Tuesday, April 16, 2013

Khalid Ke DUN Permas, Mukhriz Ke DUN Ayer Hitam – Apa Isyaratnya?

 

Apa isyarat apabila Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Jerlun pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei nanti?

Begitu juga dengan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang telah dipindahkan ke kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Permas.

Apakan ia isyarat Johor akan mendapat Menteri Besar baru sementara Mukhriz akan dilantik Menteri Besar Kedah sekiranya BN menang?

Di pihak PAS pula, ura-ura Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar dicanang sebagai Menteri Besar baru menggantikan Datuk Seri Azizan Abdul Razak lenyap begitu sahaja apabila dia dikatakan akan mempertahankan kerusi Parlimen Pokok Sena.

Desas-desus PAS akan mendapat Menteri Besar baru sekiranya pembangkang menang itu dikuatkan lagi dengan tindakan beberapa ahli Pas kawasan mengadakan protes terhadap Azizan bulan lalu, termasuk satu memorandum yang didakwa disokong Dewan Ulama Pas Kedah, termasuk Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) kepada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Difahamkan, memorandum itu antaranya mahu Azizan dilucutkan jawatan sebagai Pesuruhjaya Pas dan Menteri Besar sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), selain nama Ahli Parlimen Pokok Sena itu disebut bakal menggantikan Azizan.

Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu berkata, keyakinan berada di tahap yang tertinggi bahawa PAS yakin akan terus mentadbir negeri Kedah dan menang di beberapa buah negeri lagi pada Pilihan Raya Umum Ke -13 (PRU-13).

Menariknya kelmarin, Anggota Exco Kerajaan Kedah, Datuk Ir Amiruddin Hamzah (kiri)  tidak tahu menahu mengenai cakap-cakap bahawa namanya ‘naik’ sebagai calon menteri besar yang baru jika pembangkang kekal berkuasa di negeri ini selepas PRU13.

Menurut Amiruddin, beliau sendiri tidak pasti sama ada akan terus dipilih sebagai calon pada pilihan raya ini, mengulas spekulasi mengenai namanya disebut-sebut sebagai calon menteri besar adalah sesuatu yang baginya terlalu jauh daripada jangkaan.

“Saya tak tau (spekulasi sebagai calon menteri besar), saya tak dengar. Sama ada saya akan terus dicalon atau tidak pun saya tak tau,” katanya ketika ditemui di Markas Besar Pas Anak Bukit, semalam.

Bekas jurutera Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) itu mula bertanding pada pilihan raya kecil Dun Anak Bukit menggantikan tempat Presiden Pas pada masa itu, Datuk Fadzil Noor yang meninggal dunia pada 23 Jun 2002.

Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Abdullah Hasnan Kamaruddin. Pada pilihan raya umum 2004, beliau berjaya mengekalkan kerusi itu.

Mengenai Mukhriz pula, beliau akan berubah kedudukan dengan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam.

Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Mahadzir Khalid juga tidak akan mempertahankan kerusi DUN Pedu yang dimenanginya pada 2008. Mahadzir akan berpindah kerusi dengan bertanding di kerusi Parlimen Padang Terap.

Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Sahlan Ismail akan bertanding di Parlimen Pokok Sena dan melawan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang merupakan penyandang kerusi. Sahlan adalah calon muka baru pada PRU-13.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom diumumkan sebagai calon bagi Parlimen Padang Jerai. Beliau juga merupakan calon muka baru.

Di Johor, Datuk Abdul Ghani Othman telah diumumkan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Gelang Patah. Mohamed Khaled dipindahkan ke kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Permas sementara Datuk Nur Jazlan Mohamaed kekal bertanding di kerusi Parlimen Pulai.

Keputusan Khaled yang juga bekas Menteri Pengajian Tinggi itu bertanding di Dun Permas menguatkan spekulasi beliau akan dilantik menjadi Menteri Besar jika BN kembali memerintah negeri itu selepas pilihan raya nanti.

Pengumuman nama calon BN Johor dibuat oleh Setiausaha Kerja BN Johor, Ramli Bohani. Ketika nama Ghani diumumkan sebagai calon hadirin memberikan gemuruh kepada beliau.

Sekurang-kurangnya tiga kerusi tidak diumumkan iaitu, Parlimen Tanjung Piai, dan kerusi Dun Senai serta Pekan Nenas.

Ketiga-tiga kerusi berkenaan merupakan kerusi milik MCA dan dijangka akan diumumkan tidak lama lagi. Wakil BN memberitahu penangguhan itu disebabkan oleh penukaran di saat akhir dalam senarai nama calon.

No comments: