Monday, October 7, 2013

Siapa Kata PM Najib Tidak Bimbang Dengan TPPA?


"Apabila melihat lebih mendalam, dalam bidang harta intelektual, penyelesaian pertikaian pelaburan negara, pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara, alam sekitar dan buruh, anda mencerobohi hak kedaulatan sesebuah negara dalam membuat peraturan dan dasar."
 - Datuk Seri Mohd Najib Razak

Siapa kata Datuk Seri Mohd Najib Razak bersetuju bulat-bulat dengan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA)?

Hari ini di Nusa Dua, Bali, Perdana Menteri menyuarakan kebimbangan beliau mengenai beberapa bidang dalam pada dialog Sidang Kemuncak CEO APEC mengenai TPPA 'Pelaburan dalam Infrastruktur dan Modal Insan -- Melabur untuk Daya Tahan Ekonomi'.

"Kami mempunyai beberapa kebimbangan utama memandangkan TPPA merupakan perjanjian perdagangan bebas yang berbeza," kata Perdana Menteri yang juga anggota panel dialog itu bersama Presiden Mexico Enrique Pena Nieto, sebagai respons kepada pertanyaan moderator, Diane Brady, editor kanan Bloomberg mengenai kebimbangan beliau terhadap TPPA.


Najib berkata TPPA melepasi perdagangan dan pelaburan biasa Perjanjian Perdagangan Bebas yang Malaysia laksanakan bersama banyak negara.

"Apabila melihat lebih mendalam, dalam bidang harta intelektual, penyelesaian pertikaian pelaburan negara, pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara, alam sekitar dan buruh, anda mencerobohi hak kedaulatan sesebuah negara dalam membuat peraturan dan dasar," katanya

 Beliau turut menegaskan bahawa 'fleksibiliti' merupakan kunci utama kejayaan rundingan perjanjian itu. "Ini merupakan bahagian yang sukar, dan itu sebab kami minta ia lebih fleksibel," katanya.

Semalam Najib berkata perjanjian TPP dijangka mengambil masa yang lebih lama untuk dimuktamadkan berbanding tarikh awalnya hujung tahun ini. TPPA merupakan perjanjian perdagangan bebas yang dirundingkan oleh negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik -- Australia, Brunei, Chile, Kanada, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Vietnam. 

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri hari ini memberitahu Dewan Negara kerajaan akan memastikan kepentingan negara dan rakyat tidak di kompromi dalam rundingan pakatan perdagangan yang sedang berjalan. Sementara itu, beliau yang ditanya mengenai kepentingan Bumiputera atau dasar tindakan affirmatif untuk daya tahan negara,


Najib berkata : "Dasar Bumiputera perlu dilihat dalam konteks mewujudkan masyarakat yang adil dan saksama memandangkan Bumiputera membabitkan 67 peratus penduduk, termasuk Islam dan Bumiputera bukan Islam selain di Sabah dan Sarawak."

Beliau berkata jika Bumiputera ketinggalan atau dipinggirkan, ia tidak akan dapat mewujudkan kestabilan jangka panjang dalam negara.

Untuk masa depan, Najib berkata dasar itu akan dilaksanakan secara mesra pasaran dan berbeza daripada masa lampau yang mengundang kritikal.

"Jika ia dilaksanakan secara lebih adil dan mesra pasaran, saya yakin ia membawa kebaikan kepada negara," katanya dan menambah walaupun dasar itu dilaksanakan, bukan Bumiputera masih mendapat manfaat daripada dasar yang sama.

No comments: