Tuesday, October 4, 2016

Kesian Dengan Annuar - Mata Kail Tersangkut di Bulu Pipinya Sendiri...


Tengku Razaleigh Hamzah pernah dituduh gila untuk menjadi Perdana Menteri.

Malah, Tengku Razaleigh diserang ‘gila-gila’ kononnya tindakannya kembali ke pangkuan UMNO untuk membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri.

Heboh kononnya beliau akan mengambil alih daripada Tun Dr Mahathir Mohamad  dan kemudian daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum Datuk Seri Mohd Najib Razak dilantik.

Malah cerita Tengku Razeligh akan dilantik menjadi Perdana Menteri berlanjutan hingga ke era Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Akhirnya sehingga kini, harapan penyokong Tengku Razaleigh tinggal harapan semata-mata.

‘Putih mata’ jawabnya kerana selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi, datang pula Najib.

Tidak mengejutkan apabila baru-baru ini Tengku Razaleigh dikatakan akan menjadi ‘penyelamat kepada Malaysia’ selepas banyak pihak menyerang Najib dan politik negara dilihat terumbang-ambing.

Sekali lagi, penyokong Tengku Razalegh terlopong apabila Najib nampaknya semakin mencengkam kuasa.

Tidak pula diketahui motifnya kenapa  daripada mahu melepaskan kerusi Gua Musang, Tengku Razaeligh kembali menyatakan mahu mempertahankan kerusinya.


Semalam, UMNO dilihat bermain politik dengan mengatakan UMNO mengalu-alukan Datuk Seri Mukhriz Mahathir  kembali menyertai parti itu semula jika jika bekas menteri besar Kedah itu benar-benar bercita-cita menjadi perdana menteri.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata tindakan sesetengah pemimpin meninggalkan UMNO  bukan sesuatu yang baru.

Sebelum ini pun ada pemimpin yang meninggalkan UMNO  itu kembali kepada parti berkenaan, seperti dilakukan Tengku Razaleigh Hamzah.

Anggota Parlimen Gua Musang itu meninggalkan UMNO  selepas berseteru dengan kem Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1987 dan menubuhkan parti Semangat 46. Tengku Razaleih kembali kepada UMNO 1996.

Ketika di luar UMNO Tengku Razaleigh membawa partinya bersahabat dengan PAS dan DAP melalui dua persefahaman politik berasingan iaitu Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat.

Annuar juga berkata jika Mukhriz berasa mahu kembali menyertai parti berkenaan pihaknya tidak ada masalah.

Malah sikap itu tidak hanya terhad kepada Mukhriz dan  terbuka kepada sesiapa saja.

"Kalau betul Mukhriz nak jadi PM, tidak mustahil. Kalau rasa nak balik apa salahnya, boleh bincang," kata Annuar.

Mukhriz, 51, kini adalah naib presiden penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dipimpin bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Dr Mahathir dilantik sebagai pengerusi BERSATU dan parti itu sedang giat menjalankan kempen bersama pembangkang untuk mengetepikan Najib.

Sejak dimusuhi UMNO Mukhriz disebut-sebut cuba diletakkan sebagai perdana menteri oleh Dr Mahathir.

Adalah aneh apabila selepas disingkirkan daripada jawatan menteri besar Kedah Mukhriz dan Dr Mahathir - bapanya - menjadi pengkritik kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak, . UMNO bersedia membuka peluang hingga kepada jawatan Perdana Menteri.

Semudah itu? Cerita apa ini? 1001 malam?

Tidak diketahui sama ada Majlis Tertinggi UMNO membuat keputusan besar ini atau hanya jawapan Annuar merujuk kepada soalan mengenai pengumuman bekas Senator, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor mengumumkan keluar UMNO.

Bagi Annuar, Ezam sepatutnya sudah lama keluar parti, lagipun dalam politik ini normal, ahli keluar, dan masuk.

Atau Annuar cuba melemparkan umpan kepada Mukhriz kalau-kalau umpan itu dimakan.

Sebelum ini bloger Raja Petra Kamarudin mendakwa Dr Mahathir merancang meletakkan Mukhriz menjadi perdana menteri melalui jawatan menteri kewangan.

Tulisannya pada 24 September itu berkata ia dibuat berdasarkan hujah Dr Mahathir sendiri iaitu seorang perdana menteri tidak sepatutnya menjadi menteri kewangan.

Apa yang dapat dilihat ialah UMNO atau Annuar sengaja mahu mengenakan Dr Mahathir dan  Mukhriz dalam isu Perdana Menteri.

Annuar seperti mahu menjerat kerana jika Mukhriz bersetuju, apalagi jika Dr Mahathir merestuinya, terbuktikan cakap-cakap bahawa bekas Perdana Menteri itu beria-ia mahu menjadikan anaknya Perdana Menteri.

Cuma menghairankan ialah Annuar turut terpengaruh dengan pemainan Raja Petra.

Atau apakah ada komplot antara Annuar dan Raja Petra?

Tidakkah tuduhan bahawa memang UMNO membiayai Raja Petra untuk ‘putar alam’ bagi menyerang Dr Mahathir dan sekutunya kini ternyata benar?

Cuma kesian sedikit kepada Annuar ialah, nampaknya dalam beliau mencampak umpan,  mata kailnya kepada Mukhriz dan Dr Mahathir, mata kail itu tersangkut pula  di bulu pipinya sendiri.

Aduh bisanya....

No comments: