bertindak menentang usaha itu dengan melibatkan proses mahkamah iautu melawan tindakan DOJ itu.

Kenapa ambil sumber dari Singapura? Ini tidak benar dan tidk adil. Sepatutnya datang ke Malaysia menemuramah tiga pihak penting – Polis diRaja Malaysia (PDRM), Peguam Negara (AG) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Tiga serangkai ini lebih tahu mengenai 1MDB berbanding institusi tertentudi Singapura.

Kalau individu pula, beberapa orang ini sepatutnya ditemuramah iaitu Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, bekas Ketua Audit Negara serta beberapa menteri, termasuk Menteri Penerangan dan Komunikasi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta Menteri Kewangan sendiri.

Kenapa ‘bodoh’ sangat pihak bekuasa ke Singapura untuk mendapat maklumat benar?

Lagipun yang mengatakan Jho Low akan diheret ke mahkamah ialah akhir The Wall Street Journal (WSJ) yang tidak ada kredibiliti  di mata pemerintah Malaysia dan semua pihak yang disebutkan di atas.

WSJ pula memetik hanya sumber di Singapura yang berkata pasukan DOJ baru-baru ini selesai melakukan soal siasat di republik itu dalam persediaannya mendakwa Jho Low, yang dilihat berat sebelah.

20 Julai tahun lalu , DOJ menerusi siasatannya mendapati lebih AS$3.5 bilion dilencongkan daripada dana 1MDB, syarikat milik Kementerian Kewangan yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2009.

Rizal Aziz...turut dikaitkan.
Walaupun tidak ada bukti lengkap DOJ tiba-tiba  memfailkan saman sivil di Los Angeles untuk merampas sejumlah AS$1.2 bilion aset yang dibeli dengan dana didakwa digelapkan daripada 1MDB itu.

Dana itu kemudian dipindahkan ke AS menggunakan syarikat kosong, dan menamakan beberapa individu.

WSJ dianggap ‘jahat’ apabila menamakan beberapa individu, selain  Jho Low, seperti anak tiri Najib (anak Rosmah Mansor) Riza Aziz, dan pegawai kerajaan Abu Dhabi Khadem al-Qubaisi dan Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny.

WSJ turut melaporkan sejak pengumuman DOJ mengenai hasil siasatannya ke atas 1MDB tahun lalu, Jho Low, 35 tahun, kerap berulang alik dari China ke Thailand, setelah “diarahkan mengelak Malaysia”.

Ia memetik seorang pekerja Hotel Peninsula di Shanghai sebagai berkata kapal layarnya kini berlabuh di perairan Thai sejak Oktober lepas.

WSJ turut memetik ucapan Tahun Baharu daripada Jho Low kepada temannya di aplikasi WeChat.

“2016 merupakan ribut, tetapi ketenangan dan keazaman Kapten kami memastikan pelayarnya yang yakin penuh terhadap kepimpinannya melalui ribut itu.”

Apa yang melegakan keluarga Jho Low dan mereka yang didakwa terlibat, termasuk keluarga Rizal Aziz ialah, WSJ tidak melaporkan dengan jelas bilakah tuduhan jenayah itu akan difailkan.

Apakah ia hanya spekulasi dan mahu menghangatkan kembali isu penipuan kewangan terbesar dalam sejarah ini selepas dingin beberapa ketika?

Selain itu rancangan itu juga boleh diubah atau digugurkan memandangkan siasatan masih diteruskan, menurut laporan itu.

Di sebalik itu semua, apakah WSJ sebuah akhbar antarabangsa tidak berintegriti, DOJ tidak bermaruah dan penangkapan serta keputusan mahkamah di Singapura sebagai tidak telus?

Jawapan di fikiran anda bukan percaya bulat-bulat kenyataan pendokong dan 'penjilat' Najib di Malaydia!!!



Tuesday, March 14, 2017

PPBM Cadang PH Guna 1 Logo, 1 Manifesto Serta 1 Calon Hadapi BN...


Persetujuan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang sebulat suara bersetuju untuk membentuk gabungan rasmi dengan Pakatan Harapan (PH) akan  meletakkan keadaan yang semakin kukuh kepada gabungan parti-parti politik menentang Barisan Nasional (BN).

Di bawah cadangan itu, semua tiga  parti komponen PH, bersama dengan PPBM akan menyertai pilihan raya umum (PRU) akan datang di bawah 1 logo, 1 manifesto, dan seorang calon bagi setiap kerusi yang mereka putuskan untuk bertanding.

Walaupun bersetuju untuk menyertai PH, cadangan yang dicapai oleh PPBM masih belum dibentangkan kepada PH.

Ini bukan kali pertama pemimpin berusia 91 tahun itu mencadangkan gabungan membabitkan semua parti pembangkang yang mempunyai matlamat hampir sama iaitu menewaskan kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Malah, Dr Mahathir berkali-kali menegaskan satu-satunya cara pembangkang boleh membentuk kerajaan ialah dengan syarat semua bekerjasama memastikan pertandingan 1 lawan 1 terhadap BN pada PRU14.

Pada September tahun lalu, Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir membuat desakan sama dan mencadangkan gabungan pembangkang baharu yang dinamakan “Barisan Rakyat”.

Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata gabungan tiga  pihak itu “sudah tahu mengenainya”.


“Mesyuarat hari ini fokus kepada satu perkara sahaja, iaitu penyertaan PPBM dengan PH, di bawah satu pakatan besar pembangkang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi PPBM di Petaling Jaya hari ini.

Dr Mahathir berkata perkara itu bagaimanapun belum diputuskan namanya. “Tetapi kami setuju selain nama baharu, kami juga perlu ada logo baharu dan simbol untuk PRU akan datang.”

Perkara ini akan dimaklumkan secara rasmi kepada PH mengenai keputusan kami tidak lama lagi.

PPBM juga akan mengemukakan permohonan rasmi menyertai gabungan PH namun meminta nama itu ditukar.

"(PPBM) juga bersetuju bahawa polisi yang kita persetujui ialah, kita perlu - selain daripada mengadakan nama yang baru - kita juga ingin ada suatu logo dan simbol untuk (menghadapi) pilihan raya dan mempunyai satu manifesto," kata Dr Mahathir.

Pengerusi BERSATU itu berkata, secara dasarnya BERSATU bersetuju selain nama pakatan baru, mereka juga ingin suatu logo bersama yang baru serta manifesto untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Menurut Dr Mahahir, pemimpin PH sudah mengetahui niat PPBM  mahu menyertai gabungan berkenaan. Justeru, katanya, beliau berharap, penyertaan rasmi parti berkenaan dalam HARAPAN dapat menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Ditanya sama ada beliau percaya PH akan bersetuju dengan cadangan itu, terutama membabitkan seorang calon mewakili pakatan di setiap kerusi, Dr Mahathir menjawab dengan nada positif.


Dr Mahathir yang juga perdana menteri paling lama berkhidmat berkata ini kerana PH sudah sedar kegagalan mereka menyatukan semua parti dan bertanding di bawah satu simbol, adalah alasan mereka kalah pada PRU lalu.

“Kami akan berbincang lanjut mengenai perkara ini bila kami berada dalam pakatan. Tetapi prinsipnya di sini ialah kami akan hanya meletakkan seorang calon bagi setiap kerusi bagi mewakili pakatan.

“Kemudian kami akan mendesak semua ahli pakatan untuk menyokong dan undi calon tunggal itu,” katanya.

Berkaitan dengan PAS, Dr Mahathir berkata parti itu amat dialu-alukan untuk menyertai pakatan baharu, walaupun perkara itu masih belum dibincangkan lagi.

“Kami terbuka untuk menubuhkan sekutu dengan mana-mana parti. Bukan saja PAS, tetapi ada dua atau tiga parti lain yang berminat,” katanya.