Friday, May 20, 2016

Rafizikah Yang “Jijik”, “Jahat”, “Semberono” & Merancang Serangan Terhadap Azmin?


Permainan apa dalam PKR sekarang?

Ada pihak tidak berpuashati dengan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kelihatan rapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad melalui Deklarasi Rakyat?

Tuduhan 'wujud permintaan perempuan apabila berurusan dengan kerajaan negeri'  Selangor bagaikan isu yang sengaja dilemparkan ke muka Azmin.

Dakwaan meegejutkan itu disebut dalam perbualan Whatsapp yang bocor, apabila Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli didakwa berkata beliau menerima aduan mengenai perkara itu.

Ia berlaku selepas surat dari penjara Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengingatkan pemimpin PKR supaya berhati-hati dengan Dr Mahathir. Ada melihat surat itu sebagai kebimbangan Anwar bahawa pengaruhnya semakin merosot.

Azmin hari ini (20 Mei 2015)menganggap  dakwaan 'wujud permintaan perempuan apabila berurusan dengan kerajaan negeri' itu satu tuduhan jijik dan kempen fitnah terancang.
"Menuding jari kepada kerajaan negeri tanpa sebarang bukti sokongan dan kemudiannya menjaja tuduhan tersebut kepada semua pihak adalah satu tindakan bacul, tidak bertanggungjawab dan berniat jahat," tegasnya dalam satu kenyataan, Jumaat.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata orang yang menuduh itu telah mencemarkan nama baik, maruah serta integriti perkhidmatan awam negeri kerana melakukan serangan jahat dan semberono.

Rafizi menyatakan dalam perbualan itu bahawa beliau lebih mengambil berat tentang dosa berbanding strategi politik.

“Saya bukan kisah sangat mengenai strategi politik dan lain-lain.

“Selama ini tidak pernah sekali pun saya pergi ke SUK sejak saudara Azmin jadi MB untuk minta atau bincang sesuatu,” katanya.

Isu terbaru itu berlaku ketika kemunculan warkah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengingatkan pemimpin PKR mengenai bahaya bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Deklarasi Rakyat.

Ini mencetuskan spekulasi mengenai keretakan dalam PKR.

Bekas pemimpin PKR Datuk Zaid Ibrahim juga mengaitkan surat itu dengan perebutan yang dikatakan antara isteri Anwar yang juga Presiden PKR Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Azmin.


Pada Azmin, dalam mewujudkan sebuah kerajaan bersih dan bebas rasuah, pentadbiran negeri mengalu-alukan pemberi maklumat tetapi ia perlu disertakan dengan sekurang-kurangnya 'sekelumit bukti'.

"Sikap kita amat jelas. Pentadbiran ini mengalu-alukan pemberi maklumat yang berhasrat untuk melihat kerajaan yang bersih dan bebas daripada rasuah. Pada masa yang sama, mereka yang membuat tuduhan ini perlu membawa hatta sekelumit bukti sekali pun kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk tindakan.

Azmin sebagai ketua pentadbir negeri berkata semua pihak bertanggungjawab untuk memelihara nama baik dan maruah kakitangan awam serta eksekutif daripada sebarang tuduhan liar yang tidak bertanggungjawab.

Rafizi sebelum ini dikatakan membuat dakwaan melalui mesej WhatsApp bahawa PKR yang diterajui kerajaan negeri Selangor telah menggunakan wang dan seks dalam urusan pentadbirannya. Rafizi didakwa berkata demikian dalam kumpulan perbualan WhatsApp 'Solidarity For Anwar'.

Rafizi berkata ada 'orang bona fide' datang kepadanya dengan aduan itu dan beliau kini sedang mengumpul semua maklumat dan bukti.

“Semalam saya mendapat laporan dan aduan daripada orang bona fide bahawa selain wang, sekarang ini ada juga permintaan 'perempuan' bila berurusan dengan kerajaan negeri (tidak perlulah saya hurai saudara/i tahu apa yang saya maksudkan).

“Saya bukan kisah sangat mengenai strategi politik. Selama ini tidak pernah sekalipun saya pergi ke SUK sejak sdr. Azmin jadi MB untuk minta atau bincang sesuatu,” katanya.

Rafizi mengakui wujud unsur-unsur tidak baik dalam PKR yang mempunyai potensi untuk memusnahkan parti tetapi enggan mengulas lanjut.

Hari ini Rafizi   mengesahkan beliau menulis mesej yang dihantar kepada perbualan kumpulan tertutup menggunakan aplikasi komunikasi WhatsApp berhubung dakwaan habuan wang dan wanita ketika berurusan dengan kerajaan negeri Selangor.

Pada masa sama, beliau juga mengakui didatangi oleh beberapa individu yang melahirkan kebimbangan mengenai beberapa isu bersabit amanah dan tata kelola secara umum dengan memberi contoh tuduhan salahlaku.

"Tuduhan itu bukan individu yang menjawat kerusi wakil rakyat (baik di Dewan Negeri, Dewan Rakyat atau Dewan Negara sama ada yang masih berkhidmat atau telah bersara) atau mana-mana kakitangan kerajaan di mana-mana jabatan di bawah Kerajaan Selangor," jelas beliau dalam kenyataan.

Bagi Razifi sebagai Pengarah Eksekutif Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (Now), beliau menerima ribuan maklumat dan aduan setiap tahun berkaitan salah laku dan penyelewengan di pelbagai institusi awam dan swasta.

"Hanya sebahagian kecil dari maklumat atau aduan ini yang akhirnya akan sampai kepada rakyat kerana sebahagian besar dari aduan ini tidak melepasi keperluan bukti minimum yang ditetapkan oleh Now sebelum dibawa kepada rakyat," ujar ahli parlimen Pandan itu.

Amat nyata, kini wujud pertelingkahan di kalangan kepimpinan tertinggi PKR, malah kemarahan Azmin tidak dapat dibendung lagi.

Kenyataan Menteri Besar Selangor yang  menyifatkan dakwaan yang menyebabkan pentadbirannya berdepan fitnah “jijik”, “jahat”, “semberono” dan terancang bagi melemahkan semangat penjawat awam negeri pastinya akan berlanjutan.

Azmin bengang kerana jelas Rafizi sudah menjaja tuduhan tersebut kepada semua pihak yang diaggap tindakan bacul, tidak bertanggungjawab dan berniat jahat, menyerlahkan pertelingkahan puak-puak dalam PKR.

Nyata sekali  dalam PKR kini wujud kumpulan meempertahankan Anwar dan yang mahu membebaskan diri daripada pengaruh Anwar ketika suasana politik ngara semakin berubah kepada kekuatan dan keberkesanan Deklarasi Rakyat.

No comments: