Tuesday, October 18, 2016

Beranikah Kerajaan Naikkan GST Menjadi Lapan Peratus?

 
“Kalau boleh kerajaan mahu laksanakan tahun ini untuk belanjawan tahun depan 2017, namun  pelaksanaannya bergantung kepada sejauh manakah keberanian kerajaan melaksanakannya." - Prof Barjoyai Bardai

Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)  sudah membuktikan ia penyelamat ekonomi negara. Kerana itu peratusnya  tidak akan dikurangkan.

Sebaliknya kerana ia begitu penting kepada ekonomi negara, apakah GST akan dinaikkan pada kadar tambahan yang sedikit untuk meningkatkan pendapatan kerajaan?

Di Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan tanpa  GST ekonomi Malaysia akan lumpuh.

GST yang mula dilaksanakan pada April tahun lepas, dari segi makronya merupakan penyelamat kepada kewangan dan ekonomi negara pada keseluruhannya.

Begitulah pentingnya GST kepada ekonomi negara dan kerajaan secara jelas menegaskan tidak akan menurukkan kadar yang dikenakan sekarang iaitu sebanyak enam peratus.

Perdana Menteri membuat penegasan kali kedua kerana pada 8 Januari lalu, Najib yang juga Menteri Kewangan, pernah berkata bahawa GST penyelamat ekonomi negara.

Di sebalik itu, pakar ekonomi berpendapat kerajaan memang merancang untuk menaikkan kadar GST daripada enam (6)  peratus kepada lapan (8)  peratus memandangkan ketika ini kerajaan tidak mampunyai sumber cukai produktif yang lain.

Petronas turunkan jangkaan dividen bayaran cukai 
Jika tidak, kerajaan mungkin terpaksa menjual sebahagian aset Khazanah Nasional Berhad bagi menampung pendapatan kerajaaan buat sementara bagi tahun 2017.

Pensyarah Universiti Tun Abdul Razak Prof Dr Barjoyai Bardai berkata memandangkan ekonomi dunia menuju kegawatan, GST satu-satunya cukai yang sangat produktif dan berdaya maju, ketika cukai korporat dan cukai individu golongan berpendapatan tinggi dijangka menurun.

“Kalau boleh kerajaan mahu laksanakan tahun ini untuk belanjawan tahun depan (2017),” kata Barjoyai seperti dilaporkan FMT.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, pelaksanaannya bergantung kepada sejauh manakah keberanian kerajaan melaksanakannya.

“Mungkin kerajaan pun tak ada pilihan lain sebab tidak ada sumber pendapatan lain untuk diharapkan,” katanya.
  
Sehingga Disember 2015, pelaksanaan GST dilaporkan telah mendapat kutipan kasar sebanyak RM37.67 bilion dengan unjuran kutipan bersih RM27.126 bilion.

Kutipan bersih GST itu dianggarkan meningkat kepada RM39 bilion pada tahun ini.

Perdana Menteri turut menjelaskan,  eksport Malaysia, terutamanya dalam sektor komoditi seperti minyak dan gas, kelapa sawit dan mineral menurun ekoran ekonomi global yang semakin lemah.

Bagi mengatasi isu-isu tersebut dan meningkatkan daya tahan domestik, kerajaan akan memberi tumpuan kepada perkara asas seperti meningkatkan eksport, produktiviti dan inovasi, kata Najib, sambil menambah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi tahun ini dijangka menjadi antara 4 hingga 4.5 peratus.

Kerana itu bukan sesuatu yang mengejutkan Perdana Menteri menegaskan jika tiada GST, ekonomi Malaysia akan lumpuh.

Beliau turut menolak cadangan pengurangan cukai GST daripada enam kepada tiga peratus.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan oleh Liew Chin Tong (DAP-Kluang) yang berhujah GST mengurangkan perbelanjaan domestik yang disifatkan oleh Perdana Menteri sebagai tafsiran negatif daripada pembangkang.

Liew...penyelamat adalah ekonomi domestik.

Liew menolak dakwaan Perdana Menteri, bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah penyelemat ekonomi negara.

Bercakap di Lobi Parlimen kemudian, Liew menegaskan, penyelamat ekonomi negara bukannya GST tetapi ekonomi domestik.

“Bila saya tanya Perdana Menteri untuk kurangkan GST kepada 3% beliau jawab GST tak perlu dikurangkan kerana ia adalah penyelamat ekonomi negara. Saya tak percaya jawapan yang diberikan oleh Najib ini kerana saya percaya ekonomi negara hanya boleh diselamatkan melalui ekonomi domestik.

“Tetapi disebabkan oleh GST permintaan domestik telah menurun dan sebab itulah masalah ekonomi negara tidak selesai,” kata Liew .

Semalam adalah hari pertama sesi Dewan Rakyat  dan menurut Najib: "GST menyebabkan kemerosotan ekonomi domestik adalah tafsiran pembangkang. Hakikatnya, GST adalah penyelamat ekonomi Malaysia. Tanpa GST, ekonomi negara akan lumpuh," ujarnya.

Pelaksanaan GST dari segi aspek makro dilihat mampu menampung hasil kerajaan daripada pengurangan hasil cukai petroleum.

Kerana itu kerajaan menganggap GST sangan petning dalam konteks makro yang merupakan penyelamat kepada keadaan kewangan dan ekonomi negara pada keseluruhan.

Menurut laporan kerajaan, jika  tiada GST, defisit negara dijangka  meningkat kepada 4.8 peratus dan bukan lagi 3.1 peratus pada tahun ini.

Dengannya ada hasil tersebut, kerajaan dikatakan dapat melaksanakan projek-projek pembangunan seperti jalan raya, hospital, sekolah, memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan sebagainya kepada rakyat.

Pada pendapat Barjoyai, penurunan sehingga 3 peratus GST akan menyebabkan jumlah kutipan GST berkurangan kepada RM20 bilion.

Jika dikurangkan kadar GST, ia akan menyebabkan pendapatan kerajaan terlampau rendah sehingga tidak dapat menampung perbelanjaan yang besar, dan akan menyebabkan defisit belanjawan naik sampai 4 peratus atau lebih, katanya.

Barjoyai tidak yakin kerajaan akan dapat mencapai sasaran kutipan GST sebanyak RM39 bilion kerana jumlah perbelanjaan persendirian yang merosot.

Kemungkinan berkurang hampir RM6 bilion hingga RM8 bilion.

Keadaan ini akan menyebabkan sasaran defisit perbelanjaan rakyat meleset sebab dijangkakan akan mencapai sasaran 3.1 peratus. tegasnya.

Pada masa yang sama PETRONAS telah menurunkan jangkaan dividen bayaran cukai yang akan mereka buat daripada RM60 bilion kepada RM30 bilion.

Ini juga satu cabaran besar buat kerajaan selain kutipan GST yang dilihat tidak akan mencapai sasaran sebanyak RM39 bilion.

No comments: