Monday, May 25, 2009

PKR TIDAK SELESA DENGAN AMINAH

Agendadaily/Utusan Malaysia

Walaupun hanya berhadapan dengan calon Bebas, PKR nampaknya tidak boleh duduk senang kerana ‘serangan’ awal salah seorang calon bebas, Aminah Abdullah mengundang reaksi daripada pimpinan kanan parti tersebut.

Aminah selepas penamaan calon berkata, beliau akan mendedahkan bukti ada pemimpin PKR yang telah menemuinya dengan membuat pelbagai tawaran asalkan beliau sedia menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya kecil DUN Penanti.

Aminah yang merupakan bekas Ketua Wanita Parti Keadilan, adalah antara kumpulan awal yang berjuang bersama Parti Keadilan dan menerajui kepimpinan di peringkat negeri Pulau Pinang di samping aktif dalam pergerakan wanita di peringkat pusat.

Difahamkan, Aminah akan membuat sidang media bagi mendedahkan dakwaannya itu kerana menurut beberapa sumber rapat dengannnya, beliau mempunyai gambar dan rakaman perbualan yang melibatkan salah seorang pemimpin PKR.

Cumanya, jika Aminah tampil mengemukakan bukti, kita lihat apa pula ‘pencak silat’ yang akan digunakan oleh PKR. Selalunya pemimpin PKR membuat pelbagai tuduhan dan dakwaan terhadap pemimpin kerajaan tetapi tiada bukti yang dikemukakan. Itu tidak apa bagi mereka. Kalau orang lain kemukakan bukti, apa agaknya jawab mereka.

Berikutan itu semalam, PKR menafikan dakwaan seorang daripada calon Bebas pada pilihan raya kecil DUN Penanti bahawa parti itu memujuk atau memberi ganjaran kepada calon Bebas supaya menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya kecil itu 31 Mei ini.

Ketua Penerangan PKR Tian Chua mencabar mana-mana calon Bebas yang bertanding, termasuk Aminah Abdullah yang membuat dakwaan itu supaya mengemukakan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jika benar wujud penyelewengan sedemikian.

“Jika ada sebarang bukti bahawa ada pemimpin atau mana-mana daripada kami (PKR) menawarkan ganjaran kewangan, laporkan kepada SPRM atau SPR,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Aminah semalam yang mendakwa akan mendedahkan bukti bahawa PKR cuba memberi ganjaran kepadanya supaya menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya kecil itu yang akan menyaksikan pertandingan empat penjuru.

Aminah, 57, bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Nasional (KeAdilan) Pulau Pinang, adalah seorang daripada tiga calon Bebas yang akan bertanding. Dua calon lain ialah Pengurus syarikat yang juga bekas Ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, Nai-Khan Ari a/l Nai Keow, 41 dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

Manakala Pengarah Pilihan Raya PKR, Saifuddin Nasution Ismail pula ketika mengulas dakwaan Aminah tersebut mengaitkannya dengan kemungkinan Aminah mempunyai rasa tidak puas hati dengan mana-mana pihak dalam PKR.

No comments: