Friday, November 11, 2016

MLA - Mahu Lindungi Siapa Apabila AG Tolak Permohonan OAG Switzerland?


Sebelum ini ada soalan, “Bolehkah Peguam Negara (AG) Malaysia tolak permintaan Bantuan Guaman Bersama (MLA) pihak berkuasa asing?”

Ia berkaitan dengan permohonan bantuan Malaysia untuk menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kenyataan Peguam Negara Switzerland (OAG) , Michael Lauber (gambar atas)  jelas menyebutnya sebagai ‘memohon bantuan’.

Akhbar The Telegraph United Kingdom dengan tajuk Swiss seek Malaysian help probing $4 billion financial scandal  mengatakan siasatan itu perlu dijalankan kerana skandal kewangan itu melanggar undang-undang negara berkenaan.

Persoalannya apa kesan dan telahan pihak asing kepada Pejabat AG dan Malaysia jika permintaan itu ditolak?

Apakah dengan menolak permintaan OAG  itu Malaysia dilihat cuba melindungi pihak tertentu dalam kes 1MDB? 

Sudah pasti akan timbul berbagai pertanyaan, dengan keputusan AG Malaysia itu, apakah ia usaha untuk terus ‘membersihkan Perdana Menteri’?

Ini kerana siasatan Switzerland tertumpu kepada penipuan termasuk satu bentuk skim "Ponzi", di mana pulangan bagi pelaburan asal dibayar daripada dana yang diperolehi daripada pelabur berikutnya, dan bukannya daripada hasil sah pelaburan berkenaan.

Siasatan mengenai syarikat pelaburan 1MDB yang dibebani hutang dan dikaitkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang dijalankan di beberapa buah negara di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura.
 
Malah perbicaraan bekas pegawai bank BSI Singapura yang sudah ditutup sedang berlansung selain beberapa orang lagi akan dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh terdekat.

Pada  13 Oktober  2016, lalu, Malaysiakini menyiarkan persoalan mengenai perkara ini dengan mengemukakan soalan apakah  Malaysia cuba mengelakkan diri berhubung permintaan OAG Switzerland buat kali kedua, untuk mendapatkan MLA dalam siasatan terhadap dakwaan penyelewengan dan pengubahan wang haram membabitkan 1MDB?

Persoalan yang berlegar selepas permintaan kedua untuk bantuan mengikut Perjanjian Bersama Bantuan Perundangan Antarabangsa adalah sama ada Malaysia cuba menjarakkan diri, atau sama ada kertas diplomatik "didapati telah hilang".

Sebelum itu pada pada 6 Oktober, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam jawapannya berkata pihaknya belum menerima sebarang permohonan tambahan MLA daripada OAG Switzerland.

"Bagaimanapun, Peguam Negara ingin menekankan komitmen kami dalam kerjasama antarabangsa dan akan mempertimbangkan sebaik mungkin permintaan ini berlandaskan undang-undang sedia ada apabila ia diterima menerusi saluran diplomatik, seperti mana ditetapkan undang-undang negara berhubung bantuan bersama perundangan," kata AGC dalam satu kenyataan.

Undang-undang yang berkaitan mengenai perkara ini ialah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002.

Di bawah Akta ini, permohonan itu perlu dibuat oleh peguam negara di negara asing yang berkenaan kepada Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Hari ini, Financial Times United Kingdom melaporkan secara rasminya Malaysia menolak permintaan Switzerland untuk mendapatkan MLA dalam siasatan penyelewengan dan pengubahan wang haram yang didakwa melibatkan 1MDB.

Dengan tajuk ‘Malaysia Rebuffs Swiss Inquiries Into 1MDB’, Peguam Negara  Switzerland itu memberitahu akhbar berkenaan dalam satu temu bual yang disiarkan hari ini mengatakan pihaknya baru-baru ini mendapat respon yang pihak berkuasa Malaysia tidak akan bersetuju dengan permintaan kami.

"Mereka hanya berkata bahawa di bawah undang-undang mereka, mereka tidak boleh menjawab," katanya.

Dilaporkan, Jabatan Peguam Negara Malaysia menafikan ia cuba menggagalkan siasatan pihak berkuasa Switzerland itu tetapi menyebut kerajaan akan meneruskan siasatan jenayah oleh polis Malaysia berhubung perkara berkaitan 1MDB.

Apandi...tolak permintaan Peguam Negara Switzerland.
FT memetik pejabat AG sebagai berkata, "peguam negara berpendapat bahawa permintaan ini boleh menimbulkan prejudis berlaku perkara jenayah di Malaysia," dan menambah, "tiada isu Malaysia menyekat siasatan jenayah Swiss".

Sedangkan CNBC yang memetik FT pada 23 Ogos bahawa OAG sudahpun melancarkan siasatan jenayah terhadap 1MDB.

Laporan CNBC itu menyebut: “Attempts by Najib Razak, Malaysia's embattled prime minister, to contain a financial scandal have taken a knock after Swiss authorities said they had opened criminal proceedings related to the state development fund at the center of the affair.

Switzerland's Office of the Attorney-general said its case involved "suspected corruption of public foreign officials, dishonest management of public interests and money laundering".

Its confirmation of proceedings involving 1Malaysia Development Berhad, or 1MDB, which has $11 billion in debt, marks the potential internationalization of a case that has so far received mainly domestic scrutiny. The fund, established in 2009 by Malaysia's finance ministry, is supervised by an advisory board chaired by the prime minister.”

Dan pada 12 Oktober  2016 pula, OAG Switzerland mengatakan pihaknya memulakan prosiding jenayah terhadap Falcon Private Bank kerana gagal menghalang kesalahan berkaitan dengan penyelewengan dana 1MDB.

Keputusan memulakan prosiding adalah berdasarkan maklumat yang didedahkan oleh siasatan dalam kes 1MDB dan isu-isu yang dibangkitkan dalam keputusan Pihak Berkuasa Penyeliaan Pasaran Kewangan Switzerland atau Swiss Financial Market Supervisory Authority (FINMA) dari awal Oktober 2016.


FINMA,  sehari sebelum itu,  mendedahkan kira-kira AS$ 3.8 bilion dana berkaitan 1MDB disalurkan melalui Falcon Private Bank.

Menurut FINMA, dana itu termasuk melalui urusniaga AS$681 juta dan pembayaran balik AS$620 juta enam bulan kemudian.

Pihak berkuasa kewangan itu tidak memberikan butirannya tetapi jumlah itu sepadan dengan AS$ 681 juta yang diterima oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang dirujuk sebagai RM2.6 bilion berdasarkan kadar pertukaran ketika itu apabila perkara berkenaan didedahkan pada Julai tahun lalu.

Najib mendakwa wang itu adalah "derma dari Arab" dan AS$620 juta daripada wang itu kemudiannya dikembalikan.

Pada 28 Oktober lalu ketika mengesahkan pejabatnya telah menerima permintaan daripada OAG  Switzerland di bawah MLA,  Peguam Negara tidak mengulas panjang.

Dilaporkan pada 6 Oktober bahawa pejabat peguam negara Switzerland telah menghantar permintaan MLA kedua untuk Malaysia.

Ini merupakan  permintaan kedua untuk mendapatkan bantuan daripada rakan sejawatannya dari Malaysia di bawah Bantuan Perundangan Bersama, selepas pejabat peguam negara di negara ini mendakwa ia tidak menerima permohonan pertama.

Apandi sebelum ini membersihkan Najib daripada sebarang salah laku.

Perjanjian Bersama Bantuan Perundangan Antarabangsa adalah perjanjian antara dua atau lebih negara bagi tujuan pengumpulan dan pertukaran maklumat dalam usaha untuk menguatkuasakan undang-undang awam atau undang-undang jenayah.

Dengan pendrian Pejabat Peguam Negara Malaysia kini, apakah kita sebenarnya tidak lagi mahu bekerjasama dan tidak peduli dengan persepsi antarabangsa?

Atau memang tidak penting bagi kita untuk menjayakan Bantuan Perundangan Bersama selain menghormati Perjanjian Bersama Bantuan Perundangan Antarabangsa?


Nampak gayanya, kerajaan ketika ini sedang menuju ke arah itu.

No comments: