Tuesday, September 20, 2016

Laporan NYT Rosakkan Reputasi Perdana Menteri, Malaysia & Rosmah...


Adilkah laporan New York Times (NYT) semalam mengaitkan pembatalan anugerah kepada Datin Seri Rosmah Mansor dengan perkara-perkara yang ada kaitan dengan dakwaan rasuah terhadap keluarganya?

Dengan kata lain wajarkah isu perbelanjaan isteri Perdana Menteri dan tindakan pihak berkuasa Amerika Sayarikat terhadap anaknya, Riza Aziz dijadi sebab pembatalan berkenaan?

Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) pada saat akhir membatalkan anugerah yang dirancang diberikan kepada program Pusat Anak Permata Negara (Permata).

Laporan NYT bertajuk “Award cancelled for children's group with ties to Malaysian PM Najib's wife” 
walaupun tidak menyatakan sebab-sebab jelas penarikan anugerah itu oleh pertubuhan berkenaan, namun ia membayangkan ada kaitan dengan tuduhan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.

Sama sekali tidak faham apakah NYT atau juga penganjur mengesyaki bahawa pembiayaan PERMATA menggunakan wang yang ada kaitan dengan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB)?

Atau pihak-pihak tertentu di Amerika Syarikat kini menggunakan taktik kesalahan ‘secara menyeluruh’ (blanket) terhadap Perdana Menteri dan isterinya dalam apa juga kegiatan dan tindakan mereka?


Dengan pihak UNESCO tidak dapat memberikan memberikan butiran lanjut tentang pembatalan pemberian anugerah itu, NYT tidak sepatutnya membuat ramalan secara ‘membabi buta’.

Apakah niat NYT berbuat demikian?

Jika sebelum ini Wall Street Jornal (WSJ) melakukan ‘pelbagai dakyah’ terhadap Perdana Menteri dan isterinya dalam kaitan dengan  isu 1MDB, kini NYT turut terpalit.

Anugerah sempena Perhimpunan Agung Ke-71 Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) itu, julung-julung kali diadakan bagi mengiktiraf dan meraikan sumbangan beberapa individu di seluruh dunia yang telah menyumbang kepada keharmonian dan keamanan manusia sejagat.

Ia dijadualkan akan disampaikan di majlis penghormatan kepada wira dalam kempen global menentang keganasan pada 22 September ini, di Muzium Kesenian Metropolitan, New York.

Majlis berkenaan bakal diacarakan bersama oleh Ketua Pengarah UNESCO, Irina Bokova.

Laporan NYT mengenai pembatalan itu  tersebar luas dan dipetik oleh banyak akhbar antarabangsa yang mungkin akan menjejaskan lagi nama Perdana Menteri dan Malaysia di mata dunia.

Tindakan NYT itu sudah pasti memberikan kesan besar kepada reputasi negara, apalagi diri Rosmah sendiri. Ini kerana:

1.    Rosmah dikatakan terkenal dengan perbelanjaan mewahnya termasuk berbelanja membelai barang-barang mahal seperti beg Hermès Birkin;

2.      Kaum keluarga dan sahabat Rosmah dan suaminya dikaitkan dengan tindakan DOJ yang mahu merampas aset bernilai AS$1 billion termasuk  penthouse di Time Warner Centre in New York, bernilai $30.6 million; dan

3.      DOJ turut menyebut mengenai sebuah mansion di Los Angeles bernilai AS$39 juta.

Kesemua ini dikaitkan dengan kononnya wang yang dicuri daripada 1MDB.

Kenyataan mengenai pembatalan pemberian anugerah tersebut dikeluarkan oleh Tudor Parfitt, seorang sarjana yang terlibat dalam acara berkenaan.

Sebelum ini pada Sabtu, Bernama melaporkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dipilih untuk menerima anugerah 'Lead by Example' oleh UNESCO.

Anugerah itu sepatutnya diberikan atas usaha membangunkan potensi kanak-kanak khususnya di bawah program PERMATA.

Perkara itu, lapor Bernama, dimaklumkan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan merangkap Naib Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Datuk Seri Alias Ahmad dalam satu kenyataan.

Laporan NYT menyebut, persoalan ditimbulkan mengenai sumber pembiayaan PERMATA kerana walaupun penganjur majlis tahu tidak ada sebarang salah laku terhadap permata, mereka tidak punya banyak masa untuk memeriksa dan menilai pertubuhan itu.

NYT menyebut, majlis dianjurkan bersama oleh Ketua UNESCO, Ms Irina Bokova.

Oleh kerana beliau kini turut berminat untuk jawatan Setiausaha Agong Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), sebarang tindakan beliau akan diperhatikan. Malah dikatakan beliau mahu menjauhkan diri daripada terpalit dengan sebarang kontroversi.

Sejak DOJ mengumumkan keputusan untuk bertindak, Perdana Menteri dan isterinya kini mendapat perhatian antarabangsa khususnya di Amerika Syarikat.

Datuk Seri Mohd Najib Razak yang dipercayai sebagai "Malaysian Official 1" disebut dalam dokumen DOJ tetapi Rosmah tidak terpalit.

Namun anak Rosmah daripada perkahwinan pertamanya - Riza Aziz iaitu pengeluar filem – disebut dengan jelas dalam dokumen DOJ.

Sehingga ini, Pejabat Perdana Menteri dan UNESCO masih berdiam diri mengenai perkara itu.

No comments: