Tuesday, May 31, 2016

Usaha Memalukan Dr Mahathir – ‘Moron’ Atau 'Hantu Raya' Terlibat Dengan Penjualan Data Peribadi?


Jika Gerakan Selamatkan Malaysia (GSM) tiada urusan dengan pengaturcara komputer separuh masa Azharuddin Othman @ Abdullah yang menjual data peribadi, SIAPA DIA SEBENARNYA?

Dia ini ‘pecacai atau hantu raya’ siapa?

‘Budak dari Terengganu’ ini dalam kawalan radar orang politik atau siapa?

Setiausaha Sekretariat GSM, Kamarudin Jaffar semalam turut menafikan mempunyai hubungan atau urusan dengan Syarul Ema Rena Abu Samah atau Ratu Naga.

Apakah Azharuddin ini MENDAPAT DEDAK atau menjadi ‘askar upahan’ kepada seseorang atau sekumpulan untuk merendah-rendahkan keyakinan rakyat terhadap Deklarasi Rakyat?

Yang nyata ‘pengorbanan Azharuddin’ ini bertujuan mempelekehkan Tun Dr Mahathir Mohamad, penggerak Deklarasi Rakyat.

Tindakan Azharuddin pada Khamis lalu (26 Mei 2016) yang tampil dengan akuan berkanun mendakwa didatangi seorang wanita bernama Ratu Naga yang ingin membeli pangkalan data mengandungi 900,000 nama pada harga RM5,000, mengundang dirinya untuk menghadapi sekurang-kurangnya dua pertuduhan.

Pertama pertuduhan memiliki data atau peribadi individu dan juga membuat ‘tuduhan palsu’ mengenai tandatangan yang dikumpul GSM.

Hakikatnya, bagi mana-mana individu yang didapati menyebar dan menjual maklumat yang terkandung pangkalan data penduduk negara, tindakan undang-undang boleh dikenakan.

Ini kerana maklumat yang terkandung dalam data berkenaan adalah maklumat yang diklasifikasikan sebagai sulit dan hanya orang yang berhak sahaja mempunyai capaian akses kepada maklumat itu.

Maklumat atau data peribadi adalah sulit dan ia tidak berhak untuk disebarkan kepada mana-mana pihak dan boleh didakwa melakukan kesalahan serta melanggar peraturan dan boleh diambil tindakan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Azharuddin mendakwa beliau dihubungi oleh Ratu Naga pada 26 April 2016, untuk membeli pangkalan data warganegara Malaysia dengan tujuan mengumpul 1.2 juta tandatangan untuk Deklarasi Rakyat yang disokong oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Azharuddin juga mendakwa memiliki data itu berdasarkan kerjanya sebagai pengaturcara komputer separuh masa dengan parti-parti politik bagi tujuan pilihan raya.

Dalam akuan bersumpah itu, Azharuddin berkata ‘Ema’ memerlukan pangkalan data tersebut untuk keperluan bekas Perdana Menteri itu bagi Deklarasi Mahathir yang akan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong.

Di Kuala Terengganu hari ini, polis mengatakan akan memanggil pengatur cara komputer Azharuddin Othman, 30, yang dipercayai terlibat menjual maklumat pangkalan data penduduk negara bagi tujuan memalsukan tandatangan dalam ‘Deklarasi Mahathir’.

Azharuddin dan rakan-takan termasuk CikguBard
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata pihaknya akan menjalankan siasatan dan mendapatkan butiran terperinci berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

“Kami akan memanggil individu itu dalam masa dua atau tiga hari lagi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan tersebut dan siasatan menyeluruh akan dilaksanakan. Selain itu, kami juga akan meneliti terlebih dahulu jenis maklumat yang disebarkan sebelum tindakan lanjut dilakukan,” katanya di Wisma Darul Iman hari ini.

Apa yang diharapkan siasatan polis ini boleh dilakukan pada kadar yang segera dan mendedahkan kepada umum benarkah data itu palsu atau sebaliknya. Jika ada kes pendakwaan perlu dilakukan segera.

Selepas ini jangan ada pula yang lari ke luar negara, mengelak tindakan pihak berkuasa.

Azharuddin ketika membuat kenyataan itu, bukan secara individu tetapi secara berkumpulan. Beliau membuat dakwaan dihadiri aktivis PKR yang juga penentang Deklarasi Rakyat, Badrul Hisham Shaharin (Chegubard). Azharuddin turut menunjukkan salinan akuan berkanun yang mendakwa didatangi seorang wanita yang menggunakan nama samaran “Ratu Naga” di Facebook.

Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) menyelar tindakan Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shahrin (Chegubard) yang mendakwa sejuta tandatangan dalam Deklarasi Rakyat adalah palsu.


Presiden GKCM, Kamarul Azman Habibur Rahman berkata, Badrul Hisham kini lebih bersifat sebagai seorang ‘askar upahan’ yang sedang mencari makan, dan tidak mempunyai hujah berkualiti.

“Kini beliau menjual fitnah bersama seorang rakan dengan mengatakan bahawa terdapat unsur tandatangan palsu dalam Deklarasi Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Kamarul turut mendakwa Badrul Hisham atau Chegubard sudah ‘dibeli’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ratu Naga pada 27 Mei 2016 menafikan sekeras-kerasnya pernah berhubung dengan Azharuddin Othman @ Abdullah, apatah lagi membeli pangkalan data yang mengandungi 900,000 nama dan nombor kad pengenalan untuk Deklarasi Rakyat.

“Dengan nama Allah saya tak kenal dia langsung. Ini fitnah. Tapi saya tergamam sebab dia boleh bersumpah kenal saya,” kata Ratu Naga.


Bagi GSM, Kamarudin berkata, pihaknya menekankan semua usaha telah diambil untuk mengeluarkan tandatangan mencurigakan daripada Deklarasi Rakyat.

Jumlah tandatangan atas talian yang diterima dan disahkan setakat ini ialah 1,071,997 dengan 253,505 tandatangan ditolak atas faktor pertindihan dan tidak lengkap manakala sebanyak 200,000 adalah tandatangan yang diterima secara bercetak.

“Kami sedar usaha untuk memperkecilkan sokongan rakyat kepada deklarasi ini dan juga penentangan terhadap usaha-usaha agenda reformasi. Audit terhadap tandatangan yang diterima dilakukan secara berterusan untuk memastikan integriti dan kesahihan,” katanya.

Bagi GSM, ia yakin tandatangan yang akhirnya diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ini  adalah yang selayaknya dengan kepercayaan dan tanggungjawab yang diberikan oleh mereka yang menandatangani deklarasi kepada GSM.

Kita tunggu apakah GSM dapat membersihkan diri dan menafikan tuduhan Raja Petra Kamarudin bahawa kejadian kononnya ‘tanda tangan palsu’ ini akibat Dr Mahathir percaya kepada seorang ‘moron’ (bahlul? dungu? sasau?mambar? tersangat bodoh?).

Kata Raja Petra:
“It seems the de facto Opposition Leader, Tun Dr Mahathir Mohamad, is pissed off big-time with his so-called political strategist, Syed Akbar Ali, on bungling the 1 million Citizens’ Declaration signatures. Syed Akbar has just proven that he qualifies to be honoured with a place in the hall of fame as the perfect moron.”

jika terbukti GSM di pihak yang benar, kita pun boleh dengan sendirinya mengatakan siapa sebenarnya yang ‘moron’.

Friday, May 27, 2016

1MDB Antara Penyebab Bank Switzerland Berusia 143 Tahun Di Tutup?


Hebat kisah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ini.

Selain menjadi isu ekonomi dan politik di Malaysia, ia kini popular seantero dunia.

!MDB juga mempopularkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, bukan sebagai tokoh ekonomi atau perbankan tetapi dikaitkan dengan isu rasuah dan pengubahan wang ke dalam akaunnya.

Untuk sesekian kalinya Perdana Menteri Malaysia mashyur bukan kerana sumbangan atau jasa-jasanya kepada dunia seperti Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi perkara ‘sumbang’ yang dikaitkan dengan diri dan keluarganya.

Laporan Malaysiakini semalam amat menarik bagaimana hubungan 1MDB menyebabkan sebuah bank Switzerland berusia 143 tahun terpaksa ditutup.
 
Sumbangan 1MDB kepada  sejarah perbankan negara itu akan dicatatkan. Ia akan dijadikan rujukan bagaimana sebuah entiti perniagaan milik Kerajaan Malaysia menghancurkan institusi perbankan terkenal di Switzerland.

Walaupun banyak pihak ragu-ragu mengenai peranan Najib dalam kaitannya dengan bank ini, namun ternyata gara-gara hubungannya dengan Jho Low, mendedahkan Perdana Menteri kepada beberapa kemungkinan – termasuk siasatan oleh pihak antarabangsa.

Apakah penutupan bank berkenaan sebagai pengakhiran isu 1MDB?

Tidak sama sekali. Hakikatnya ia adalah permulaan kepada siasatan yang lebih terperinci dan menyeluruh kerana satu daripada isunya mengenai tindakan  Jho Low mengelurkan  AS$529 dari akaun di BSI cawangan Singapura dan dipercayai dipindahkan ke Hong Kong.

Kita tunggu perkembangannya. Sementara itu baca apa yang dilaporkan oleh Malaysiakinisemalam:

Akhiran Riwayat Bank BSI Pada Usia 143


Alkisah 1MDB telah meninggalkan jejak kebinasaan merentasi tiga benua, dengan menyaksikan ramai tokoh-tokoh korporat dan perbankan utama meletakkan jawatan, pendakwaan pegawai bank dan pembekuan beberapa akaun.

Bagaimanapun, mangsa paling utama setakat ini ialah Bank BSI Bank, yang berdepan dengan prosiding jenayah atas, antaranya, kegagalan mematuhi peraturan pengubalan wang haram dalam mengendalikan pemindahan berkaitan 1MDB.

Penyiasatan antarabangsa, yang secara dasar dikepalai oleh pihak berkuasa Swiss dan Singapura, telah membongkar bank yang berusia 143 tahun itu.

Malaysiakini menerokai tentang kepentingan pemkembangan ini dan peranan BSI dalam kisah 1MDB.

Mengenai BSI

Banca della Swizzera Italiana, atau BSI, diasaskan pada tahun 1873.

Bank itu memulakan peluasan antarabangsanya pada 1969 dan melebarkan sayapnya ke Hong Kong pada 1981, kemudiannya ke Singapura pada 2005.

Menurut laporan tahunan BSI, ia memiliki kekuatan tenaga kerja seramai 1,256 kakitangan di Switzerland dan 656 pekerja di luar negara, dengan 310 daripadanya di Asia.

Pada masa ini, ia dimiliki oleh Grupo BTG Pactual, namun dalam proses untuk diambil alih oleh EFG International pada harga 1.33 bilion Swiss franc. Nilai tersebut dijangka lebih rendah ekoran tindakan pihak berkuasa ke atas BSI.

Akhiran riwayat BSI

Walau sebelum pihak berkuasa Swiss dan Singapura menamatkan riwayat BSI, bank itu telahpun dilanda masalah ketika siasatan 1MDB menjana momentumnya.

Bulan lepas, Bloomberg melaporkan bahawa beberapa kakitangan kanan meninggalkan BSI cawangan Singapura, termasuk ahli-ahli jawatankuasa yang menyemak dengan para pelanggan utama semasa era 1MDB selain ketua pematuhannya.

Ketua pegawai operasi bagi operasi Asia BSI, Gary Tucker, yang turut meninggalkan bank itu, manakala ketua operasi Asia BSI, Hanspeter Brunner, telah mengumumkan persaraannya.

Namun, libasan paling dahsyat berlaku, pada Selasa lalu, apabila Singapura mengarahkan penutupan bank BSI di negara itu.

Menariknya, ia adalah tindakan pertama yang seumpamanya oleh pihak berkuasa Singapura dalam tempoh 32 tahun.

Pengawal selia kewangan Switzerland, Pihak Berkuasa Pemantauan Pasaran Kewangan Swiss (Finma) turut mengarahkan tindakan yang serupa, meluluskan pengambil alihan menyeluruh EFG International ke atas BSI.

Ia berlaku, dengan syarat, BSI dibubarkan dalam tempoh 12 bulan menerusi integrasi ke dalam EFG International.

Apa salah BSI?

Kedua-dua, pihak berkuasa Switzerland dan Singapura telah mengeluarkan kenyataan umum mengenai kesalahan BSI, walaupun terdapat kekurangan dari segi butirannya.

Di Switzerland, Finma menyimpulkan bahawa BSI telah melanggar keperluan kewajaran berkanun dalam kaitan dengan penggubalan wang dan pelanggaran serius dalam prinsip-prinsip pengurusan risiko mencukupi dan kesesuaian organisasi.

Di Singapura pula, pihak berkuasanya mendapati BSI terlibat dalam “pelanggaran serius keperluan penggubalan wang haram, pengurusan lemah dalam operasi bank dan salah laku oleh beberapa kakitangan bank".

Semua ini dilihat dalam konteks penyiasatan yang berkait dengan 1MDB.

Menghubungkan titik-titik

Sebelum siasatan dimulakan oleh pihak berkuasa Swiss dan Singapura, portal berita Sarawak Report telah mengetengahkan peranan BSI dalam pelencongan dana-dana 1MDB.

Ia bermula dengan AS$1.83 bilion yang mana 1MDB telah salurkan ke luar negara untuk aktiviti usaha sama dengan PetroSaudi International antara tahun 2009 dan 2011.

Ia adalah nilai sama yang Bank Negara kemudiannya arahkan 1MDB untuk dibawa pulang ke Malaysia, dengan firma itu gagal berbuat demikian sehingga dikenakan denda.

Daripada jumlah itu, AS$1.03 bilion tidak tersalur kepada aktiviti usaha sama itu. Sebaliknya, ia disalurkan kepada akaun Good Star Limited di RBS Coutts yang terletak di Zurich dengan penerima manfaatnya adalah jutawan berasal dari Pulau Pinang, Jho Low.

Di sini ialah di mana BSI membuat kemunculannya

Lebih setengah daripada jumlah yang dilencongkan itu, atau AS$529 juta, telah dipindahkan kepada akaun Abu Dhabi Kuwait Malaysia Investment Corporation’s (BVI) di BSI Singapura antara 28 Jun 2011 dan 4 September 2013 dengan penerima manfaat yang sama.

Sarawak Report, berdasarkan kertas siasatan pihak berkuasa Singapura yang terbocor, telah seawal bulan April tahun lalu melaporkan bahawa Jho Low menguasai sekurang-kurangnya 45 akaun bank BSI di bawah pelbagai nama syarikat.

Pendedahan tersebut nampaknya konsisten dengan penemuan Finma yang mengatakan : “Dalam konteks kes 1MDB, bank (BSI) itu gagal untuk memantau hubungan dengan kumpulan pelanggan dengan sekitar 100 akaun bank pada tahap sewajarnya."

Ia berkata, dana-dana dipindahkan antara akaun-akaun ini tanpa justifikasi sewajarnya.
Secara kebetulan, anak syarikat 1MDB, Brazen Sky Limited turut mengendalikan urusan perbankan dengan BSI dengan sejumlah unit dana bernilai AS$1.1 bilion dalam pegangan.

Lebih dari itu, prosiding mahkamah Singapura menunjukkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB, juga mempunyai akaun dengan BSI.

Pegawai bank BSI, Yeo Jiawei telah didakwa atas tuduhan menandatangani surat rujukan palsu atas nama BSI kepada ketua antipengubalan wang haram Citigroup Inc bagi mempermudahkan pindahan AS$11.95 juta dari SRC International kepada Equity International Partners Limited.

Penerima manfaat Equity International Partners Limited ialah Tan Kim Loong, rakan sekutu Jho Low dan juga penerima manfaat asal Tanore Finance yang menyalurkan AS$681 juta kepada akaun bank peribadi milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Pihak pendakwa Singapura merumuskan komponen ini sebagai “barisan baru” dalam siasatannya tetapi tidak jelas dalam kaitannya dengan pergerakan wang Jho Low bernilai AS$529 juta ke dalam, antara dan luar BSI.

Maklumat yang didedahkan kepada awam mungkin hanya cebisan kecil daripada penyiasatan, namun lebih banyak butiran dijangka muncul apabila prosiding mahkamah Switzerland dan Singapura bermula nanti.

Apakah ini akhiran kisah 1MDB?

Di sebaliknya, ia hanya suatu permulaan.

Sarawak Report mendakwa AS$529 juta dalam akaun Jho Low di BSI telah dikeluarkan dari BSI cawangan Singapura dan dipercayai dipindahkan ke Hong Kong.

Adalah tidak jelas institusi kewangan mana yang disalurkan itu. Pihak berkuasa Hong Kong memperakui siasatan tersebut, namun terlalu sedikit maklumat yang disediakan setakat ini.

Finma turut melaporkan meninjau ke dalam RBS Coutts, yang mana sejumlah AS$529 juta muncul sebelum ia memasuki sistem BSI.

Lebih dari itu, institusi perbankan lain turut dijangkakan terbabit sama.

Satu institusi utama ialah Falcon Private Banking, yang mana digunakan Tanore Finance untuk memindahkan AS$681 juta (yang kerap dirujuk sebagai RM2.6 billion) ke dalam akaun AmBank milik Najib.

Thursday, May 26, 2016

Di Sebalik ‘Wahyu’ Najib, Ahmad Razif Masih Dihantui 'Rahsia Besar'


"...sekiranya Istana Terengganu tidak merestui ‘wahyu’ itu dan ‘rahsia terbongkar’, Ahmad Razif pastinya terpaksa akur dan mengakui bahawa kedudukannya sebagai Menteri Besar dari ‘Finish Already’ menjadi “I Am Finished Already”!!!

Benarkah tiada lagi isu tukar Menteri besar di Terengganu?

Memang sudah settled atau ‘Finish Already’ (istilah yang digunakan oleh Haji Ahmad Razif Abdul Rahman) ?

Persoalannya, apakah Ahmad Razif sudah mendapatkan jaminan  pihak istana bahawa beliau tidak akan ditukarkan?

Apakah Ahmad Razif hanya mengambil kira ‘kuasa Najib’ dan tidak ‘kuasa istana’?

Kemelut pertukaran menteri besar semakin hangat diperkatakan setelah Istana Terengganu menarik kesemua darjah kebesaran yang diberikan kepada Adun Seberang Takir itu berkuatkuasa 22 April lalu.

Ahmad Razif dikurniakan Darjah Datuk Paduka Mahkota Terengganu Kehormat (DPMT) yang membawa gelaran Datuk pada 2012 dan Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri pada April 2015.\

Malam kelmarin, Perdana Menteri dan Ahmad Razif meminta agar isu pertukaran menteri besar  tidak lagi dibangkitkan kerana perkara itu telah dianggap selesai. Dengan kata lain, ia tidak perlu diperkata atau dipertikaikan lagi.


Menteri Besar Terengganu itu membuat kenyataan berdasarkan jaminan Datuk Seri Mohd Najib Razak pada pertemuan dengan barisan kepimpinan dan ahli parti sempena lawatan sehari ke Terengganu Isnin lalu.

Najib mahu supaya dihentikan terus spekulasi siapa ganti menteri besar, malah setiap bahagian perlu jaga bahagian masing-masing pastikan menang, jangan sibuk kawasan orang lain.

Najib sendiri menegaskan bahawa: : "Jangan ingat saya tidak tahu apa-apa yang berlaku di Terengganu.”

Bagaimana dengan penentang-penentang Ahmad Razif, khususnya Datuk Seri Ahmad Said yang pernah membawa usul di Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya beliau meletak jawatan?

Tidakkah mungkin akan ada desakan di masa hadapan sama ada melalui sidang DUN (Ogos dan Disember depan) atau secara terbuka?

Jaminan Najib itu ‘bagai perintah atau wahyu’ yang digunapakai Ahmad Razif tanpa mengambil kita bantahan terhadap sebab-sebab beliau dilucutkan pingat kebesaran?

Apakah jaminan Najib ini akan menyebabkan terdedahnya beberapa perkara lain membabitkan Ahmad Razif khususnya dalam kaitan dengan ‘kemurkaan’ Sultan Terengganu yang menyebabkan pingatnya ditarik balik?

Apakah akan terlondeh ‘rahsia besar’ Ahmad Razif selepas ini?

Menurut blog teganuku, ramai yang mungkin mengetahui ‘rahsia besar’ di sebalik perlucutan pingat Ahmad Razif oleh Sultan Terengganu, namun tiada yang berani mendedahkannya kepada umum.

"Rahsia Besar’ ini akan menentukan masa depan negeri dan rakyat Terengganu yang pastinya jika meletup akan menyebabkan krisis politik yang lebih teruk daripada usul ADUN Kijal meminta Menteri Besar meletakkan jawatan pada persidangan DUN lalu." kata teganuku..

Malah dikhabarkan, ‘rahsia besar’ ini turut diketahui oleh pegawai tinggi kerajaan negeri, namun terpaksa akur dengan kehendak Perdana Menteri.

Hakikatnya, Ahmad Razif masih masih dihantui ‘rahsia besar’ bukan sahaja seperti yang dilaporkan oleh teganuku tetapi Ahmad Saidsendiri mengatakan ‘rahsia besar’ itu ada dalam poketnya.


Ahmad Said menyentuh mengenai sebab beliau menggesa pertukaran menteri besar, memberi amaran: “Jangan salahkan saya, saya telah beri ruang yang cukup, saya sayangkan Terengganu...apa yang dia (Ahmad Razif) buat semua saya tahu. Tunggu masa saya akan dedahkan, saya akan dedahkan perkara yang besar-besar yang pada saya ia merugikan kerajaan negeri dan rakyat.”

Pada pertemuan dengan peimpin UMNO Terengganu, Najib berpesan agar kepimpinan UMNO seluruh akar umbi daripada bawahan hingga peringkat atasan agar memberi sokongan penuh kepada Ahmad Razif sebagai menteri besar untuk menerajui pentadbiran negeri dan UMNO Terengganu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

Bagi Ahmad Razif, khususnya penyokong dan yang sewaktu dengannya, kenyataan Perdana Menteri sebagai Presiden UMNBO sudah memberi pengiktirafan kepadanya. Dengan kata lain, isu di Terengganu (membabitkan pertukaran menteri besar) telah berakhir dan tiada lagi isu-isu ini.

“Sekarang ini, kita moving foward (bergerak ke depan) untuk hadapi PRU-14 tidak lama lagi dan saya minta agar perkara ini tidak lagi dibangkitkan,” kata Ahmad Razif.

Ahmad Razif yang turut menyifatkan perkara itu telah selesai sepenuhnya kini sedang memberi fokus kepada usaha untuk menjalankankan tanggungjawab yang diamanahkan demi kepentingan rakyat secara keseluruhannya.

“Finish already...semua sudah berakhir (isu pertukaran menteri besar). Saya hendak buat kerja dan saya akan move foward,” katanya kepada pemberita ketika hadir merasmikan Karnival Myskill Fest & Dapur Terengganu di Quinara Al-Safir Resort, Seberang Takir, di Kuala Nerus,  malam kelmarin.


Jika mengambil kira kenyataan Najib itu, Ahmad Razif akan kekal sehingga tiba PRU-14. Jika ‘wahyu’ itu kekal dan digunapakai oleh istana, maka teguhlah kedudukan Ahmad Razif.

Akan berputih matalah mereka yangberangan-angan dan yang menonjolkan diri kononnya akan menjadi Menteri Besar Terengganu.

Namun sekiranya Istana Terengganu tidak merestui ‘wahyu’ itu dan ‘rahsia terbongkar’, Ahmad Razif pastinya terpaksa akur dan mengakui bahawa kedudukannya sebagai Menteri Besar dari ‘Finish Already’ menjadi “I Am Finished Already”!!!

Friday, May 20, 2016

Rafizikah Yang “Jijik”, “Jahat”, “Semberono” & Merancang Serangan Terhadap Azmin?


Permainan apa dalam PKR sekarang?

Ada pihak tidak berpuashati dengan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kelihatan rapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad melalui Deklarasi Rakyat?

Tuduhan 'wujud permintaan perempuan apabila berurusan dengan kerajaan negeri'  Selangor bagaikan isu yang sengaja dilemparkan ke muka Azmin.

Dakwaan meegejutkan itu disebut dalam perbualan Whatsapp yang bocor, apabila Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli didakwa berkata beliau menerima aduan mengenai perkara itu.

Ia berlaku selepas surat dari penjara Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengingatkan pemimpin PKR supaya berhati-hati dengan Dr Mahathir. Ada melihat surat itu sebagai kebimbangan Anwar bahawa pengaruhnya semakin merosot.

Azmin hari ini (20 Mei 2015)menganggap  dakwaan 'wujud permintaan perempuan apabila berurusan dengan kerajaan negeri' itu satu tuduhan jijik dan kempen fitnah terancang.
"Menuding jari kepada kerajaan negeri tanpa sebarang bukti sokongan dan kemudiannya menjaja tuduhan tersebut kepada semua pihak adalah satu tindakan bacul, tidak bertanggungjawab dan berniat jahat," tegasnya dalam satu kenyataan, Jumaat.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata orang yang menuduh itu telah mencemarkan nama baik, maruah serta integriti perkhidmatan awam negeri kerana melakukan serangan jahat dan semberono.

Rafizi menyatakan dalam perbualan itu bahawa beliau lebih mengambil berat tentang dosa berbanding strategi politik.

“Saya bukan kisah sangat mengenai strategi politik dan lain-lain.

“Selama ini tidak pernah sekali pun saya pergi ke SUK sejak saudara Azmin jadi MB untuk minta atau bincang sesuatu,” katanya.

Isu terbaru itu berlaku ketika kemunculan warkah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengingatkan pemimpin PKR mengenai bahaya bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Deklarasi Rakyat.

Ini mencetuskan spekulasi mengenai keretakan dalam PKR.

Bekas pemimpin PKR Datuk Zaid Ibrahim juga mengaitkan surat itu dengan perebutan yang dikatakan antara isteri Anwar yang juga Presiden PKR Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Azmin.


Pada Azmin, dalam mewujudkan sebuah kerajaan bersih dan bebas rasuah, pentadbiran negeri mengalu-alukan pemberi maklumat tetapi ia perlu disertakan dengan sekurang-kurangnya 'sekelumit bukti'.

"Sikap kita amat jelas. Pentadbiran ini mengalu-alukan pemberi maklumat yang berhasrat untuk melihat kerajaan yang bersih dan bebas daripada rasuah. Pada masa yang sama, mereka yang membuat tuduhan ini perlu membawa hatta sekelumit bukti sekali pun kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk tindakan.

Azmin sebagai ketua pentadbir negeri berkata semua pihak bertanggungjawab untuk memelihara nama baik dan maruah kakitangan awam serta eksekutif daripada sebarang tuduhan liar yang tidak bertanggungjawab.

Rafizi sebelum ini dikatakan membuat dakwaan melalui mesej WhatsApp bahawa PKR yang diterajui kerajaan negeri Selangor telah menggunakan wang dan seks dalam urusan pentadbirannya. Rafizi didakwa berkata demikian dalam kumpulan perbualan WhatsApp 'Solidarity For Anwar'.

Rafizi berkata ada 'orang bona fide' datang kepadanya dengan aduan itu dan beliau kini sedang mengumpul semua maklumat dan bukti.

“Semalam saya mendapat laporan dan aduan daripada orang bona fide bahawa selain wang, sekarang ini ada juga permintaan 'perempuan' bila berurusan dengan kerajaan negeri (tidak perlulah saya hurai saudara/i tahu apa yang saya maksudkan).

“Saya bukan kisah sangat mengenai strategi politik. Selama ini tidak pernah sekalipun saya pergi ke SUK sejak sdr. Azmin jadi MB untuk minta atau bincang sesuatu,” katanya.

Rafizi mengakui wujud unsur-unsur tidak baik dalam PKR yang mempunyai potensi untuk memusnahkan parti tetapi enggan mengulas lanjut.

Hari ini Rafizi   mengesahkan beliau menulis mesej yang dihantar kepada perbualan kumpulan tertutup menggunakan aplikasi komunikasi WhatsApp berhubung dakwaan habuan wang dan wanita ketika berurusan dengan kerajaan negeri Selangor.

Pada masa sama, beliau juga mengakui didatangi oleh beberapa individu yang melahirkan kebimbangan mengenai beberapa isu bersabit amanah dan tata kelola secara umum dengan memberi contoh tuduhan salahlaku.

"Tuduhan itu bukan individu yang menjawat kerusi wakil rakyat (baik di Dewan Negeri, Dewan Rakyat atau Dewan Negara sama ada yang masih berkhidmat atau telah bersara) atau mana-mana kakitangan kerajaan di mana-mana jabatan di bawah Kerajaan Selangor," jelas beliau dalam kenyataan.

Bagi Razifi sebagai Pengarah Eksekutif Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (Now), beliau menerima ribuan maklumat dan aduan setiap tahun berkaitan salah laku dan penyelewengan di pelbagai institusi awam dan swasta.

"Hanya sebahagian kecil dari maklumat atau aduan ini yang akhirnya akan sampai kepada rakyat kerana sebahagian besar dari aduan ini tidak melepasi keperluan bukti minimum yang ditetapkan oleh Now sebelum dibawa kepada rakyat," ujar ahli parlimen Pandan itu.

Amat nyata, kini wujud pertelingkahan di kalangan kepimpinan tertinggi PKR, malah kemarahan Azmin tidak dapat dibendung lagi.

Kenyataan Menteri Besar Selangor yang  menyifatkan dakwaan yang menyebabkan pentadbirannya berdepan fitnah “jijik”, “jahat”, “semberono” dan terancang bagi melemahkan semangat penjawat awam negeri pastinya akan berlanjutan.

Azmin bengang kerana jelas Rafizi sudah menjaja tuduhan tersebut kepada semua pihak yang diaggap tindakan bacul, tidak bertanggungjawab dan berniat jahat, menyerlahkan pertelingkahan puak-puak dalam PKR.

Nyata sekali  dalam PKR kini wujud kumpulan meempertahankan Anwar dan yang mahu membebaskan diri daripada pengaruh Anwar ketika suasana politik ngara semakin berubah kepada kekuatan dan keberkesanan Deklarasi Rakyat.

Wednesday, May 18, 2016

Dr Mahathir, ‘Tentera Persaorangan’ Yang Melenyapkan Pengaruh, Kuasa Anwar


Tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin yang rapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini bertanya Anwar,  “Kenapa sekarang, Anwar?”

Soalan itu merujuk kepada surat amaran Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Dr Mahathir dan Deklarasi Rakyat yang muncul 72 jam selepas Deklarasi Rakyat mengumpulkan lebih sejuta tandatangan.

“Satu-satunya soalan kini, kenapa sekarang?” soal Kadir

“Adakah kerana Deklarasi Rakyat pimpinan Mahathir terima lebih 1.2 juta tandatangan hanya dalam tempoh dua dua bulan?” soal bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times itu.

Kadir juga tertanya-tanya sama ada Anwar antara pihak yang ragu dengan deklarasi itu. Kadir antara pihak yang menandatangani deklarasi menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Razak itu.

Sebelum ini banyak pihak dalam UMNO khususnya,  meragui dan sama ada ‘tentera persaorangan’ (mengambil gelaran  digunakan Hambali Abdul Latiff  terhadap Dr Mahathir) dan pendukungnya akan berjaya mendapat sokongan awam.

Jawapan kepafa pertanyaan Kadir mungkin berasaskan beberapa kemungkinan:

Pertama, untuk kali pertamanya, pembangkang tidak lagi merujuk atau menjadikan Anwar sebagai tonggak utama dalam isu membabitkan kepentingan negara;

Kedua, Dr Mahathir kini sudah menjadi tokoh pembangkang utama terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib;

Ketiga, Dr Mahathir juga kini menjadi tokoh utama pembangkang terhadap kerajaan yang memerintah, khususnya Barisan Nasional; dan

Keempat,  Dr Mahathir – bukan Anwar - akan memimpin pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Sudah pasti, anak beranak – Anwar, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail serta Nurul Izzah dan yang rapat dengan Anwar, terlalu bimbang dengan ‘tentera bersaorangan’ ini.


Sekiranya penyokong pembangkang, khususnya rakyat mula meletakkan Dr Mahathir sebagai ikon atau tonggak pembangkang, peranan Anwar akan menjadi semakin mengecil.

Ini sangat dibimbangi Anwar.

Lihat sahaja bagaimana pemimpin pembangkang, termasuk Lim Kit Siang, (tidak termasuk Datuk Seri Hadi Awang yang dilihat rapat dengan Najib), semakin mendekati Dr Mahathir, tidak kiralah daripada PKR, DAP atau Amanah.

Malah, dengan sokongan NGO yang sebegitu besar yang membolehkan lebih 1.2 juta tandatangan Deklarasi Rakyat (DR) membuktikan bahawa Anwar ‘eloklah duduk diam dalam penjara’.

Kalau ada suara untuk pembebasannya, ia hanya untuk membawa beliau pulang dan ‘terpenjara di rumah’ kerana pengaruhnya yang semakin terhakis.

Apalagi ramai sudah sedar bahawa perjuangan anak beranak Anwar lebih kepada demi pembebasannya, bukan memperkatakan isu rakyat.

Apa yang disebut oleh Anwar mengenai isu 1Malaysia Development Berhad 1MDB?

Boleh dikatakan tiada sepatah kritikannya walaupun Anwar sebelum ini terkenal RAPAT dengan media asing.

Apakah Anwar juga tidak mempercayai pendedahan media asing?

Hakikatnya kelantangan Dr Mahathir yang berjaya membuat ‘road show’ dan menjamin DR mencapai sasarannya sudah tidak boleh dibendung lagi.

Keupayaan dan kekuaran ‘tentera persaorangan’yang berjuang di luar UMNO kini dilihat tidak lagi mempunyai halangan.

Dr Mahathir bebas menyuarakan pendapatnya kerana kini bukan lagi ahli UMNO yang sebelum ini mendapat tekanan  daripada kepimpinan dalam UMNO.

Dengan kekuatan sokongan akar umbi, termasuk daripada UMNO dan pembangkang, sudah pasti Dr Mahathir layak untuk mengetuai ‘jentera perang’ dalam pilihan raya kecil Parlimen Sungai besar dan Kuala Kangsar.

Anwar? Bak kata Kadir Jasin, ketika Mahathir melonggokkan timbunan deklarasi itu di depan kamera, Anwar memberi amaran supaya berwaspada dengan langkah Mahathir.

Tujuannya jelas, Anwar bimbang dan sedang mengalami saat-saat di mana dia akan sekali lagi dihakiskan pengaruhnya oleh Dr Mahathir.

Jika pada penghujung 1990-an Anwar ‘dilucutkan kuasa dan pengaruhnya’ oleh Dr Mahathir ketika itu menjadi Perdana Menteri, kini pada 2016, sekali lagi Anwar menerima nasib bahawa pengaruh dan kekuatannya terhakis.

Kali ini, bukan dalam kerajaan tetapi di padang pembangkang yang jelas Dr Mahathirlah yang kini layak untuk menyatukan PKR, DAP serta Amanah dalam satu pasukan menghadapi PRU-14 nanti.

Saham Anwar benar-benar sudah merudum!!!

PAS? Biarlah Hadi menjadi ‘si luncai’ yang kelak akan terjung dengan labu-labunya....



Sunday, May 15, 2016

Banjir Kilat: Reputasi Zahid Terjejas Teruk Jika Hanya Cakap Kosong


Minta-minta jangan hanya kenyataan politik. Atau hanya untuk sedapkan hati rakyat.

Kalau mahu siasat, biar ada kertas siasatan. Butiran siasatan dan keputusan juga perlu diumumkan.

Mesti ada hitam putih, sama ada ada pihak lakukan rasuah atau sebaliknya.

Kita mengalu-alukan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan akan menyiasat kemungkinan wujud unsur rasuah dalam pembangunan projek-projek di ibu negara.
  

Ini termasuk projek mega, sehingga menyebabkan kejadian banjir kilat pada 7 dan 13 Mei lalu.

Bukan sahaja di ibu negara, Kuala Lumpur. Di Putrajaya seminggu sebelum itu, iaitu pada Sabtu 7 Mei, juga berlaku banjir kilat.

Bagaimana pula di Putrajaya, apakah bukan kerana projek pembangunan yang dilaksanakan?.

Teliti apa kata  Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri TengkuAdnan Tengku Mansor:

Siasatan awal Perbadanan Putrajaya (PPj) mendapati banjir berlaku akibat laluan air tersumbat oleh daun yang jatuh ke dalamnya.

Selain itu, kadar curahan air hujan yang terlalu banyak iaitu 180 milimeter berterusan kira-kira sejam ketika kejadian yang dianggap fenomena luar biasa juga mendorong peningkatan air dalam longkang begitu cepat.


"Ini fenomena luar biasa untuk Putrajaya kerana hujan terlalu lebat berserta angin kencang yang turut menerbangkan daun kering masuk ke dalam longkang sehingga menyebabkan laluan air tersumbat.

"Hujan ini faktor semulajadi, kita tak boleh kawal ... walaupun perkara seumpama ini adalah di luar jangkaan sama sekali," katanya.

Tengku Adnan menolak kepesatan pembangunan sebagai faktor berlakunya banjir kilat di beberapa kawasan sekitar pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan  itu.

Sementara di Kuala Lumpur, berikutan hujan lebat selama dua jam 13 Mei lalu, mengakibatkan beberapa kawasan termasuk Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Bangsar, Jalan Pantai Baru dan Jalan Pudu mengalami banjir kilat.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengatakan banjir kilat ini berpunca daripada taburan hujan yang tinggi sebanyak 106.5 milimeter iaitu tiga kali ganda berbanding taburan hujan biasa, yang merupakan taburan hujan tertinggi bagi tahun ini.

DBKL sedang membuat pemeriksaan dan pembersihan keseluruhan sistem saliran di kawasan banjir serta beberapa kawasan lain yang dikenal pasti akan terbabit dengan bencana alam itu.

Selain itu, bilik gerakan bantuan bencana DBKL beroperasi 24 jam bagi memantau dan menyelaras tugas-tugas bantuan bencana banjir.

Rasanya, langkah itu dibuat selepas ‘serangan banjir kilat’ tetapi sebelum itu, apakah apa yang disebut oleh DBKL ini berfungsi?


Timbalan Perdana Menteri berkata pihak berkuasa yang berwajib akan  menjalankan siasatan itu dan menyediakan laporan lengkap mengenainya bagi membolehkan tindakan susulan diambil.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai Bencana Alam berkata pihak yang saling menuding jari dalam permasalahan itu juga akan diminta duduk bersama bagi mencari jalan terbaik untuk menangani isu berkenaan.

Amat nyata Dr Ahmad Zahid tahu bahawa ada pihak saling menyalahkan dan kenapa ia berlaku? Apa kepentingan kumpulan-kumpulan berkenaan?

"Yang terbaik ialah menyelesaikan masalah rakyat ini dalam jangka segera,” tegas Timbalan Perdana Menteri.

Ini suatu kenyataan yang kita perlu sokong tetapi jika tinggal kenyataan semata-mata, keyakinan rakyat akan terhakis kepada Dr Ahmad Zahid.

Yang penting, kerajaan perlu memastikan dalam jangka panjang banjir kilat dapat dikawal. Hujan lebat dan banjir kilat sukar dielakkan tetapi langkah mengawalnya perlu ada.

Benar kenyataan Dr Ahmad Zahid bahawa tidak sepatutnya banjir kilat berlaku di Kuala Lumpur kerana sistem dan infrastrukturnya cukup baik.

Namun kenapa berlaku juga?

Dr Ahmad Zahid turut menimbulkan persoalan kemungkinan ada permasalahan dari segi pengaliran air hujan berlebihan. Beliau berjanji akan membantu kementerian dan jabatan berkenaan untuk selesaikan masalah itu.

Bukan itu sahaja, Dr Ahmad Zahid sewajarnya turut melihat peranan DBKL yang nampaknya tidak mempunyai perancangan khusus mengatasi masalah ini apabila mengatakan akan mengkaji kesesuaian sistem saliran sedia ada.

Malah, selepas ini DBKL akan membuat penambahbaikan bagi mengelak kejadian banjir kilat pada masa depan.

Isu banjir kilat ini berlaku setiap tahun dan setiap kali berlaku DBKL akan memberikan jawapan lebih kurang serupa.

Tidakkah boleh dilihat daripada aspek rasuah terhadap DBKL, malah dalam Kementerian Wilayah Persekutuan sendiri?

Jelas sekali Tengku Adnan seperti tidak tahu apa mahu dibuat atau mempunyai cadangan mengatasi isu ini sma ada di Putrajaya mahupun Kuala Lumpur.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio-Ekonomi DBKL, Datuk Mohd Sauffi Muhamad berkata baru-baru ini bagi membantu warga Kuala Lumpur menghadapi kemungkinan banjir kilat, DBKL akan menempatkan 59 anggota Unit Trafik Jabatan Penguatkuasaan di semua lokasi hotspot banjir di sekitar ibu negara.

Ia bertujuan untuk membantu kawalan lalu lintas dan membuat penutupan serta lencongan jalan sekiranya perlu bagi mengelakkan pengguna jalan raya melalui kawasan banjir.

Apa juga yang mahu dilakukan oleh Perbadanan Putrajaya atau DBKL, Dr Ahmad Zahid perlu menjamin kajian mendapat data dan fakta sebenar.

Soal rasuah sudah disebut dan pastinya kalau tidak ada info atau maklumat awal mengenainya, Timbalan Perdana Menteri tidak akan menyebutnya.

Yang pasti jika Dr Ahmad Zahid bercakap kosong atau siasatan tidak dijalankan dengan rapi, reputasinya akan terjejas teruk, malah mungkin akan menyebabkan orang ramai, khususnya wrga Putrajaya dan Kuala Lumpur tidak lagi akan mempercayainya.

Buktikan dan lakukan apa yang dijanjikan dengan sewajarnya,  Dr Ahmad Zahid!!!

Friday, May 13, 2016

FAM, FMLLP ‘Perompak’, Annuar Cabar Bertindak Terhadap KAFA


Jangan lupa kami adalah pihak berkepentingan yang mengeluarkan pelaburan. Secara kolektif, 12 pasukan di Malaysia melabur hampir setengah bilion ringgit setahun..."Tanpa kami, FAM dan FMLLP tiada apa-apa. Mereka perlu bekerja untuk kami."
- Tan Sri Annuar Musa

Hulubalang Kelantan sudah mengamuk.

Malah mencabar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kerjasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) untuk mengambil tindakan terhadap pasukan Kelantan susulan kegagalan melunaskan tunggakan gaji lima bekas pemain mereka.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan SriAnnuar Musa, berkata menghukum pasukan bukan jalan terbaik sebaliknya FMLLP perlu melakukan sesuatu untuk mengangkat martabat bola sepak negara menerusi etika pengurusan yang baik.

"Jangan lupa kami adalah pihak berkepentingan yang mengeluarkan pelaburan. Secara kolektif, 12 pasukan di Malaysia melabur hampir setengah bilion ringgit setahun.

"Tanpa kami, FAM dan FMLLP tiada apa-apa. Mereka perlu bekerja untuk kami.


"Bagi saya (ia adalah) rompakan secara terang-terangan apabila anda ambil RM70 juta dan mahu kami cari dan keluarkan wang serta perlu beraksi cemerlang," katanya.

Annuar berkata beliau kecewa dengan sikap FMLLP dan FAM yang dilihat menjatuhkan hukuman dengan mudah kepada pasukan yang bergelut dengan isu tunggakan gaji pemain tanpa mengendahkan masalah dihadapi pasukan terlibat.

FMLLP adalah entiti swasta yang diberi hak mengendalikan liga bola sepak Malaysia.
Tarikh akhir diberi FMLLP kepada KAFA untuk menjelaskan tunggakan gaji kepada bekas pemainnya ialah pada 31 Mei ini.

Pada 3 Mei lepas, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP Kevin Ramalingam mencadangkan kepada FAM untuk melakukan pemotongan mata kepada KAFA sekiranya gagal menjelaskan tunggakan gaji kepada bekas pemainnya sebelum 31 Mei ini.

"Persepsi buruk itu harus ditukar. Kita perlu bersama-sama membangunkan arena bola sepak negara bukannya saling menjatuhkan satu sama lain dan bercakaran," katanya.

Berdepan kemungkinan dipotong mata atau lebih serius, disingkir daripada Liga Super tidak menggoyang kesungguhan KAFA meneruskan cabaran walaupun dihimpit pelbagai masalah.


Annuar hari ini turut  'mengalu-alukan' FAM dan FMLLP mengambil tindakan itu terhadap mereka.

"Saya mengalu-alukan jika mereka rasa itu (menghukum Kelantan) adalah tindakan wajar," katanya semalam.

Annuar bagaimanapun menegaskan, jika itu berlaku ia hanya menegaskan lagi masalah yang sedang dihadapi bola sepak negara ini.

Kata anggota parlimen Ketereh itu, pihak yang berkuasa dalam sukan bola sepak barangkali terlupa bahawa setiap pasukan yang terbabit dalam liga kendalian mereka adalah sebahagian daripada penyumbang yang menjayakan sukan berkenaan.

"Inilah masalah bola sepak Malaysia, mereka lupa pasukan-pasukan (yang bertanding) adalah stakeholders. Mereka terlalu fikirkan soal hendak ambil tindakan," katanya.

"Saya selalu nyatakan inilah masalah bola sepak Malaysia. Mereka terlalu fikirkan soal hendak ambil tindakan sampai terlupa pasukan itu adalah pihak berkepentingan.

"Jangan sampai saya buka mulut seperti TMJ (Tunku Mahkota Johor) , cukuplah beliau seorang mengkritik kepincangan FAM," katanya pada sidang media mengumumkan kerjasama antara KAFA dan FC Bari 1908 di Menara Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Kuala Lumpur, hari ini.


Jelas beliau, menghukum pasukan bukan jalan terbaik sebaliknya FMLLP perlu melakukan sesuatu untuk mengangkat martabat bola sepak negara menerusi etika pengurusan yang baik.

Justeru Annuar menyarankan agar FMLLP dan FAM duduk berbincang dengan KAFA untuk mencari jalan penyelesaian terbaik kepada isu tersebut dan bukan membuat kenyataan secara terus kepada media.

Lima bekas pemain Kelantan yang masih belum menerima tunggakan gaji ialah Ahmad Fakri Saarani, Amar Rohidan, Muhammad Nazri Ahmad, Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd Fitri Omar yang menamatkan kontrak mereka bersama KAFA untuk menyertai pasukan lain musim ini.

Hutang 1MDB - Kenapa Rakyat Didera Dengan Jumlah RM48.65 Bilion???


Oleh RAFIZI RAMLI (Anggota Parlimen Pandan)
Tajuk asal - Hutang 1MDB RM27.8b: Negara korbankan 2 IPTA, 3 hospital

Saya agak terkejut dengan kenyataan Gabenor Bank Negara yang baru, Datuk Muhammad Ibrahim yang dipetik berkata bahawa beliau yakin kerajaan akan memastikan semua hutang 1MDB akan dibayar.

Walaupun saya faham amaran tersirat beliau kepada Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kedudukan ekonomi dan kewangan negara hanya boleh pulih sekiranya beban kewangan akibat 1MDB diselesaikan segera, ia seolah-olah melupakan bahawa sebarang hutang 1MDB yang diselesaikan kepada kerajaan sebenarnya mendera rakyat lebih teruk dari sekarang.

Hutang-hutang 1MDB

Hakikat bahawa hutang-hutang 1MDB akhirnya akan ditanggung oleh rakyat bukanlah satu perkara yang baru diketahui.

Rakyat sudah tahu bahawa jika pun hutang-hutang ini tidak dibayar terus oleh Kerajaan Persekutuan melalui pengambilalihan anak syarikat 1MDB seperti yang berlaku dengan SRC International Sdn Bhd dan Bandar Malaysia Sdn Bhd, hutang-hutang itu akan ditampung oleh suntikan aset negara, kontrak-kontrak besar, pemberian geran dan lain-lain oleh Kerajaan Persekutuan.

Jumlah hutang 1MDB yang kini telah dan berkemungkinan diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan adalah terlalu besar, seperti berikut:


HUTANG YANG TELAH DIAMBIL ALIH

i. Hutang SRC sebanyak RM4 bilion dari Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) melalui pemindahmilikan SRC dari 1MDB kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

ii. Hutang Bandar Malaysia sebanyak RM2.4 bilion dari Tabung Haji melalui pemindahmilikan Bandar Malaysia dari 1MDB kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

HUTANG YANG BERKEMUNGKINAN TERPAKSA DIAMBIL ALIH

i. Hutang dalam bentuk bon berjumlah US$1.75 bilion (bersamaan RM7 bilion) yang dijamin IPIC tetapi telah melanggar syarat pinjaman apabila 1MDB gagal membayar faedah bulan lalu.

ii. Hutang dalam bentuk bon berjumlah US$1.75 bilion (bersamaan RM7 bilion) yang juga dijamin IPIC dan faedah perlu dibayar hari ini. Jika tidak dibayar oleh 1MDB, sekali lagi ia melanggar syarat pinjaman.

iii. Hutang dalam bentuk terbitan sukuk/bon patuh shariah berjumlah US$1.83 bilion (bersamaan RM7.4 bilion) yang boleh dituntut serta merta akibat pelanggaran syarat pinjaman hutang-hutang (i) dan (ii) akibat dari “cross defaults”.

Ini bermakna, jumlah hutang-hutang 1MDB yang telah dan berkemungkinan besar akan diambi alih oleh Kerajaan Persekutuan adalah RM27.8 bilion.

Hutang-hutang ini juga menyebabkan Kerajaan Persekutuan terpaksa membayar faedah tahunan (dipanggil bayaran kupon) sepanjang tempoh hutang itu belum dilangsaikan.

Untuk membuat anggaran tanggungan hutang 1MDB yang rakyat sedang berdepan, saya menganggarkan kadar faedah 5% bagi kesemua hutang-hutang itu dan tempoh matang purata 15 tahun.

Maka jumlah tanggungan sebenar hutang-hutang 1MDB yang berkemungkinan dibayar oleh rakyat Malaysia adalah:

Hutang pokok yang telah diambilalih dan berkemungkinan diambilalih (seperti di atas) RM27.8 bilion

Bayaran faedah pada 5% setiap tahun bagi 15 tahun RM20.85 bilion

JUMLAH KESELURUHAN RM48.65 bilion

Untuk mengenal pasti kesan tanggungan hutang sebanyak ini kepada kehidupan harian rakyat Malaysia, kita perlu pecahkan tanggungan ini kepada peruntukan tahunan yang terpaksa dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi menanggung hutang ini seperti berikut:

Bayaran faedah tahun pada kadar 5% RM1.4 bilion

Simpanan tahunan untuk bayaran pokok dalam 15 tahun RM1.9 bilion

PERUNTUKAN TAHUNAN DIPERLUKAN RM3.3 BILION

Maknanya, rakyat Malaysia mesti menyedari bahawa setakat ini, jumlah peruntukan tahunan yang terpaksa dipotong atau tidak dibelanjakan bagi tujuan rakyat akibat hutang 1MDB (yang kita ketahui setakat ini) adalah dianggarkan RM3.3 bilion.

Kesan kepada rakyat Malaysia

Saya cuba membayangkan kesan ini kepada rakyat dengan menterjemahkannya kepada 2 perkara yang kosnya cukup membebankan setiap keluarga di Malaysia: kos menanggung pendidikan tinggi dan kos kesihatan/perubatan.

Sebuah universiti awam yang baik dan mampu menawarkan pendidikan pada kos yang berkali ganda lebih murah dari IPTS kepada sekitar 5,000 pelajar pada satu-satu masa dianggarkan memerlukan pelaburan awam sebanyak RM750 juta (mengambil kira pembinaan IPTS seperti Kampus Lakeside Taylor’s University yang jauh lebih murah dari itu).

Pada masa yang sama, sebuah hospital besar di peringkat daerah yang boleh memberi perkhidmatan kesihatan/perubatan yang baik kepada sekitar 100,000 orang penduduk dianggarkan berjumlah RM500 juta (mengambil kira kos hospital sedia ada).

Ini bermakna, apabila peruntukan sebanyak RM3.3 bilion terpaksa dilencongkan setiap tahun untuk membayar hutang 1MDB, jumlah itu bersamaan dengan pembinaan dan operasi 2 universiti awam (IPTA) dan 3 hospital awam SETIAP TAHUN. Bagi tempoh matang purata selama 15 tahun, ini bermakna rakyat Malaysia akan kerugian 30 universiti awam (IPTA) dan 45 hospital awam akibat menanggung hutang 1MDB setakat ini.

Sebab itu, skandal 1MDB ini tidak boleh dilupakan begitu sahaja dan rakyat berputus asa hanya kerana Dato’ Seri Najib Tun Razak masih kekal sebagai Perdana Menteri.

Pimpinan politik dan masyarakat turut sama perlu memikirkan langkah mengelakkan tanggungan hutang ini dan mengambil tindakan secepat mungkin (bukan hanya tertumpu kepada persoalan menjatuhkan Dato’ Seri Najib Tun Razak seperti mana fokus Deklarasi Rakyat akhir-akhir ini).

Saya akan berbincang dengan rakan-rakan pimpinan Pakatan Harapan dan ahli-ahli Parlimen untuk mencari jalan mengelakkan hutang-hutang ini diambilalih oleh rakyat.