Friday, November 7, 2008

BEKAS HAKIM BUKAN DIPECAT?

Bertuahnya mereka, dapat ex-gratia dan pencen. Itulah nasib enam hakim yang sebelum ini heboh dikatakan dipecat.

Ternyata mereka bukan dipecat tetapi ditamatkan perkhidmatan lebih awal dan layak mendapat pencen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mengotakan jaminan mendapatkan maklumat terperinci mengenai jumlah sebenar pembayaran ex-gratia kepada enam bekas hakim yang dikatakan dipecat pada 1988.

Pembayaran ex-gratia itu dibuat sebagai menghargai sumbangan bekas hakim-hakim berkenaan yang terlibat dalam krisis kehakiman dan merupakan langkah kerajaan memulihkan semula kewibawaan badan kehakiman.

Ex-gratia tersebut telah diserahkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim pada Jun lalu kepada hakim-hakim terlibat.

Bagaimanapun Zaid enggan mendedahkan jumlahnya atas alasan permintaan oleh hakim berkenaan sendiri. Zaid meletakkan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 15 September lalu.

Pembayaran ex-gratia berkenaan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada April lepas sebagai menghargai sumbangan besar kepada bekas hakim yang ‘dipecat ‘dalam krisis kehakiman bagi memulihkan semula kewibawaan badan kehakiman yang tercemar sejak 20 tahun lalu.

Nazri mengumumkan semalam bahawa kerajaan telah membayar ex-gratia berjumlah RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan lima lagi bekas hakim kanan yang terlibat dalam krisis kehakiman, 20 tahun lalu.

Nazri menjelaskan, bekas hakim-hakim itu telah ditamatkan perkhidmatan lebih awal seperti saranan panel yang telah bersidang berhubung kes tersebut dan bukan dipecat oleh kerajaan.

“Sekiranya bekas hakim-hakim itu dipecat mereka tidak layak mendapat pencen tetapi kerana telah ditamatkan perkhidmatan, maka mereka layak dibayar pencen mengikut Akta Pencen,” katanya.

Kenyataan Nazri bahawa hakim bukan dipecat sudah pasti mengundang tanda-tanya kerana sebelum ini dihebohkan bahawa mereka dipecat.

Yang menjadi sasaran teruk ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan beliaulah punca hakim-hakim berkenaan dipecat.

Salleh menerima bayaran tertinggi dengan RM5 juta, Tan Sri Azmi Kamaruddin (RM2 juta), Tan Sri George Edward Seah Kim Seng (RM2 juta) manakala Tan Sri Wan Hamzah Mohd. Salleh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer dan Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh masing-masing mendapat RM500,000.

Nazri membuat pengumuman itu ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Bajet 2009 bagi Jabatan Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Kata Nazri: ‘‘Saya pegang apa yang dikatakan sebelum ini bahawa kerajaan bersedia untuk menubuhkan sebuah panel lain untuk menilai kes bekas hakim-hakim tersebut sekiranya terdapat bukti-bukti baru, tetapi pada masa ini tidak ada maka tidak perlu kerajaan tubuhkan panel baru,” katanya.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong sebelum ini telah mendesak kerajaan supaya mendedahkan jumlah pembayaran ex-gratia itu yang diumumkan pemberiannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada April lalu.

Mohamed Nazri berkata, bayaran itu bukanlah jumlah yang sesuai kerana ia melibatkan harga diri dan maruah bekas hakim-hakim berkenaan.

‘‘Kerajaan tidak pernah mempertikaikan bayaran yang dibuat kepada bekas-bekas hakim itu tetapi Ahli Parlimen Wangsa Maju (Wee Choo Keong, PKR-Wangsa Maju) yang mempertikaikan jumlah bayaran tersebut.

‘‘Sebenarnya kita tidak boleh meletak berapa harga yang sebenarnya patut dibayar sebab ia soal harga diri, mana boleh letak harga, tetapi kita bayar dan anggap jumlah tersebut sesuai,” jelasnya.

Nazri menjawab celahan N. Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) yang menyatakan bayaran itu terlalu rendah berbanding jawatan Salleh yang merupakan Ketua Hakim Negara adalah satu jawatan lebih penting daripada Perdana Menteri.

Jawapan Nazri itu dibantah keras oleh Choo Keong yang turut mencelah dengan menyatakan ia adalah terlalu tinggi memandangkan bekas hakim-hakim itu menerima bayaran pencen.

‘‘Apa yang dikatakan oleh Choo Keong itu mempertikaikan jumlah bayaran. Gobalakrisnan menyatakan terlalu rendah dan Ahli Parlimen Wangsa Maju pula menyatakan terlalu tinggi, jadi tidak ada kesepakatan dalam jumlah bayaran yang harus diberikan, maka tindakan kerajaan adalah betul,” katanya.

Beliau berkata, lima bekas hakim itu turut menerima pencen bulanan iaitu Salleh sebanyak RM5,102.16, Wan Suleiman (RM4,815), George Seah (RM5,916.90) Eusoffe (RM4,815), Wan Hamzah (RM6,508.59) dan Azmi (RM5,916.90).
Nazri menambah, apa jua bentuk bayaran kepada bekas hakim-hakim itu, ia tidak bermaksud bahawa kerajaan bersalah.

Pada 29 Oktober lalu, Nazri yang baru mengambilalih portfolio perundangan, berkata beliau tidak mengetahui butiran lengkap mengenai jumlah pembayaran itu kerana pengiraan dibuat oleh Setiausaha Kabinet dan bahagian pencen.

Biarpun diasak beberapa wakil pembangkang yang membangkitkan perkara berkenaan seperti dari Ipoh Timur, Pokok Sena, Subang, Kubang Kerian, Balik Pulau dan Wangsa Maju, beliau tetap dengan jawapannya.

Malah beliau turut menyuruh Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju) agar mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya memecatnya kerana tidak tahu jawapan kepada soalan itu.

No comments: