Friday, July 22, 2016

Kaitkan Nama Najib - Kenapa AG, Salleh, Annuar dan Rahman Meracau?


Panik semacam. Bagai dirasuk hantu dan ‘meracau’...

Tiada siapa sebut atau kata bahawa nama Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dikaitkan dengan keputusan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat untuk membuat sitaan terbesar dalam sejarah negara kuasa besar itu.

Jadi kepada anda semua – Apandi, Salleh, Annuar dan Rahman,  kenapa begitu bimbang? Kenapa bermatian-matian mempertahankan Perdana Menteri?

Memang  Najib tidak dinamakan sebagai defendan atau didakwa melakukan sebarang salah laku. Yang disebut ialah mereka yang rapat dengan beliau sahaja.

Tidakkah dengan penafian yang spontan  ini memungkinkan orang semakin bersyak-wasangka bahawa wang daripada dana 1MDB yang  dikatakan “dicuri” dan pembabitan individu yang dinamakan sebagai “Malaysian Official 1” itu sebagai Perdana Menteri?

Kerana mahu ‘membodek Perdana Menteri’, tidak pasal-pasal Najib dilihat menggunakan mereka ini untuk mempertahankannya.

Persetan dengan pembangkang kerana Najib ‘di pihak yang benar’ dan tidak perlulah beria-ia membuat penafian.

Dengan membuat penafian spontan dan beria-ia sedemikian, rakyat semakin tertanya-tanya kenapa kumpulan ini  cuba melindungi Perdana Menteri daripada...daripada apa ya?
  
Apandi...lebih bimbang daripada Najib
Peguam Negara,  Tan Sri Apandi Ali seperti dilaporkan Malaysiakini dengan tajuk ‘Tiada bukti wang digelapkan, PM tidak disebut' beria-ia mempertahankan bahawa tiada nama disebut oleh DOJ.

Isunya, memang semua tahu nama Perdana Menteri tidak disebut. Kenapa beliau kelihatan lebih bimbang daripada Perdana Menteri sendiri?.

DOJ semalam mengumumkan mahu menyita aset berbilion ringgit yang dikaitkan dengan 1MDB selepas didakwa terlibat dengan salah guna dan pengubahan wang haram.

Ia bakal mencatat sejarah sebagai sitaan terbesar dalam sejarah negara kuasa besar itu.

Yang diminta ialah sebagai ketua pentadbiran negara, atau orang nombor satu dalam pentadbiran, berusaha menyelesaikan isu ini dengan sebaik-baiknya.

Kalau Najib tidak bersalah, apa pula yang AG nak takutkan? Tolong tunjukkan takut bagi pihak PM? Untuk apa?

Perdana Menteri tidak kelihatan takut pun, sebaliknya AG dan rakan-rakannya yang meracau pula yang berlebih-lebih.

Najib sendiri memandang berat mengenai laporan disiarkan DOJ dengan menganggapnya  tindakan sivil dan bukan tindakan jenayah, malah menerima baik nama yang telah disebutkan di dalam laporan DOJ itu.

Perdana Menteri menegaskan kerajaan akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan semua pihak siasatan, termasuk badan siasatan antarabangsa.

"Oleh itu, proses perlulah dihormati, maknanya seseorang itu ada peluang untuk membela diri sendiri atau pun menggunakan proses kehakiman di mahkamah. Kita tidak sewajarnya membuat apa-apa kesimpulan selagi proses itu belum selesai.

Tapi maknanya kita pandang serius perkara ini dan kita tidak ingin ada mana-mana pihak menyalah anggap bahawa kerajaan tidak mahu prinsip 'good governance'. "Urus tadbir yang baik menjadi satu yang akan sentiasa diperjuangkan oleh Malaysia," katanya.

Selain itu, Perdana Menteri turut menyatakan bahawa  anak tirinya, Riza Aziz yang turut dinamakan dalam saman sivil DOJ untuk merampas aset-aset 1MDB perlu melalui proses kehakiman sama seperti orang lain.

Riza Aziz bertali leher merah...
“Sama seperti orang lain, beliau mempunyai hak beliau dan biarlah proses itu berjalan,” katanya.

Sebuah syarikat penerbitan filem yang diketuai Riza hari ini menafikan ia menerima dana AS$64 juta (RM256 juta) secara tidak sah daripada 1MDB bagi membiayai filem “The Wolf of Wall Street” yang dibintangi Leonardo DiCaprio.

Berasaskan kepada kenyataan Perdana Menteri itu, jelas beliau lebih relaks sama sekali berbanding ‘pembodek dan pengampunya’ yang terlalu bimbang nama Perdana Menteri dikaitkan sedangkan ia tidak berlaku.

Semalam, AG selain menegaskan tiada bukti menunjukkan wang daripada 1MDB digelapkan turut menzahirkan kebimbangan terhadap dakwaan dan sindiran terhadap Perdana Menteri terhadap dakwaan salah laku dalam kes langkah sivil in rem yang difailkan oleh DOJ.

“Peguam negara ingin jelaskan bahawa tiada dalam tuntutan sivil difailkan oleh DOJ AS yang perdana menteri dinamakan sebagai defendan atau didakwa melakukan sebarang salah laku,” katanya.

Rahman...nama PM tidak disebut
DOJ, dalam saman untuk menyita aset yang diperoleh menggunakan dana 1MDB, tidak sama sekali menamakan Najib. Mereka merujuk "Malaysian Official 1" didakwa menerima AS$781 juta wang yang disalah guna  dirujuk sebagai “pegawai tinggi dalam kerajaan Malaysia yang juga memegang jawatan autoriti dengan 1MDB”.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan turut menunjukkan beliau diracau apabila menegaskan bahawa Najib tidak dilibatkan dalam siasatan pihak berkuasa Amerika Syarikat itu  terhadap 1MDB.

"Kalau ada mana-mana pihak yang bersalah dalam siasatan ini, mereka perlu dihukum, tetapi yang paling penting ialah dalam dokumen yang telah dikeluarkan itu, perdana menteri tidak dilibatkan dalam siasatan itu.

"Malah, nama perdana menteri langsung tidak disebut," katanya pada satu sidang media di Petaling Jaya.

Bagaimana Abdul Rahman mengakui DOJ menyiasat aset-aset yang dikatakan dibeli dengan menggunakan wang yang tidak halal.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak pula menegaskan kenyataan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat itu lelas menyatakan Perdana Menteri tidak disiasat oleh pihak berkuasa negara itu.

Jadi, jika dah tahu tidak disebut, buat apa mahu beria-ia mempertahankan Perdana Menteri?
Salleh...tiada kaitan dengan Najib
 "Ia (siasatan) tiada kaitan dengan Najib. Apa yang disiasat adalah berkaitan 'money laundering' (pengubahan wang haram) ke atas tiga individu," katanya .

Semua tahu Peguam Negara Amerika Syarikat Loretta Lynch dengan jelas menyatakan bahawa mereka hanya menyiasat tiga individu yang dinamakan dalam kenyataan dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman.

Jika tiada apa yang mahu disembunyikan oleh kerajaan Malaysia berkaitan dengan apa yang telah dilakukan dalam 1MDB, relakslah da tidak payah bermati-matian mempertahankan Perdana Menteri.

Annuar...PM tidak berkait
Ketua Penerangan UMNO pun ikut celaru apabila mengucapkan “selamat berjaya” kepada pihak yang cuba memalitkan perdana menteri selepas pihak berkuasa di Amerika Syarikat  memulakan usaha menyita aset 1MDB.

“Sekali lagi kita ucap selamat berjaya pada pembangkang. Mereka boleh terus mencubanya dengan cara mereka. Kerajaan ada cara kerajaan,” kata Tan Sri Annuar Musa.

“Ia bukan merupakan saman jenayah tetapi saman sivil yang kena melalui proses-proses tertentu. Dan secara jelas di situ 1MDB ataupun PM tidak terkait dengan apa yang sedang mereka cuba lakukan,” katanya.

Yang cakap seperti ini ialah AG dan Menteri UMNO. Mana pemimpin BN Sarawak dan pemimpinan pati komponen komponen BN yang lain?

Tidak mahu mempertahankan Najib ker?

Atau mereka tahu, tidak guna membuat kenyataan apa-apa kerana ini buka kes politik tetapi lebih kepada isu sivil membabitkan pengubahan wang haram yang tiada kena mengena dengan Perdana Menteri.

Lagipun memang nama Najib tidak disebut dan tidak perlulah dirisaukan.

Yang menunjukkan kerisauan, bercelaru dan meracau ialah mereka yang sebelum ini ‘menerima habuan besar’ daripada Perdana Menteri.

Itu sahaja sebab dan faktanya!


No comments: