Sunday, November 9, 2008

APA LAGI HUSAM?

Asyik bangkang dan bantah. Ada sahaja yang tidak kena dengan Kerajaan Pusat.

Kata Datuk Husam Musa, rakyat di negara ini sebenarnya tidak mendapat gambaran sebenar mengenai keadaan ekonomi negara biarpun kerajaan pusat berbangga dengan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

Naib Presiden Pas, itu berkata, kerajaan pusat hari ini mengeluarkan pelbagai kenyataan yang mendakwa keteguhan ekonomi negara, sedangkan gambaran sebenar mengenai kedudukan ekonomi negara tidak diberikan secara jelas.

“Sebenarnya apa yang berlaku adalah sebaliknya yang mana negara sedang menghadapi krisis ekonomi dunia akibat kegawatan yang kronik. Sebelum ini pernah berlaku pinjaman bank tidak berbayar setelah berlakunya krisis ekonomi pada 1978 - 1979, di mana pada ketika itu pasaran saham jatuh merudum.

“Sekarang fenomena itu berlaku lagi di mana pasaran saham menjadi tidak menentu,” katanya seperti dilaporan Sinar Harian.

Apabaila Najib mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion Selasa lalu ia adalah usaha mengukuhkan lagi daya tahan negara dan mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi bagi menghadapi persekitaran global yang semakin mencabar.

Dengan kata lain, dalam penuh kesedaran kedudukan ekonomi negara ketika ini, pakej diperkenalkan semasa penggulungan Bajet 2009 di Parlimen.

Langkah kerajaan ialah mewujudkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion dalam Bajet 2009 adalah satu bentuk intervensi yang perlu dilakukan untuk mengelak kegawatan ekonomi.

Hakikatnya pakej itu akan mempercepatkan usaha membasmi kemiskinan tegar menjelang tahun 2010.

Ia adalah langkah wajar dalam menstabilkan ekonomi negara dengan usaha tersebut dilihat bercorak rangsangan ekonomi secara domestik.

Usaha tersebut dilihat mampu meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat dan membantu mengurangkan beban perbelanjaan yang kian meningkat.

Usaha pihak pembangkang yang ingin mengurangkan peruntukan Bajet 2009 sebanyak RM24 bilion merupakan satu usaha fiskal menguncup yang akhirnya akan membawa kepada permintaan domestik yang menguncup dan hal ini mungkin akan membuatkan rakyat makin tertekan dengan ekonomi domestik yang terhad.

Sememangnya idea pihak pembangkang adalah ingin memantau kadar defisit negara selaras dengan penurunan nilai ringgit, namun, strategi kerajaan dilihat lebih bijak kerana pembiayaan yang dilakukan melalui sumber domestik dan usaha tersebut lebih dekat dalam meningkatkan kebajikan rakyat. Sebagai pengeluar dan peniaga, sikap amanah dan bertimbang rasa perlu ada dalam menjalankan kegiatan ekonomi mereka.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, selain daripada itu tindakan memajukan kampung dan menambah baik kehidupan penduduk desa akan dilakukan dengan lebih cepat melalui dana tersebut.

''Pengumuman berkenaan akan membolehkan 15,000 keluarga miskin tegar memiliki rumah sendiri dan 74 projek jalan luar bandar disiapkan.

''Jalan kampung sepanjang 1,600 kilometer juga akan dibina di seluruh negara,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Muhammad, pengumuman berkenaan membawa kesan besar kepada pembangunan luar bandar kerana daripada RM7 bilion itu kira-kira RM2 bilion akan disalurkan ke luar bandar sama ada secara langsung atau tidak langsung.

''Antara pembangunan luar bandar yang dimaksudkan ialah pembangunan infrastruktur, program perumahan, program pendidikan awal kanak-kanak di Tabika atau Taska luar bandar dan langkah-langkah memperkasakan program sahsiah remaja,'' katanya.

Tambah Muhammad, dana berkenaan akan menyelesaikan hampir 90 peratus daripada keperluan rumah keluarga miskin tegar yang akan dibina di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Perdana Menteri sendiri mengakui pakej RM7 bilion itu adalah langkah terbaik yang difikirkan kerajaan mengambil kira senario kemelesetan ekonomi global masa ini.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badwi berkata krisis ekonomi 1997 memerlukan tindakan berbentuk mengikat ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS) pada nilai tertentu tetapi krisis kali ini memerlukan intervensi dari segi pakej rangsangan.

Tambah Abdullah, walaupun asas ekonomi negara kukuh, tetapi campur tangan bagi mengelakkan kesan buruk ekonomi global daripada menyerap ke dalam asas itu perlu dilakukan.
"Dalam situasi seperti ini, kerajaan mesti ambil peranan untuk melaksanakan langkah-langkah terbaik bagi melindungi ekonomi kita daripada terjejas," katanya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula semalam berkata pertumbuhan semasa ekonomi sejagat yang perlahan menyediakan peluang kepada sektor swasta dan awam untuk saling berkerjasama membentuk formula dan melaksanakan strategi bagi menghadapi cabaran yang mendatang.

Katanya, kerajaan akan terus mengambil langkah ke arah peningkatan persekitaran perniagaan.
Bagi sektor swasta pula, kata beliau, adalah penting kedua-dua sektor berkenaan dan peneraju perniagaan mengadaptasikan kedudukan strategik bagi mengemudi perniagaan masing-masing mengharungi kemelesetan.

No comments: