Saturday, June 18, 2016

Risalah PAS Sudah Terlambat, Teruskan Dengan Hanya Menjadi Penasihat...


Pada hari akhir kempen semalam, PAS yang mendakwa partinya sebagai parti PENASIHAT dengan mengaitkan lima perkara membabitkan isu hutang negara, perbelanjaan boros serta isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Dalam konteks hutang negara dan 1MDB, PAS menganggap ia hilang  barakah kerana melibatkan riba.

PAS berkata cara berhutang oleh Kerajaan Persekutuan adalah riba yang dimurkai  oleh Allah sehingga kehilangan barakah sehingga terpaksa membayar amaun pengurusan hutang termasuk bunga Riba setiap tahun melebihi RM20 bilion.

Setakat ini, risalah  PAS ini adalah paling jelas kerana sepanjang kempen di Kuala Kangsar atau Sungai besar sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) berkembar kali ini, PAS dilihat lebih menumpukan kepada isu dan penjelasan membabitkan usul rang undang-undang persendirian iaitu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.

Ketua Penerangan, Dewan Ulamak PAS Pusat Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri (dari Seberang Takirlah tu agaknya), semalam berkata PAS membawa politik berhikmah dengan tegas pada tempat yang memerlukan ketegasan dan berlunak pada tempat yang memerlukan kelunakan.

Berikutan itu, PAS mengajak seluruh rakyat di Kuala Kangsar dan Sungai Besar daripada pelbagai parti bersama dengan PAS dalam menegaskan prinsip-prinsip berkenaan.

Katanya, penyertaan PAS dalam mana-mana pilihan raya mempunyai misi yang sangat jelas iaitu membawa dua risalah, iaitu Politik Islam yang diungkapkan sebagai “menegakkan agama dan mentadbir bumi dengan agama” selain Dakwah Islam dengan memperkenalkan Aqidah, Syariat dan Akhlak Islam serta membawa risalah keadilan dan kesejahteraan Islam untuk seluruh rakyat muslim dan bukan muslim.

Menurut Dr Mohd Khairuddin,  risalah PAS ini adalah dokumen selepas selama hampir dua minggu ahli dan jentera PAS dari seluruh negara berlumba-lumba atas nama jihad politik dan dakwah menyumbang segala keringat tenaga, harta dan masa yang mereka ada,  berkempen membawa risalah politik dan dakwah Islam demi meraih ganjaran daripada Allah.

Nasihat semasa yang PAS mahu peringatkan adalah:

1. Bahawa negara sedang berhadapan dengan krisis ekonomi akibat pengurusan kewangan negara yang tidak menepati saranan Islam iaitu boros ketika mewah untuk tempoh yang panjang puluhan tahun khususnya selepas krisis ekonomi 1997, sedang al-Quran mengajar bahawa hamba-hamba Allah ialah :
وَالَّذِينَ إِذَا أَنفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًا (67)
“Dan mereka yang apabila berbelanja tidak boros dan tidak pula kedekut dan adalah perbelanjaan itu pertengahan antara keduanya” (surah al-Furqan ayat 67)

2. Kerajaan Persekutuan berhutang dengan amaun yang besar RM630 bilion (rm630,000,000,000) akibat tunggakan hutang yang semakin meningkat daripada rm90 bilion sejak 1998. Ia berpunca daripada prinsip pegangan yang salah bahawa negara tidak ada masalah untuk berhutang bagi menyuntik kemajuan bagi negara. Sedang al-Quran menyatakan :
لِيُنْفِقْ ذُو سَعَةٍ مِنْ سَعَتِهِ ۖ وَمَنْ قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنْفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ ۚ
“hendaklah berbelanja orang berkemampuan berdasarkan kemampuannya dan sesiapa yang disempitkan rezkinya maka berbelanjalah mengikut kadar yang diberikan oleh Allah”
(surah al-Talak ayat 7)

3. Bahawa kerajaan persekutuan telah berhutang dengan cara yang diMURKAI oleh Allah sehingga kehilangan BARAKAH iaitu secara RIBA sehingga terpaksa membayar amaun pengurusan hutang termasuk bunga Riba setiap tahun melebihi rm20 bilion. Sedang Allah menyatakan:
فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ۖ
“Maka sekiranya mereka tidak melakukan (perintah meninggalkan riba) maka isytiharkanlah perang daripada Allah dan Rasul-Nya”
(surah al-Baqarah ayat 279)



4. Bahawa kegagalan 1MDB berpunca daripada prinsip yang salah iaitu berhutang secara RIBA bagi mendapatkan modal perniagaan sehinggakan syarikat yang hanya bermodal rm1 juta mencipta hutang RIBA melebihi rm42,000 juta.

5. Bahawa Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) adalah cara yang salah dalam mendapatkan sumber kewangan negara kerana ia dikenakan kepada semua golongan kaya dan miskin lalu menyebabkan pula inflasi kenaikan harga barang. Sedang ruang dan cara yang lebih barakah bagi mendapatkan hasil negara diketepikan seperti cukai simpanan korporat dan orang yang berkemampuan serta cukai keuntungan jual beli saham oleh golongan korporat dan orang yang berada.

SERUAN

Justeru, PAS dengan penuh rendah diri mengajak seluruh rakyat di Kuala Kangsar dan Sg Besar daripada pelbagai parti bersama dengan PAS dalam menegaskan prinsip-prinsip tersebut.

No comments: