Saturday, July 30, 2016

Audit 1MDB - Juruaudit Antarabangsa Bermasalah Atau 1MDB Sorok 'Punca'?


Kini syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad  (1MDB)  perlu mencari juruaudit baru bagi syarikatnya.

Apakah selepas The Big Three, akan muncul firma audit keempat terbesar PwC untuk menjadi juruaudit 1MDB? Setakat ini menurut CNBC, firma itu mengunci mulut sama ada ia sudah memulakan kerja untuk 1MDB atau berminat mengambil peranan sebagai juruaudit.

Ini berikutan Deloitte sudah menyatakan hasratnya menarik diri daripada menjalankan kerja sedemikian, terutamanya selepas Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat  pada 20 Julai lalu mengemukakan dua saman sivil untuk menyita pelbagai aset dan harta tanah bernilai lebih AS$1 bilion.

DOJ mendakwa wang diperoleh aset dan harta itu adalah melalui wang (1MDB) yang diselewengkan.

Ada laporan  mengatakan Deloitte gagal menemui beberapa urus niaga dan tawaran yang dijalankan dan tidak dapat membuat audit yang ‘sebenarnya’.

Ini termasuk AS$ 3.5 bilion bayaran 1MDB kepada penipuan Aabar Investment PJS Limited, selain AS$ 1.56 bilion pelaburan 1MDB Global Investment Limited dalam beberapa dana pelaburan dianggap ‘kabur’.

Kenyataan Deloitte  yang berasingan  turut merujuk kepada apa yang disebut melalui kenyataan yang  dibuat oleh DOJ itu.
"The complaint contains information, which, if known at the time of the 2013 and 2014 audits of 1MDB, would have impacted the financial statements and affected the audit reports and, accordingly, those audit reports issued by Deloitte Malaysia dated March 28, 2014 and Nov 5, 2014 respectively in connection with the 2013 and 2014 financial statements of 1MDB should no longer be relied upon." (Deloitte, 27 July, 2016)
Dengan notis Deloitte untuk menarik diri, bagi melepaskan tanggungjawabnya sebagai juruaudit dana kerajaan Malaysia itu, menjadikannya firma audit ketiga yang menamatkan khidmat dengan 1MDB sejak penubuhannya pada 2009.

The Wall Street Journal melaporkan firma Ernst &Young (EY) ditamatkan pada 2010. Ia dilakukan oleh pemegang saham dan Lembaga Pengarah entiti itu.

EY adalah juruaudit pertama 1MDB yang dilantik pada 25 Mac 2009 oleh Terengganu Investment Authority dan ditamatkan kontrak pada 15 September 2010 sebelum 1MDB mengemukakan penyata kewangan pertama untuk tempoh berakhir 31 Mac 2010.

Ini kerana EY telah meminta untuk menyemak laporan due dilligence yang disediakan oleh pengurusan dan laporan status hak milik aset PetroSaudi International Ltd. (PSI) dalam syarikat usaha sama. EY juga meminta penyata kewangan syarikat usaha sama bagi melaksanakan penilaian nilai saksama terhadap saham, aset, liabiti dan liabiliti luar jangka syarikat tersebut.

Firma itu telah melaksanakan penilaian awal dan memohon maklumat tambahan bagi menentukan nilai jangkaan aset PSI dan perkara itu dibangkitkan semasa mesyuarat lembaga pengarah 1MDB. Ini menunjukkan EY tidak berpuas hati dengan laporan dan dokumen sokongan dan meminta pihak pengurusan mengemukakan lebih banyak maklumat.

EY tidak menemui dokuman berkaitan status pemilikan sebenar, nilai dan risiko yang berkaitan aset yang dilaburkan oleh rakan usaha sama. EY turut membangkitkan keperluan semula nilai aset bagi proses semakan kaedah perakaunan terhadap pertukaran ekuiti kepada Nota Murabahah dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac 2010 namun pada tarikh itu 1MDB tidak mempunyai dokumen yang mencukupi untuk membuktikan pemilikan aset oleh syarikat usahasama.

Semasa mesyuarat lembaga pengarah pada 4 Oktober 2010, dimaklumkan 1MDB PetroSaudi Ltd belum menyediakan penyata kewangan dan Ketua Pegawai Eksekutif telah menyakin lembaga pengarah perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang. Tetapi tiada sebarang bukti menunjukkan kertas perbincangan berhubung perkara itu pernah dibentangkan dalam mana-mana mesyuarat lembaga pengarah 1MDB.


Pendirian EY menimbulkan situasi kurang senang kepada pengurusan 1MDB dan pemegang saham serta lembaga pengarah memutuskan menamatkan perkhidmatannya," kata laporan itu.

Pada  7 Apr 2016 lalu, penemuan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) menyebut, bekas juruaudit 1MDB, Ernst & Young (EY) dan KPMG telah digantikan selepas berkeras melihat dokumen mengenai beberapa urusan dana syarikat itu.

Akaun-akaun 1MDB dari 15 Sptember 2010 hingga 2012 diaudit oleh KPMG. Perkhidmatan syarikat itu bagaimanapun ditamatkan pada Disember 2013. Menurut laporan jawatankuasa kira-kira Wang Negara berkaitan 1MDB, khidmat KPMG ditamatkan selepas enggan menandatangani akaun-akaun tanpa perincian berkaitan pelaburan bernilai AS$$2.32 bilion.

KPMG dilaporkan dipecat selepas bertelingkah pendapat megenai nilai pelaburan 1MDB dalam Bridge GLobal SPC melalui Brazen Sky Ltd. KPMG telah memutuskan untuk mengeluarkan laporan audit berkelayakan 1MDB untuk laporan kewangan 2013, tetapi firma audit itu tiba-tiba diganti dengan Deloitte.

Laporan itu menyebut berdasarkan minit mesyuarat antara 1MDB dan Tetuan KPMG pada 29 November 2013, ketua eksekutif 1MDB pada masa itu Mohd Hazem Abd Rahman cuba meyakinkan Tetuan KPMG mengenai pelaburan berkenaan.

Bagaimanapun, Tetuan KPMG tidak berpuas hati jika tiada apa-apa keterangan berdokumen.

Dalam mesyuarat lembaga 1MDB pada 9 Disember 2013, Hazem dimaklumkan bahawa Tetuan KPMG tidak berpuas hati dan akan mengadakan mesyuarat untuk memutuskan sama ada maklumat oleh pengurusan 1MDB boleh diterima dan mencukupi bagi maksud audit, atau untuk mengeluarkan pendapat berkelayakan.

KPMG telah memilih untuk mengeluarkan pendapat yang berkelayakan, menurut laporan PAC yang dibentangkan di Parlimen itu.

Oleh kerana pertikaian semakin meningkat antara KMPG dan 1MDB, laporan itu berkata 1MDB memberitahu KMPG untuk mendapatkan penjelasan daripada pengurus dananya Bridge Global Absolute Return Fund SPC (Bridge Global) di Kepulauan Cayman.

Sebagai rekod, aduan DOJ membabitkan beberapa  nama disebut termasuk anak tiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz dan hartawan kelahiran Malaysia, Low Taek Jho yang lebih dikenali dengan nama Jho Low.


Seorang individu lain juga disebut namun identitinya tidak didedahkan kecuali dirujuk sebagai Malaysian Official 1.

DOJ mahu menyita lebih AS$1 bilion aset yang dikatakan berpunca daripada 1MDB walaupun  pihak Malaysia mendakwa ia tiada kena kena dengan 1MDB. Lembaga 1MDB bagaimanapun berkata mereka yakin tiada sebarang salah laku berlaku.

Deloitte Malaysia menjelaskan, dalam aduan yang melibatkan beberapa maklumat, jika diketahui pada 2013 dan 2014, akan menyebabkan wujud perbezaan dalam laporan kewangan dan laporan audit olehnya terhadap 1MDB.

Deloitte dikatakan mengesahkan audit untuk tahun kewangan 2013 dan  2014 dengan kedudukan di mana pihaknya tidak mendapat kedudukan sebenar beberapa maklumat yang dikatakan sebagai ‘kabur’.

Berikutan itu, standard audit Deloitte menjadi tanda tanya sejak 2015 selepas 1MDB didapati sukar memenuhi obligasi membayar faedah dan balik hutangnya.

1MDB pada 26 Jul 2016 berkata penyata kewangan 2013 dan 2014 yang ditandatangani Deloitte pada 28 Mac 2014 dan 5 November 2014 tidak boleh lagi digunakan sehingga dakwaan dibuat DOJ ditentukan di mahkamah.

Bagaimanapun kata syarikat itu tindakan berkenaan diambil hanya sebagai "langkah berjaga-jaga".

"Walaupun lembaga tetap yakin bahawa tiada kesalahan dilakukan 1MDB, dan penyata kewangan yang telah diaudit sebelum ini terus menunjukkan gambaran sebenar dan saksama mengenai hal ehwal syarikat pada masa berkenaan, lembaga memutuskan, sebagai langkah berjaga-jaga, penyata kewangan 2013 dan 2014 yang diaudit tidak lagi boleh digunakan oleh mana-mana pihak sehingga keputusan muktamad mahkamah dibuat berhubung dakwaan tertentu seperti dinyatakan aduan (DOC) berkenaan," kata syarikat itu dalam kenyataan .

Kenyataan  itu juga menyebut 1MDB juga sedang mencari juruaudit baru selepas firma sebelum ini, Deloitte, menyatakan keinginan mereka menarik diri pada 26 Februari lalu.
Bagaimanapun, kata syarikat berkenaan, Deloitte kekal sebagai juruaudit 1MDB, termasuk untuk anak syarikatnya TRX City Sdn Bhd, Bandar Malaysia Sdn Bhd dan Edra Bhd sehingga firma baru dilantik.

Untuk laporan audit akaun 2015,  1MDB diberikan tarik lanjutan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia sehingga 30 September  2016.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Negara Tan Sri Irwan Serigar Abdullah berkata semalam, juruaudit baru untuk 1MDB akan diumumkan tidak lama lagi. Beliau enggan mengulas mengenai soalan lain berkaitan 1MDB.

"Saya tidak mahu respon kepada itu, terima kasih," katanya ketika ditanya mengenai 1MDB pada sidang media di majlis penutup bagi program 'Bahasa Inggeris 1Malaysia' di Kuala Lumpur semalam. Irwan Serigar juga mengetuai lembaga pengarah baru 1MDB.

Menurut Deloitte Malaysia, maklumat dalam saman DOJ berkaitan rampasan aset berkaitan 1MDB, menjejaskan laporan audit syarikat pelaburan Deloitte pada tahun 2013 dan 2014.

Ini kemudian diulangi oleh Deloitte, yang berkata bahawa audit 1MDB bagi tahun itu akan memberi kesan dalam tindakan undang-undang DOJ.

Persoalannya, kenapa pentadbiran baru 1MDB yang diketuai Mohd Irwan Serigar membuat keputusan membatalkan laporan itu? Ada yang tidak kena dengan laporan audit Deloitte itu?

Dan bagaimana boleh Deloitte Malaysia mengatakan ada perkara yang ‘kabur’?

Apa yang tidak kena atau ada perkara-perkara yang ‘’dirahsiakan’ menyebabkan 1MDB membatalkan laporan itu?

Berapa belanja sudah dibayar kepada ‘The Big Three’ dan berapa pula akan dibayar kepada firma juruaudit keempat nanti?


Apakah sejarah berulang di mana 1MDB akan berusaha ‘mengelak soalan-soalan cepu mas’ dan 'menyorok punca masalah' daripada juruaudit dan akhirnya 1MDB perlu melantik juruaudit baharu pula?

No comments: