Thursday, January 23, 2014

Kalimah Allah: Tindakan 'Pakar Perundangan' Pertikai Titah Sultan Diselar


Daripada teganuku

Seorang ilmuan semalam menyelar kenyataan seorang "pakar perundangan" bahawa titah pemerintah di sesebuah negeri berhubung kalimah Allah tidak terpakai kepada bukan Islam di luar negeri berkenaan. 

Timbalan Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Universiti Utara Malaysia Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri menyifatkan kenyataan itu boleh mengelirukan rakyat, selain menjadikan kalimah Allah sebagai polemik yang tidak berkesudahan sekiranya pemerintah diketepikan.

Katanya titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Sultan Kedah, yang juga Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenaan isu itu baru-baru ini tentunya telah mengambil kira pelbagai aspek termasuk kandungan Al-Quran dan sunnah serta kuasa mereka sebagai ketua agama. 

"Justeru, tidak timbul isu sama ada titah Sultan Selangor hanya relevan kepada orang Islam sahaja kerana dalam hal ini apa yang dilarang adalah pengembangan agama lain terhadap umat Islam, serta menjaga keharmonian hidup dalam pelbagai anutan agama," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur.

November lepas, Sultan Sharafuddin mengarahkan supaya penggunaan kalimah Allah di dalam Bible dan penerbitan majalah The Herald versi Bahasa Melaysia dihentikan serta-merta, selain menegaskan semua rakyat Selangor perlu patuh terhadap larangan penggunaan kalimah itu oleh mereka yang bukan beragama Islam.

Sementara Tuanku Abdul Halim menegaskan kalimah Allah merupakan hak eksklusif umat Islam dan ia perlu dihormati semua pihak.

Semalam, Dewan Ulama PAS dilaporkan menyokong Sultan Kedah mengenai isu Kalimah Allah ini.


'Pakar perlembagaan' Dr Abdul Aziz Bari pada pertengahan November 2013 berkata pemerintah negeri di Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk menggantung atau menafikan hak beragama bukan Islam yang telah dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, undang-undang telah jelas menyebut kuasa pemerintah negeri setelah beberapa hari Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bukan Islam di negeri itu tidak menggunakan kalimah Allah merujuk kepada tuhan seperti diputuskan Mahkamah Rayuan kira-kira sebulan lalu.

“Kuasa pemerintah semestinya perlu berdasarkan konteks Perlembagaan Persekutuan. Sultan selaku ketua agama hanya terpakai kepada orang Islam dalam negeri itu,” katanya kepada The Malaysian Insider.

“Tetapi bukan Islam yang tinggal di negeri itu adalah di luar daripada arahan pemimpin berkenaan. Malah kepada orang Islam sendiri, titah yang dikeluarkan oleh pemimpin itu tidak bersifat mutlak kerana perlu berlandaskan undang-undang Islam,” katanya.

Sebagai contoh, beliau berkata seseorang pemerintah tidak boleh meminta penduduk negeri itu melakukan perkara bertentangan dengan undang-undang Islam.

Meskipun Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas majlis agama tertakluk kepada kuasa pemerintah namun ia tidak berlaku sehingga menjadikan seseorang pemerintah itu boleh mengeluarkan undang-undangnya sendiri.

Abdul Aziz (kanan) berkata apabila Perlembagaan Persekutuan dirangka, ketua negeri atau sultan dibenarkan mengekalkan kuasa agama di peringkat negeri tanpa gangguan kerajaan persekutuan.

Tetapi Perlembagaan Persekutuan dengan jelas tidak menggambarkan sultan menjangkaui apa yang telah digariskan dalam rukun Islam, katanya

 “Undang-undang Islam tidak menyatakan dengan jelas berhubung isu kalimah Allah. Pihak berkuasa agama di Timur Tengah yang lebih dahulu menerima Islam telah menyatakan pandangannnya bahawa larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam satu perbuatan tidak berasas,” katanya.

Katanya, meskipun Mahkamah Rayuan memutuskan 14 Oktober tahun lalu bagi membatalkan larangan Kementerian Dalam Negeri terhadap penerbitan Kristian, Herald bagi penggunaan kalimah Allah namun adalah lebih baik mahkamah yang lebih tinggi di Malaysia membuat keputusan akhir.

“Biarpun sultan bebas daripada dinasihati kerajaan bagi menggunakan kuasanya sebagai ketua agama di negeri tertentu, namun mereka masih di dalam batasan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

“Sultan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang,” katanya yang menambah Majlis Agama Islam hanya mempunyai kuasa membantu dan menasihatkan pemerintah.

Larangan penggunaan kalimah itu pertama kali diperkenalkan pada 1982 selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil alih tampok pemerintahan namun tidak pernah dikuatkuasakan sehingga beberapa tahun selepas itu.

Ahmad Zaharuddin (kiri) menegaskan, tindakan menentang Raja, yang boleh dikategorikan sebagai kesalahan terhadap negara, boleh dihukum penjara seumur hidup ataupun hukum bunuh.

Beliau menegaskan larangan penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam telah diperkenalkan buat kali pertama pada 1982 namun tidak dikuatkuasakan sehingga beberapa tahun selepas itu.

Bertitik tolak daripada larangan itu, Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan dan Sekatan Pengembangan di Kalangan Orang Bukan Islam) diluluskan di Selangor pada 1988, yang menetapkan 25 perkataan yang tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam.

Perkataan itu adalah Allah, Illahi, Rasul, Fatwa, Firman Allah, Wahyu, Iman, Ulama, Mubaligh, Dakwah, Nabi, Hadith, Syariah, Injil, Sheikh, Ibadah, Qiblat, Solat, Kaabah, Haji, Khalifah, Kadi, Mufti, Wali dan Ibadah.

Ahmad Zaharuddin berkata dakwaan enakmen itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak tepat kerana ia diwujudkan berasaskan Perkara 11(4) yang menetapkan undang-undang negeri dan Persekutuan boleh digubal bagi mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan umat Islam.

Tambahnya, pada 1986 Majlis Fatwa Kebangsaan juga telah membuat ketetapan bahawa beberapa istilah serta kalimah menjadi hak eksklusif milik umat Islam dan perlu dihormati semua pihak.

No comments: