Sunday, October 18, 2009

Zaid tersentuh sarang tabuan?


Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, yang baru menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jun lalu kekmarin membuat pengumuman bahawa beliau akan mengambil "cuti politik" selama enam bulan daripada parti itu.

Pengumuman mengejut untuk bercuti selama enam bulan daripada PKR di tengah-tengah ura-ura beliau menghadapi masalah dengan seorang pemimpin kanan parti.

"Ini bermakna saya tidak akan menghadiri mesyuarat biro politik parti," kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan hari ini.

Surat itu, yang berkuatkuasa serta-merta, diserahkan kepada Setiausaha Agung PKR Datuk Salehuddin Hashim.

Adalah tidak jelas mengapa beliau membuat keputusan untuk mengambil cuti panjang. Ada yang berkata beliau sedang menumpukan perhatian kepada syarikat penerbitannya yang baru iaitu ZI Publication memandangkan beliau kini tidak lagi menjalankan tugas-tugas eksekutif di firma guamannya Zaid Ibrahim & Co (ZICO.

Bagaimanapun satu lagi pihak mengatakan Zaid berbuat demikian ekoran pergeseran pendapatnya dengan Naib Presiden PKR, Azmin Ali.

Dalam satu kenyataan yang dikirimkan kepada pihak media Zaid berkata dengan keputusan terbarunya ini, bermakna beliau tidak akan menghadiri mesyuarat biro politik parti.
Surat memohon cuti politik semalam enam bulan itu telah dikirim kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim dan berkuatkuasa hari ini.

"Tindakan Zaid ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana beliau berupaya melakukan apa saja yang beliau rasa sesuai untuk dirinya kerana beliau tidak bergantung hidup kepada sesiapa. Dan ini bukanlah kali pertama Zaid membuat kejutan," kata seorang kenalan beliau dari Kota Bharu.

Pengumuman cuti Zaid ini dibuat sewaktu muncul khabar bahawa beliau berkemungkinan meninggalkan PKR.

Naib Presiden PKR Azmin Ali, yang juga ahli parlimen Gombak, dilaporkan tidak senang dengan peranan Zaid yang akan dihantar ke Sabah untuk menyelesaikan penolakan ketua-ketua bahagian terhadapnya, yang dilantik sebagai pengerusi Majlis Pimpinan Negeri.

Dalam satu mesyuarat biro politik PKR Selasa lalu, Azmin didakwa melepaskan kemarahannya terhadap bantahan ketua-ketua bahagian di Sabah sehingga Anwar juga sukar menenangkannya.


Dalam kenyataannya hari ini, Zaid bagaimanapun menafikan pembabitannya dengan isu kepemimpinan parti itu di Sabah dan Sarawak seperti dilaporkan Malaysiakini sebelumnya.

"Saya diundang menghadiri perhimpunan dan majlis Hari Raya anjuran pemimpin PKR untuk bertemu dengan ahli-ahli, yang saya sudah menerima pelawaan itu.

"Begitu juga saya turut diundang bertemu beberapa pemimpin Sarawak di Kuching. Saya tidak nampak sebarang niat buruk dalam undangan-undangan ini," katanya.

"Saya tidak apa-apa kepentingan dalam politik dalaman PKR atau parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat. Saya juga tidak berminat mengambil peranan kepemimpinan dalam PKR.

"Saya telah jelaskan perkara ini sejelas-jelasnya kepada Anwar sewaktu saya menyertai parti ini."

Sumber: Bernama & Malaysiakini

No comments: