Monday, June 13, 2016

PAS Kembali Radikal Dengan ‘Fatwa’ Terbaru Hadi???


"Semua pengundi yang memilih ahli parlimen yang salah  dan tidak jujur - selain PAS - berdosa dan akan menerima 'celaka' dan akan dilaknat Allah." 

Tidak ada pilihan lagi kepada pengundi di Sungai Besar, mahupun Kuala Kangsar, pada 18 Jun ini kecuali mengundi parti PAS.

 ‘Fatwa’ terbaru Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ialah “berdosa dan celaka jika pilih wakil rakyat salah.”

“Salah’ pada takrif Hadi ialah selain daripada PAS, tidak kiralah UMNO, Barisan Nasional (BN), Amanah atau  Pakatan Harapan, juga Bebas.

Selain itu pengundi yang tidak mengundi PAS  akan dilaknat Allah kerana memilih ahli parlimen tidak jujur.

Kenyataan terbaru Hadi ini akan mengundang perbahasan pelbagai aspek, sama ada dalam konteks politik, perpaduan umat Islam, akidah serta juga perkara lain membabitkan kerjasama politik antara PAS dan parti lain, khususnya dengan UMNO.

"Fatwa' ini juga bermakna bahawa Hadi tidak menyifatkan sikap lembutnya dengan UMNO, khsuusnya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selama ini sebagai sesuatu toleransi dalam konteks hubungan parti tetapi tidak dalam aspek membuang undi atau memilih ahli parlimen.

Berdasarkan apa yang diucapkannya terbaru itu semua pengundi yang memilih ahli parlimen - selain PAS - berdosa dan akan menerima 'celaka'.

Persoalannya, apakah dengan kenyataan ini bermakna PAS kembali membuat hukuman bahawa orang UMNO yang mengundi Barisan Nasional atau penyokong AMANAH yang bergama Islam akan turut mendapat celaka jika tidak mengundi PAS?

Demi  mendapatkan  keredaan Allah dan terlepas daripada dosa - seseorang pengundi itu sama ada dia ahli UMNO, AMANAH atau ‘atas pagar’ - perlu mengundi PAS agar tidak menerima padah ‘berdosa dan celaka’.

Jika demikian, apakah bermakna ‘fatwa’ ini menjurus kepada bayangan ke arah pembubaran UMNO dan AMANAH supaya tidak dilaknat oleh Allah?

Atau boleh kekal dalam apa juga gerakan atau parti tetapi apabila mengundi hanya PAS yang perlu dipangkah.


Malam semalam pada satu ceramah di Sungai Besar,  Presiden PAS itu  memberi amaran kepada pengundi di kawasan Parlimen itu  bahawa mereka akan berdepan dengan kemurkaan Allah jika memilih ahli parlimen salah pada 18 Jun ini.

Ini kerana  memilih wakil rakyat adalah satu tanggungjawab. Dan kerana itu, kata Hadi, “kalau apa yang diucap (oleh ahli parlimen) adalah salah, (maka) berdosa dan celakalah kita.”

Akibat hukuman sudah dinyatakan oleh Hadi,  pendirian ini sudah pasti akan dijadikan oleh PAS sebagai pendiriannya untuk menghadapi pilihan raya akan datang, termasuk pilihan raya umum ke-14.

Bagi pengundi di dua kawasan parlimen pilihan raya kecil kali ini, khususnya kepada yang beragama Islam, mereka terpaksa berfikir panjang apakah ‘fatwa’ ini wajar diikuti atau ia sekadar pendapat  oleh seorang pemimpin politik sebauh parti semata-mata.

Jika dilihat kepada apa yang di’fatwa’kan oleh Hadi itu. hanya PAS sahaja yang ‘mendapat keredaan’ sementara UMNO, AMANAH serta parti lain adalah parti yang akan menyumbang kepada ‘dosa dan celaka’.

Hadi menyifatkan  calon-calon PAS, adalah jujur serta bertanggungjawab kerana telah melafazkan sumpah bai'ah bagi memastikan mereka tidak menyimpang dari prinsip-prinsip parti Islam itu.

“Kalau khianat akan dilaknat oleh Allah. Sebab itu wakil PAS tak makan dedak walaupun orang tabur dedak,” katanya, merujuk kepada kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu sebelum ini berkata bahawa beliau telah menemui Hadi bagi menerangkan dakwaan salah laku Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak tetapi “apa yang dia nampak ialah dedak."

Menurut Hadi, sumpah bai’ah itu turut melindungi  wakil PAS supaya tidak akan  pernah terbabit dalam mana-mana skandal rasuah, termasuk yang melibatkan banglo.

Walaupun beliau tidak menyebut sebarang nama, bidasan itu mungkin ditujukan kepada bekas sekutu PAS yang kini bertukar menjadi musuhnya, iaitu Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang kini disiasat atas tuduhan rasuah kerana membeli banglo di bawah harga pasaran.

Hadi juga mungkin merujuk kepada bekas Menteri Besar Selangor Dr Khir Toyo, yang baru-baru dibebaskan daripada tahanan rumah selepas menjalani hukuman penjara kerana skandal rasuah dalam pembelian banglonya.

Sebelum ini, PAS pernah  mendakwa mereka yang mengundi calon parti itu akan mendapat ganjaran Allah pada akhirat termasuk memasuki syurga.

Ini kerana ahli parlimen yang dipilih mewakili kerusi Sungai Besar dan juga Kuala Kangsar berpeluang membahas dan mengundi berhubung usul rang undang-undang persendirian Hadi bagi memperkasakan kuasa mahkamah syariah pada sesi Parlimen akan datang.

Pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) akan membuka jalan bagi pelaksanaan hudud di Kelantan.

Juga persoalan, apakah Hadi melihat politik dan pentadbiran di Malaysia ini hanya berkisar sekitar usul RUU 355 sahaja dan tidak perkara lain?

Akan banyak lagi perdebatan mengenai ‘fatwa’ Hadi ini kerana PAS hanyalah sebuah parti yang mendapat sokongan kecil berbanding UMNO yang pendokongnya juga beragama Islam.

No comments: