Wednesday, November 26, 2008

USAH KOMPROMI SOAL ISLAM

Sunnatullah telah menentukan bahawa Malaysia adalah sebuah negara majmuk jadi ia mengikut prinsip Islam sama ada golongan minoriti atau bukan Islam mesti dijaga kepentingan mereka seperti mana Perlembagaan Madinah ketika Rasulullah mula mewujudkan pentadbiran Islam pertama di dunia.

Dan dalam kedudukan seperti ini, dalam soal-soal tertentu orang Islam tidak boleh berkompromi tetapi ia bukan bererti mahu menerjah keluar orang bukan Melayu daripada gelanggang politik dan institusi sosial yang ada.

Bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, sikap bukan Islam mencampuri urusan orang Islam kerana orang Islam sendiri yang membuka ruang untuk ditembusi oleh orang bukan Islam terhadap soal-soal prinsip terutama hukum hakam dan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Persoalannya kenapa sekarang ia berlaku? Adakah kerana JAKIM atau jabatan agama atau Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia yang bersalah?

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, IKIM berperanan bukan sahaja menjelaskan prinsip Islam kepada bukan Islam tetapi memberikan kefahaman kepada bukan Islam supaya memahami Islam di samping kita memahami isu-isu agama lain. Sebenarnya, soal utama ialah kita membuka ruang untuk menghadapi 'tembakan' daripada orang lain.

Untuk memahami lebih lanjut, ikut temubual wartawan Utusan Malaysia, AZMAN ANUAR dan ZULKIFLEE BAKAR dengan Menteri berkenaan seperti disiarkan oleh Utusan Malaysia semalam 25 November 2008.

UTUSAN: Walaupun menghadapi pelbagai cabaran namun orang Melayu masih dilihat sukar untuk bersatu, apa masalahnya?

AHMAD ZAHID: Perpaduan Melayu bukan hanya satu retorik atau sekadar penghasilan resolusi. Ia harus dilihat melalui tindakan dan iltizam. Adalah lebih baik kita tidak membincangkan tetapi melakukan tindakan dengan cara membawa semua rakan-rakan yang mempunyai legasi pendapat dan wadah perjuangan berbeza duduk semeja. Beberapa langkah yang dibuat oleh NGO dan badan bertindak merupakan manifestasi terhadap ketidakpuasan hati terhadap tahap perpaduan ini. Berikutan tindakan pelbagai pihak yang mula mempertikaikan hak dan kedudukan orang Melayu dan Islam, maka kita harus melakukan muhasabah untuk melakukan tindakan bersama bagi mewujudkan perpaduan.

Apakah langkah atau tindakan itu?

AHMAD ZAHID: Apa yang paling utama kita harus melihat apakah permasalahan yang timbul sekarang ini. Hakikatnya ia terkait dalam tiga situasi, pertama, situasi politik kontemporari, kedua, isu-isu keagamaan dan ketiga, isu ummah masa depan.

Dari segi politik kontemporari saya lihat matlamat mencapai tujuan menjadi teras keutamaan sehingga ia melebihi daripada perpaduan Melayu sendiri. Dalam konteks ini kuasa Melayu harus dilihat menjadi asas induk negara kita. Apa yang dilontarkan oleh Raja Muda Perak jelas memperlihatkan manifestasi itu dan membuktikan bahawa bukan sahaja akar umbi malah pihak istana pun mula memperkatakannya.

Ini berlaku kerana situasi yang berlaku sekarang menyebabkan seolah-olah orang Melayu sebagai induk negara ini sudah terhakis. Kedua, dari segi bagaimana kita harus berhadapan tindakan-tindakan pihak tertentu mempertikaikan apa yang termaktub dalam Perlembagaan apabila melihat perpaduan kita sudah longgar.

Apa yang malangnya, ada di kalangan orang Melayu sendiri yang menyatakan roh Melayu itu tidak lagi relevan. Malah mereka menuntut kesamarataan dan meritokrasi dilaksanakan dengan melupakan keindukan orang Melayu sendiri. Ketiga, soal masa depan apabila di kalangan orang muda berpendidikan tinggi merasakan apa yang mereka perolehi adalah kerana kebolehan bukan kerana dasar kerajaan yang membantu mereka.

Usaha menyatukan orang Melayu bukan perkara baru tetapi perbezaan politik yang menjadi benteng penghalang?

AHMAD ZAHID: Dari segi politik, orang Melayu terpecah kepada tiga kumpulan iaitu orang Melayu UMNO, orang Melayu Pas dan orang Melayu PKR, ia mungkin terpecah kepada empat kumpulan iaitu orang Melayu yang tidak peduli di bawah parti politik mana pun negara ini diperintah asalkan ia melaksanakan demokrasi.

Apabila Melayu terpecah kepada tiga, maka kita mesti mencari jalan bagaimana titik-titik pertemuan harus diadakan bukan hanya untuk menterjemahkan agenda keindukan Melayu tetapi bagaimana Melayu sebelum ini yang menguasai bidang politik dan pentadbiran diperkasakan tanpa meminggirkan bangsa serta agama lain.
Bagaimanapun kita juga berhadapan dengan pendirian sesetengah pemimpin politik yang mahu memusatkan pembahagian kuasa atas nama perubahan sehingga keindukan Melayu tidak lagi menjadi keutamaan.

Namun begitu apa yang perlu difikirkan ialah kalau parti politik berbeza tetapi berasaskan etnik yang sama boleh duduk semeja walaupun secara tidak formal bagi membincangkan agenda mereka, kenapa tidak parti politik Melayu melakukan perkara yang sama tanpa mengenepikan etnik yang lain?

Apa yang dihadapi oleh orang Melayu sekarang adalah isu kritikal sehingga ia mendapat perhatian istana. Malah akibat longgarnya perpaduan di kalangan orang Melayu menyebabkan ia diambil peluang oleh kumpulan lain untuk menyanggah kedudukan orang Melayu di negara sendiri.

Adakah ini berpunca daripada kelemahan UMNO yang dilihat parti induk Melayu?

AHMAD ZAHID: Bagi saya bukan sekadar kelemahan UMNO tetapi kelemahan dalam institusi Melayu sama ada institusi sosial mahupun politik. Apa pun masih belum terlambat untuk kita memperkukuhkan institusi Melayu sama ada dalam bidang politik mahupun sosial.
Pada hemat saya kita perlu duduk lebih informal untuk bukan sekadar mengimbau permasalahan yang sedang dihadapi malah berusaha mengwujudkan perpaduan di kalangan kita.

Siapa yang sepatutnya memainkan peranan bagi menyatukan orang Melayu ini?

AHMAD ZAHID: Semua pihak, ini kerana perpaduan Melayu tidak boleh lari daripada perpaduan ummah. Cuba kita fikirkan kenapa sekarang ini fatwa mula dipertikaikan?

Kenapa tentang hal-hal ibadah orang Islam dicampuri orang lain? Kenapa ada cadangan bahawa zakat perlu diberi kepada bukan Islam? Semua ini wujud kerana terdapat ketidakfahaman di kalangan orang Islam sendiri dan di kalangan bukan Islam terhadap Islam.

Oleh itu saya berpendapat dalam hal-hal berkaitan agama Islam jangan berlaku perbezaan pendapat terutamanya dalam perkara-perkara cabang (furuq).

Saya berterima kasih kepada semua ahli-ahli Parlimen Islam dari UMNO, Pas dan PKR yang telah duduk semeja dengan saya, mufti-mufti dan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk membincangkan empat enakmen dan rang-rang undang-undang yang akan dibentangkan di Parlimen dan menangani beberapa isu kontemporari.

Kami juga bersetuju untuk tidak memanjangkan perbezaan pendapat di Parlimen sebaliknya berbincang sesama sendiri secara tidak formal. Bagi saya ini langkah awal yang akan mewujudkan kesamaan dari segi pendapat.

Ada pandangan bahawa sikap bukan Islam mencampuri urusan orang Islam juga kerana bentuk dakwah yang dijalankan oleh agensi kerajaan tidak berkesan?

AHMAD ZAHID: Pada saya orang Islam sendiri yang membuka ruang untuk ditembusi oleh orang bukan Islam terhadap soal-soal prinsip terutama hukum hakam dan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Persoalannya kenapa sekarang ia berlaku?

Adakah kerana JAKIM atau jabatan agama atau Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia yang bersalah? Malah kita ada IKIM yang berperanan bukan sahaja menjelaskan prinsip Islam kepada bukan Islam tetapi memberikan kefahaman kepada bukan Islam supaya memahami Islam di samping kita memahami isu-isu agama lain. Sebenarnya, soal utama ialah kita membuka ruang untuk menghadapi 'tembakan' daripada orang lain.

Adakah langkah membuka ruang ini berlaku kerana ada pemimpin terlalu inginkan kuasa politik?

AHMAD ZAHID: Kebarangkalian itu cukup tinggi sebab kadang-kadang kita sebagai pemimpin Islam tidak pun menyanggah pendapat daripada bukan Islam kerana kita mahu menjaga hati walaupun ia bercanggah dengan prinsip Islam.

Bagi saya, dalam soal Islam kita tidak harus berkompromi tetapi ini tidak bermakna kita mahu menidakkan pengaruh dan pembahagian kek ekonomi serta kekuasaan kepada orang bukan Islam. Apatah lagi orang bukan Islam tidak harus khuatir kerana sejarah sudah membuktikan bahawa biarpun orang Melayu terus berkuasa tetapi tidak pernah sekalipun ada catatan bahawa orang bukan Islam terpinggir di dalam struktur sosial Malaysia.

Maknanya dalam soal Islam kita tidak harus berkompromi?

AHMAD ZAHID: Tidak boleh berkompromi bukan bererti mahu menerjah keluar orang bukan Melayu daripada gelanggang politik dan institusi sosial yang ada, sunnatullah telah menentukan bahawa Malaysia adalah sebuah negara majmuk jadi ia mengikut prinsip Islam sama ada golongan minoriti atau bukan Islam mesti dijaga kepentingan mereka seperti mana Perlembagaan Madinah ketika Rasulullah mula mewujudkan pentadbiran Islam pertama di dunia.

Apakah kelantangan bukan Melayu akibat daripada dasar keterbukaan dan ketelusan yang diamalkan oleh kerajaan?

AHMAD ZAHID: Kebebasan itu ada batasnya. Sebagai rakyat Malaysia apa pun bangsa yang melahirkan kita atau agama yang kita percaya Perlembagaan negara harus dihormati.

Dasar kebebasan yang dibenarkan oleh kepimpinan negara bukan bererti mereka bebas dalam semua hal tanpa menghormati isu-isu sensitif yang menjadi garis panduan agar perpaduan di kalangan orang Melayu dan pelbagai kaum dapat dipertahankan.

Mungkin juga kerana kerajaan tidak tegas dalam bertindak terhadap mereka yang berbuat demikian?

AHMAD ZAHID: Bagi saya bukan soal ketegasan sahaja, kita sebagai warga negara Malaysia harus faham bahawa di mana langit di pijak di situ langit dijunjung. Pegangan ini harus menjadi sandaran biarpun tanpa penguatkuasaan.

Kalau kita mahu mengamalkan demokrasi, sama ada ikut cara Britain atau Amerika Syarikat (AS), ikutlah yang baik. Umpamanya bila Barack Obama menang orang pertama yang menelefon mengucapkan tahniah ialah John McCain.

Di Malaysia berbeza, bila seseorang itu menang, lawannya akan berkata tunggu empat lima tahun lagi untuk pilihan raya seterusnya atau pada hari pertama keputusan dikeluarkan sudah mula kempen memburuk-burukkan pihak yang menang. Kelompok itu langsung tidak mahu mengiktiraf kepimpinan yang dipilih oleh rakyat. Saya fikir itu tidak betul dan kita harus belajar apa yang baik yang ada pada Barat.

Prinsip Islam dalam menghormati pemimpin dan mengiktiraf kerajaan harus menjadi keutamaan.

Dalam keadaan sekarang, apa yang seharusnya dilakukan oleh UMNO kerana parti itu dilihat semakin lemah?

AHMAD ZAHID: UMNO adalah tulang belakang kepada komponen BN dan UMNO walaupun sebagai sebuah parti Melayu namun terbukti tidak meminggirkan bangsa dan agama lain.

UMNO tidak lemah yang lemah adalah sebahagian daripada kepimpinan sama ada di peringkat cawangan, bahagian, negeri atau nasional. Dalam hal ini saya ingin merujuk bukan hanya kepada struktur UMNO sahaja tetapi putaran hayat sesebuah organisasi yang berusia lebih enam dekad. Permasalahan ini bukan berlaku di negara ini sahaja malah juga di India, Britain dan negara lain.

Justeru tugas pemimpin dan ahli UMNO sekarang ialah bagaimana hendak memastikan parti terus relevan kepada seluruh rakyat Malaysia. Dalam soal ini, pemilihan parti pada Mac depan akan menjadi penentu sama ada pemimpin dan ahli UMNO masih mahu berada di takuk lama atau mahu mewujudkan kepimpinan baru yang akan mencari jalan meremajakan UMNO.

Peremajaan ini bukanlah mudah, ia harus disusuli dengan beberapa program mantap bagi menangani persoalan dan mengisi agenda Melayu tanpa meminggirkan kaum lain.

Tetapi kalau dilihat ahli UMNO masih belum sedar tentang cabaran mereka sehingga sanggup mengamalkan politik wang dalam pemilihan?

AHMAD ZAHID: Kita akui wujud laporan politik wang di dalam UMNO tetapi gejala itu juga berlaku dalam parti-parti lain tetapi bentuknya mungkin berlainan. Bezanya UMNO dengan parti lain ialah media tidak memberi liputan meluas kepada parti lain. Saya yakin wujud masalah dalam kepimpinan Pas, PKR dan DAP, begitu juga komponen BN tetapi tiada liputan yang dibuat. Minat kepada UMNO ini kerana kebetulan ia menjadi tulang belakang parti memerintah.

Bagi saya, fokus berhubung gejala negatif ini tidak adil kerana hanya dituding kepada UMNO sahaja. Saya akui ia berlaku tetapi tidaklah seburuk yang digambarkan. Bagi saya, prinsipnya kalau tidak ada pemberi tidak ada penerima, soalnya kenapa ada pemberi? Bila ada orang memberi maka ada menerima dan apabila ada orang lain tidak memberi maka ia akan menjadi mangsa tidak diberi sokongan, ini tidak adil.

Orang UMNO tidak berubah walaupun ada pindaan terhadap undang-undang politik wang dalam parti?

AHMAD ZAHID: Sebenarnya tata etika atau peraturan atau undang-undang hanya satu alat untuk membendung perkara negatif. Sebenarnya lebih penting adalah diri sendiri. Umpamanya, undang-undang arak di kalangan orang Islam, kalau di luar negara arak ada di depan mata tetapi kalau kita sendiri ada semangat yang kuat untuk tidak minum arak, maka arak itu tidak akan diminum walaupun orang tidak nampak atau tidak ada undang-undang.

Begitu juga peraturan dalam UMNO, peraturan boleh dipinda dan ditambah setiap waktu tetapi kalau kita sendiri tidak mencari ruang kosong untuk bolos daripada peraturan itu siapa lagi yang hendak melakukannya.

Bagaimana hendak 'mengubati penyakit' di kalangan orang UMNO itu?

AHMAD ZAHID: Kepimpinan harus diserapkan dengan budaya baru, kalau itu tidak dilakukan maka kuasa politik kita akan terhakis, kita hanya boleh memegang jawatan di dalam parti tetapi kita tidak lagi mempunyai kuasa politik sebagai sebuah kerajaan. Mungkin hanya sebahagian yang menyedarinya sebab itu kepimpinan baru UMNO harus turun ke bawah memperjelaskan perkara berkenaan.

Tidakkah gejala tersebut menyebabkan imej UMNO tercalar?

AHMAD ZAHID: Imej UMNO tercalar bukan salah orang di luar UMNO, tetapi salah segelintir daripada orang UMNO sendiri yang mengizinkan keburukan itu berlaku. Justeru tanggungjawab kepimpinan dari bawah ke atas ialah menterjemahkan apa yang kita hasratkan supaya tidak berlaku lagi keburukan ini. Semua itu perlu dilakukan melalui tindakan bukan retorik.

Saturday, November 22, 2008

MEDIA PRO PAKATAN YANG TABUR FITNAH

Ups...mungkin silap kot. Agaknya Hadi nak sebut Harakah (termasuk Harakahdaily) dan Anwar pula Suara Keadilan dan Kit Siang, akhbar rasmi DAP, Roket.Tiga media ini sebenarnya banyak menabur fitnah dengan bertopengkan keadilan dan Islam.

Pemimpin Pakatan Rakyat, Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang baru-baru ini sepakat mengecam konspirasi media pro Umno/BN kononnya sedang bertungkus lumus untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat dengan menabur fitnah, adu-domba dan memainkan isu-isu sensitif bagi mengelirukan rakyat.

Kata mereka, selain untuk mencetuskan kemarahan rakyat, tindakan media pro Umno/BN itu juga bertujuan untuk menjatuhkan reputasi lima kerajaan Pakatan Rakyat yang dipimpin.
Perkara ini didedahkan oleh ketiga-tiga mereka pada 'Majlis Makan Malam dan Bengkel Mini Pakatan Rakyat' yang diadakan di Hotel De Palma, Ampang dekat sini baru-baru ini.

Oh bersekongkol, padanlah.

Tapi kesian sungguh kat Hadi...bagaimana dia boleh ‘bercium molot’ dengan Kit Siang.
Hadi juga terpedaya dengan Anwar yang tidak lagi memperjuangkan Islam tetapi kebangsaan apabila membela orang India dan Cina. Lebih sayangkan mereka daripada Melayu.

Oppsss...jangan sebut Melayu nanti Asobiyah, sebut Cina, India atau Hindu tidak apa depan Hadi dan Anwar.

Presiden PAS dalam penegasannya bimbang peranan yang dimainkan oleh media arus perdana boleh mengancam kestabilan dan kemuafakatan parti-parti dalam Pakatan Rakyat sekiranya perkara ini tidak dapat dibendung dengan segera.

Selama ini media pembangkang dengan sokong blogers dan laman web yang menipu, mencerca serta menghasut tidakkah perlu dibendung dengan segera?

Sementara itu, Ketua Umum KeADILan menyifatkan media arus perdana bertindak 'kasar' dengan melaporkan isu-isu sensitif yang boleh mencetuskan perbalahan kaum dan agama seperti yang berlaku ke atas exco kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, Teresa Kok dan Ronnie Liu serta editor Malaysia-today, Raja Petra Kamaruddin.

Amboi Anwar, Tereka Kok yang tidak mahu azan dan sukakan babi, Raja Petra yang dikatakan sesat lagi menyesatkan itu dibela habis-habisan.

"Media sekarang ini mainkan isu perkauman. Bangkitkan isu agama. Seolah-olah terdapat pergeseran dikalangan pemimpin Pakatan Rakyat dan ini amat merbahaya," tegas Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Justeru itu, ketiga-tiga pemimpin mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan laporan-laporan berniat 'jahat' yang disiarkan oleh media cetak dan elektronik yang dikuasai Umno/BN.

Pada majlis itu, hampir semua ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat hadir bersama beberapa pemimpin PAS, KeADILan dan DAP.

Siapa yang jahat antara yang mempertahankan kerajaan yang dipilih oleh majority rakyat dengan meletakkan Islam Sebagai Agama Rasmi dan penerapan dasar Islam atau Pakatan Rakyat yang berunsur sosialis dan keagamaan melampau oleh Pas?

Wahai Hadi, cepat-cepatlah lari dari Anwar sebelum anda juga terpesong....

Wednesday, November 19, 2008

MAHFUZ SEPATUTNYA BIMBANG NASIB PAS

Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar semalam menyeru ahli dan perwakilan Umno memboikot pemilihan jawatan parti itu Mac ini berikutan barah rasuah yang berlaku dalam pencalonan.

Mahfuz buat-buat terkejut dengan pendedahan Pengerusi Perhubungan Umno Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob bahawa lebih 900 aduan kes rasuah diterima setakat ini.

Menurut Mahfuz, ini senario paling parah dalam sejarah Umn dan ini yang dilaporkan yang tidak dilaporkan kita tidak tahun berapa banyak lagi, dan ia mungkin melibatkan jutaan wang," katanya ketika mengulas isu rasuah dalam pemilihan Umno yang kini semakin mendapat perhatian media.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena juga melahirkan kebimbangan dengan senario rasuah yang membarah dalam Umno ini kerana pemimpin yang bakal dipilih adalah kalangan mereka yang menang dengan rasuah.

Amboi-amboi sedapnya mulut Mahfuz.

Jangan jaga tepi kain orang.

Baru sahaja menang sedikit dan kerajaan Pakatan Rakyat dapat memerintah lima negeri – Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan – Mahfuz sudah angkuh.

Lupakah Mahfuz bahawa ketika tidak menjadi wakil rakyat, dia juga pernah terima duit daripada rakan dalam UMNO.

Tidakkah Mahfuz terfikir bahawa menerima wang daripada ‘kawan dari parti lawan’ juga berupa rasuah? Setidak-tidaknya dia tidak mengkritik kawannya itu walaupun tahu kesalahan yang dilakukan.

Biar berapa banyak aduan diterima, selagi Lembaga Disiplin tidak memutuskan siapa bersalah atau sebaliknya jangan cepat menghukum.

Mahfuz pun tahu bahawa rasuah boleh jadi dengan sogokan wang atau janji-janji kuasa atau projek oleh seseorang wakil kepada calon.

Lihat dalam Pas terlebih dahulu. Apakah Pas tidak merasuah rakyat dengan janji-janji yang banyak tidak dapat ditunaikan.

Apakah bukan suatu dosa bagi parti dan pemimpin Pas jika janji tidak dapat ditunaikan?

Kalau pun ada berlaku perbuatan politik wang, ia tidak semua peringkat dan semua pemimpin. Jangan kerana sebilangan kecil pemimpin yang mungkin bermain politik wang, seluruh UMNO mahu dipersalahkan.

Mahfuz jangan pandai membuat serkap jarang yang berbagai mengenai jawatan Timbalan Presiden Umno.

Dengan mendakwa kemungkinan Najib dan Abdullah terpaksa meletakkan calon yang boleh dipercayai iaitu Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Mohd Taib kerana tidak percayakan Tan Sri Muhyiddin Yasin adalah tuduhan tidak adil dan serangan peribadi terhadap Muhyiddin.

Bagaimana Mahfuz tahu yang Muhyiddin bukan menjadi pilihan kepada dua pemimpin utama Umno masa kini?

Jangan menjadi pengadu domba jika kita mendabik dada sebagai pemimpin Islam.

Cara melaga-lagakan pemimpin UMNO bukan mendatangkan kebaikan kepada sesiapa.

Pernahkan ada tanda-tanda bahawa Muhyiddin, jika ditakdirkan menjadi orang nombor dua akan menjadi tekanan kepada Datuk Seri Mohd Najib Razak?

Najib memerlukan pembantunya yang kuat untuk menumbangkan parti pembangkang termasuk di Kedah dan empat negeri lain. Oleh kerana perwakilan yang akan menentukan siapa yang mereka mahu, Najib perlu menghormati keputusan parti.

Jadi terpulanglah kepada ketiga-tiga calon itu untuk menonjolkan diri mereka dengan kelebihan yang ada pada diri mereka untuk layak menjadi orang nombor dua kepada Najib.

Dalam konteks ini Mahfuz tidak ada kena mengena, malah pemimpin UMNO tidak hairan dengan beliau kerana dalam parti Pas sendiri pun Mahfuz tidak dapat memenangi jawatan melalui pertandingan.

Ketua Penerangan adalah jawatan anugerah dan Mahfuz sepatutnya ‘cermin diri’ kerana pada kedudukan apa beliau berada sekarang.

Dengan cuba mengadu-domba pemimpin UMNO dan bermain politik murahan, Mahfuz tidak akan terjamin tempatnya dalam kepimpinan Pas.

Malah jika tersilap langkah Mahfuz akan semakin ketinggalan perahu kerana pesaing-pesaingannya lebih bijak dalam membuat ulasan dan analisis mengenai kepimpinan UMNO.

Mereka tidak mengadu-domba sebaliknya cuba melihat lebih jauh dengan kemungkinan-kemungkinan apa akan jadi kepada Pas dan Pakatan Rakyat jika Najib bergandingan dengan Muhyiddin berbanding gandingan Najib-Mohd Ali atau Najib-Muhammad Taib.

Itu sepatutnya difikirkan Mahfuz.

Adalah baik dan lebih penting bagi Mahfuz memikirkan cara mempertahankan Pas memerintah di lima negeri daripada membicarakan rasuah politik dalam UMNO.

TIAN CHUA MAIN CINTA DI TAIWAN?

Orang pergi Taiwan dia ikut ke Taiwan.

Pada 12 September lalu, lima anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diketuai Ketua Publisitinya, Tian Chua, berlepas ke Taipei, Taiwan dalam usaha 'menemui' anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) yang kini dalam rangka lawatan mempelajari kemajuan pertanian di sana.

Ini ekoran keputusan 49 anggota BN untuk ke Taiwan selama seminggu bagi mempelajari kemajuan pertanian di sana yang dijadual berakhir pada 19 September, iaitu tiga hari selepas tarikh 16 September, di mana Anwar telah mengisytiharkan untuk membentuk kerajaan baru Persekutuan.

Anggota lain dalam lawatan itu ialah EXCO Selangor, Elizabeth Wong, anggota Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang juga Timbalan Ketua Biro Pilihan Raya, anggota Parlimen Machang, Saifuddin Nasution yang juga Pengarah Strategik Parti serta anggota Majlis Tertinggi, Low Chee Cheong.

Keesokan harinya (13 September 2008), ahli-ahli Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) berkata mereka tidak berjumpa atau terserempak dengan mana-mana pemimpin pakatan pembangkang termasuk Tian Chua di Taiwan.

Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz.Beliau berkata, ahli-ahli BNBBC yang mengikuti rombongan teknologi pertanian di Taiwan sibuk dengan aktiviti harian sehingga tiada masa terluang untuk berjumpa dengan sesiapa.

Padan la Mohamad Aziz tidak jumpa mereka rupa-rupanya ada kejadian yang tidak disangka dan tujuan Tian Chua ke Taiwan pula bermaksud ‘ada udang di sebalik maggie’.

Tian Chua ke Taiwan bukan nak kejar Ahli Parlimen BN. Dia ke sana bermain cinta.

Tapi dengan siapa?

Siapa lagi, tentulah Elizabeth Wong tak kan pula Fauziah Salleh.

Mereka dikatakan intim ketika menginap hotel tempat di mana ahli-ahli PKR menginap.

Menurut MasterDedah (http://www.masterdedah.com), rupa-rupanya dalam diam-diam Tian Chua dan Elizabeth Wong bermain cinta.

Hai jadi anak dara ‘tak laku’lah Elizabeth Wong, seperti juga Teresa Kok, kata MasterDedah.

Saturday, November 15, 2008

UTAMAKAN KEMAMPUAN ORANG MELAYU

Orang Melayu dan Bumiputera lain di Kedah dan mungkin juga di negeri lain perlu sedar dan malu kepada diri sendiri.

Apabila pemimpin MCA Kedah berkata dengan kuota yang ditetapkan sebanyak 30 peratus pun rumah-rumah yang dibina tidak mampu dibeli oleh Melayu dan Bumiputera.
Inikan pula kalau 50 peratus, tegasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun dari MCA, Dr Leong Yong Kong kelmarin mengingatkan Kerajaan Negeri Kedah bahawa langkah kerajaan negeri mahu memperkenalkan kuota 50 peratus dibimbangi akan menjejaskan industri perumahan dan yang berkaitan dengannya di negeri itu kerana ia akan menjejas teruk ekonomi di negeri itu.

Beliau dilaporkan berkata syarat baru itu akan menyebabkan pemaju swasta tidak berminat untuk melaksanakan projek perumahan baru.

Malah, kata Dr Leong, dengan kuota 30 peratus sekarang pun, pemaju perumahan menghadapi masalah untuk menjual unit yang dibina.

Beliau menyarankan agar kerajaan negeri menjalankan kajian untuk mengetahui mengapa orang Melayu tidak boleh membeli rumah atau rumah kedai yang dibina oleh pemaju perumahan swasta.

Sedikit positif dalam kenyataan Dr Leong ialah kerajaan negeri perlu mencari penyelesaian untuk membantu mereka dan bukannya meningkatkan kuota perumahan tersebut.
Persoalan juga ialah dalam memperkatakan kuota ini, siapakah yang diutamakan, sama ada pemaju atau pembeli?

Persoalan juga ialah, apakah rumah dan rumah kedai itu pada harga yang mampu dibeli atau sengaja di bina rumah mahal dengan tujuan menjual kepada kaum tertentu sahaja atau juga pembeli dari luar negara?

Bagi saya apa yang diumumkan oleh Menteri Besar Kedah, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak adalah ikhlas dan berniat baik. Belum ada negeri, termasuk di bawah Barisan Nasional (BN) yang berani melakukan demikian.

Dasar itu diperkenalkan untuk memastikan Bumiputera yang membentuk 80 peratus daripada kira-kira dua juta penduduk Kedah tidak terpinggir daripada memiliki rumah mampu milik.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan mengeluarkan kertas putih mengenai dasar itu untuk memberi penjelasan kepada semua pihak.

Kelantan yang sudah diperintah oleh PAS dengan majority penduduk adalah Melayu dan Bumiputera lain pun takut untuk mengumumkan dasar sedemikian.

Oktober lalu, kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah telah meningkatkan kuota tersebut dari 30 peratus kepada 50 peratus, berkuatkuasa 1 September lalu bagi projek perumahan baru di negeri itu.

Azizan dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan meminta syarikat-syarikat kaitan kerajaan supaya membina rumah yang mampu dibeli rakyat Kedah, sekiranya pemaju swasta tidak bersedia berbuat demikian.

Pengumuman menjadi kontroversi dan dikritik pemimpin Cina sama ada dalam BN atau Pakatan Rakyat (PR).

Ahli Jawatankuasa Pusat (CEC) DAP, Teng Chang Kim, dikatakan menyokong Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tunggal DAP di Kedah, Lee Guan Aik yang mahu mahu meninggalkan PR dan menjadi pembangkang di Kedah jika Kerajaan Pas Kedah meneruskan dasar itu.
Teng dilaporkan berkata, ahli CEC DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, juga bersetuju jika Lee mahu bertindak demikian.

Azizan sebaliknya berkata tindakan ugut-mengugut itu tidak akan menguntungkan kerajaan PR.

"Kalau di Selangor dan Perak pula Pas ugut untuk keluar (PR), apa mereka akan kata. Saya tidak suka orang ugut saya. Janganlah ugut, biar Kedah selesaikan masalah kita sendiri," katanya.

Malah katanya, terpulang kepada DAP untuk keluar daripada PR di negeri ini jika tidak bersetuju dengan dasar baru pemilikan rumah iaitu kuota Bumiputera dinaikkan daripada 30 kepada 50 peratus di semua projek perumahan.

Beliau juga membidas tindakan pemimpin DAP dari luar Kedah yang campur tangan dalam isu itu sedangkan ia dipersetujui oleh
"Mengapa (pemimpin DAP) Selangor hendak datang sini (masuk campur), ini urusan Kedah dan biarlah kita selesaikan masalah kita... Jangan sibuk hal orang lain," katanya.

Apa yang ditekankan oleh Kerajaan Pas Kedah adalah realiti berasaskan kemampuan sebenar orang Melayu dan Bumiputera lain di negeri itu?

Soal penting di sini ialah keutamaan ialah membina rumah mampu milik bukannya rumah mahal dan rumah kedai yang memang diluar jangkauan orang Melayu dan Bumiputera lain.
Bagi parti-parti bukan Melayu, mereka melihat dalam konteks kepentingan pemaju sedangkan Azizan mahu memperkenalkan dasar ini demi menjamin penduduk Kedah tidak terpinggir daripada memiliki rumah mampu milik.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang, semalam berkata kontroversi mengenai kuota perumahan 50 peratus bagi bumiputera di Kedah telah selesai.

"Saya telah membangkitkan isu itu dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Parlimen semalam dan saya difahamkan bahawa tiada perubahan dalam peratusan kuota perumahan di negeri itu.

"Diharapkan, perkara ini boleh diperjelas dan diselesaikan tanpa memanjangkan lagi kontroversi tersebut" tambahnya dalam satu kenyataan.

Lim juga berkata beliau bersedia untuk menemui Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak di Alor Star berhubung perkara itu.

Yang diharapkan Azizan tidak akan berpatah balik hanya kerana didesak oleh DAP dan parti Cina lain, sedangkan masalah orang Melayu di Kedah untuk membeli rumah berlarutan sekian lama.

Orang Melayu, khususnya ahli UMNO patut menyokong dasar itu!

Tuesday, November 11, 2008

YAHYA KHATIB MB PILIHAN PAKATAN RAKYAT?

Amboi-amboi Harakahdaily.net, portal berita parti Islam.

Bukan main lagi menjadi pengadu domba melalui artikel ‘Krisis Umno Terengganu : Yahya Khatib vs Ahmad Said’ oleh Safar Jumaat, hari ini.

Mana ciri-ciri Islamnya jika asyik ‘nak mengenakan orang sahaja’. Matlamat ialah melagakan orang dengan harapan dapat untung.

Seburuk-buruk pemimpin UMNO, mereka tetap bermaaf-maafan akhirnya seperti antara Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Ahmad Said.

Apa jenis ‘suara Islam’ Harakahdaily.net ini?

Matlamatnya satu – kucar-kacirkan UMNO Terengganu dan menjanjikan Yahya Khatib Mohamad menjadi Menteri Besar Terengganu jika Pakatan Rakyat memerintah negeri itu.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang letak di mana? Atau pemimpin muda PAS Terengganu yang lain tidak mahu diberi peluang?

Sanggupkah PAS melantik ‘orang tidak setia’ jika benar Yahya Khatib mahu melompat. Tidak habis-habis cerita katak!

Kata portal berita PAS itu, kalau Yahya ada keberanian, sama dengan keberanian dia menentang Rahman walaupun dilarang oleh Menteri Besar, mulakan satu langkah 'paling drastik' supaya Ahmad boleh dikejutkan dari lenanya yang panjang.

Katanya: “...sekiranya Yahya Khatib berani bertindak, dia bakal menjadi satu lagi figur besar dalam politik Terengganu, yang merupakan negeri Pantai Timur yang pernah melahirkan nama-nama besar dalam politik negara, antaranya Tan Sri Wan Mokhtar Mohamad, Dato' Zubir Embong, Allahyarham Dato' Abu Bakar Daud, Dato' Dr Tengku Mahmud Mansor dan Dato' Ibrahim Azmi Hassan.

Namun, senarai nama-nama itu, hanya hanyut bersama-sama gelora musim tengkujuh yang tidak meninggalkan sebarang bekas kepada politik Terengganu, kerana mereka tidak mempunyai keberanian seperti keberanian Dato' Zakaria Abdul Rahman dan Dato' Abd Manan Osman yang pernah menjadi Menteri Pertanian dan kemudian meninggalkan Umno kerana menyertai Parti Melayu Semangat 46.

Dengan sikap adu dombanya, harakahdaily.net menyebut, lebih hebat jika Yahya Khatib bertindak pro aktif dengan meninggalkan Umno sebelum dia dipecat.

Ia berseru : “Lepaskanlah jawatan Exco yang menjadi kegilaan ramai orang, kerana jika kena perhitungannya, tidak mustahil Yahya Khatib bukan sahaja boleh kembali menjadi Exco kalah Pakatan Rakyat mampu memenangi Pilihan Raya Umum 13 akan datang, malahan, tidak mustahil dialah Menteri Besar pertama dari kalangan PKR atau DAP di Terengganu, jika dia tidak kekal dalam Umno yang sudah mula mahu menghinanya.

Dalam politik Umno, Yahya Khatib boleh melihat bagaimana Susilo Bambang Yudoyoeno (SBY) akhirnya menjadi Presiden Indonesia setelah berundur selangkah ke belakang dari kabinet Megawati.

SBY bukan sahaja menjadi Presiden kesan tekanan sebaliknya mengalahkan Megawati yang dikatakan mendapat sokongan kuat dari rakyat Indonesia.”

Kesian sungguh dengan PAS, nampak sangat ia terdesak dia gila untuk kembali berkuasa di Terengganu.

Sunday, November 9, 2008

KALAH JE TINGGAL UMNO?

Amboi mudahnya ajak orang tinggalkan UMNO!

WFauzdin NS pada 3 November lalu melalui sebuah laman web pro-pembangkang berkata masanya sudah tiba untuk Kuli (Tengku Razaleigh Hamzah) dan Rais Yatim (Datuk Seri Rais Yatim) meninggalkan UMNO.

Beliau membuat ajakan itu selepas membaca pendedahan dan pengakuan yang dibuat oleh Ku Li bahawa sebanyak RM 2 juta diperlukan bagi mendapatkan pencalonon jawatan tertinggi di dalam UMNO, yang katanya sedikit pun tidak memeranjatkan sesiapa sahaja lebih-lebih lagi orang-orang UMNO sendiri.

Kata penulis berkenaan, rasuah di dalam UMNO tidak pernah dapat diubati, cuma rasuah itu berlaku di sekitaran berapa jumlah yang diberi dan kepada siapa untuk diberi. Nilai rasuah adalah terletak kepada jawatan yang ingin ditandingi. Justeru itu, tiada silap dan salahnya kalau Rais Yatim pernah berseloroh untuk diadakan tender bagi pemilihan UMNO.

Amatlah malang sekali setelah Ku Li dan Rais Yatim sedar dan mengetahui bahawa penyakit rasuah ini tidak dapat diubati setelah sekian lamanya, tetapi mereka berdua masih sama-sama setia berada di dalamnya.

Katanya, kedua-dua tokoh senior UMNO ini telah banyak membebel dan berleter tentang rasuah di dalam UMNO tetapi siapa yang mahu mendengar leteran orang tua seperti mereka? Saya pelik bila memikirkan mengapa Ku Li dan Rais Yatim begitu setia dengan UMNO yang terlalu banyak meminggirkannya.

Yang pasti dan WFauzdin NS sedar ialah, Ku Li sudah tewas dan tiada peluang untuknya bangkit melalui sistem pemilihan UMNO sekarang. Kesian, hanya dapat satu undi sahaja.

Rais pula masih terkial-kial untuk cukup pencalonan dan baru mengumpul kira-kira 20 pencalonan dan tinggal sehari lagi, iaitu hari ini membuat pencalonan, dengan harapan beliau dapat mengumpul 39 pencalonan untuk membolehkan beliau bertanding.

Tetapi sekiranya kedua-duanya tidak terpilih, apakah mahu disalahkan politik wang atau ahli UMNO di peringkat bahagian.

Hairan sungguh pendapat WFauzdin NS apabila berkata “Saya ingin tahu apakah sebenarnya yang membuatkan Ku Li dan Rais Yatim terlalu berat hatinya untuk keluar dari UMNO dan menyertai mana-mana parti dari Pakatan Rakyat? Jika dahulu kedua-dua mereka ini pernah keluar dari UMNO dan menubuhkan Parti S46 serta bekerjasama pula dengan PAS dan DAP, mengapa kali ini tidak?”

Tanya beliau: “Adakah kerana UMNO kelihatan semakin baik atau telah memberi peluang kepada mereka untuk memperbaiki UMNO? Pelik dan ajaib, ketika masih ramai yang menyokong UMNO dahulu, kedua-dua tokoh ini keluar dan menubuhkan parti baru, tiba-tiba disaat UMNO bukan sahaja semakin ditolak oleh orang-orang Melayu bahkan dipandang sebelah mata oleh rakan-rakan seperti MCA, Gerakan dan MIC, Ku Li dan Rais masih ingin berpaut pada UMNO.

Kedua-dua negeri tokoh lama UMNO ini pun telah subur dengan pembangkang lebih-lebih lagi di Kelantan. Di Negeri Sembilan, negeri Rais Yatim pun kini dalam keadaan nyawa-nyawa ikan. Alangkah bertuahnya kedua-dua negeri ini sekiranya kedua-dua tokoh UMNO yang berpengalaman luas ini kembali bersama bersatu hati dengan rakyat negeri masing-masing?”

Bagaikan lagak seorang pemimpin, WFauzdin NS percaya dan penuh yakin, Pakatan Rakyat sudah tentunya akan memberi ruang seluas-luasnya kepada Ku Li dan Rais Yatim atau sesiapa sahaja yang telah merasakan UMNO/BN bukan lagi berjuang untuk rakyat.

Pakatan Rakyat pastinya sedia memberikan peranan kepada kedua-dua tokoh ini untuk memberikan idea dan cadangan demi kesejahteraan rakyat. Sehubungan itu, kita menyeru kepada kedua-dua tokoh UMNO ini untuk kembali ke pangkuan rakyat dan buktikan kepada UMNO bahawa mereka mampu memberi kesejahteraan kepada rakyat tanpa berada di dalam parti yang semakin pupus ini.

Pertanyaan ialah, apakah Pas atau PKR parti melonggokkan mereka yang ‘lari meninggalkan UMNO’?

Apakah kedua-dua parti ini boleh subur dengan kedua pemimpin ini? Rekod menunjukkan kedua-duanya tidak setia kepada perjuangan apabila dari UMNO tubuhkan S-46 dan tinggalkan Gagasan Rakyat untuk kembali kepada UMNO.

Tidakkan kerana sikap mereka itu antara punca orang UMNO tidak mahu melantik mereka ke jawatan tinggi.

Jangan lupa, Ku Li beranggapan beliau hanya layak jawatan Perdana Menteri dan Rais Yatim memang berkebolehan tetapi jawatan yang dikecapinya sekarang kerana anugerah bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang berterima kasih kepada kembalinya mereka ke dalam UMNO.

Jadi kalau masuk Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Datuk Seri Hadi Awang akan memberikan laluan mudah untuknya?

Itu pun WFauzdin NS tak faham?

APA LAGI HUSAM?

Asyik bangkang dan bantah. Ada sahaja yang tidak kena dengan Kerajaan Pusat.

Kata Datuk Husam Musa, rakyat di negara ini sebenarnya tidak mendapat gambaran sebenar mengenai keadaan ekonomi negara biarpun kerajaan pusat berbangga dengan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

Naib Presiden Pas, itu berkata, kerajaan pusat hari ini mengeluarkan pelbagai kenyataan yang mendakwa keteguhan ekonomi negara, sedangkan gambaran sebenar mengenai kedudukan ekonomi negara tidak diberikan secara jelas.

“Sebenarnya apa yang berlaku adalah sebaliknya yang mana negara sedang menghadapi krisis ekonomi dunia akibat kegawatan yang kronik. Sebelum ini pernah berlaku pinjaman bank tidak berbayar setelah berlakunya krisis ekonomi pada 1978 - 1979, di mana pada ketika itu pasaran saham jatuh merudum.

“Sekarang fenomena itu berlaku lagi di mana pasaran saham menjadi tidak menentu,” katanya seperti dilaporan Sinar Harian.

Apabaila Najib mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion Selasa lalu ia adalah usaha mengukuhkan lagi daya tahan negara dan mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi bagi menghadapi persekitaran global yang semakin mencabar.

Dengan kata lain, dalam penuh kesedaran kedudukan ekonomi negara ketika ini, pakej diperkenalkan semasa penggulungan Bajet 2009 di Parlimen.

Langkah kerajaan ialah mewujudkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion dalam Bajet 2009 adalah satu bentuk intervensi yang perlu dilakukan untuk mengelak kegawatan ekonomi.

Hakikatnya pakej itu akan mempercepatkan usaha membasmi kemiskinan tegar menjelang tahun 2010.

Ia adalah langkah wajar dalam menstabilkan ekonomi negara dengan usaha tersebut dilihat bercorak rangsangan ekonomi secara domestik.

Usaha tersebut dilihat mampu meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat dan membantu mengurangkan beban perbelanjaan yang kian meningkat.

Usaha pihak pembangkang yang ingin mengurangkan peruntukan Bajet 2009 sebanyak RM24 bilion merupakan satu usaha fiskal menguncup yang akhirnya akan membawa kepada permintaan domestik yang menguncup dan hal ini mungkin akan membuatkan rakyat makin tertekan dengan ekonomi domestik yang terhad.

Sememangnya idea pihak pembangkang adalah ingin memantau kadar defisit negara selaras dengan penurunan nilai ringgit, namun, strategi kerajaan dilihat lebih bijak kerana pembiayaan yang dilakukan melalui sumber domestik dan usaha tersebut lebih dekat dalam meningkatkan kebajikan rakyat. Sebagai pengeluar dan peniaga, sikap amanah dan bertimbang rasa perlu ada dalam menjalankan kegiatan ekonomi mereka.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, selain daripada itu tindakan memajukan kampung dan menambah baik kehidupan penduduk desa akan dilakukan dengan lebih cepat melalui dana tersebut.

''Pengumuman berkenaan akan membolehkan 15,000 keluarga miskin tegar memiliki rumah sendiri dan 74 projek jalan luar bandar disiapkan.

''Jalan kampung sepanjang 1,600 kilometer juga akan dibina di seluruh negara,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Muhammad, pengumuman berkenaan membawa kesan besar kepada pembangunan luar bandar kerana daripada RM7 bilion itu kira-kira RM2 bilion akan disalurkan ke luar bandar sama ada secara langsung atau tidak langsung.

''Antara pembangunan luar bandar yang dimaksudkan ialah pembangunan infrastruktur, program perumahan, program pendidikan awal kanak-kanak di Tabika atau Taska luar bandar dan langkah-langkah memperkasakan program sahsiah remaja,'' katanya.

Tambah Muhammad, dana berkenaan akan menyelesaikan hampir 90 peratus daripada keperluan rumah keluarga miskin tegar yang akan dibina di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Perdana Menteri sendiri mengakui pakej RM7 bilion itu adalah langkah terbaik yang difikirkan kerajaan mengambil kira senario kemelesetan ekonomi global masa ini.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badwi berkata krisis ekonomi 1997 memerlukan tindakan berbentuk mengikat ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS) pada nilai tertentu tetapi krisis kali ini memerlukan intervensi dari segi pakej rangsangan.

Tambah Abdullah, walaupun asas ekonomi negara kukuh, tetapi campur tangan bagi mengelakkan kesan buruk ekonomi global daripada menyerap ke dalam asas itu perlu dilakukan.
"Dalam situasi seperti ini, kerajaan mesti ambil peranan untuk melaksanakan langkah-langkah terbaik bagi melindungi ekonomi kita daripada terjejas," katanya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula semalam berkata pertumbuhan semasa ekonomi sejagat yang perlahan menyediakan peluang kepada sektor swasta dan awam untuk saling berkerjasama membentuk formula dan melaksanakan strategi bagi menghadapi cabaran yang mendatang.

Katanya, kerajaan akan terus mengambil langkah ke arah peningkatan persekitaran perniagaan.
Bagi sektor swasta pula, kata beliau, adalah penting kedua-dua sektor berkenaan dan peneraju perniagaan mengadaptasikan kedudukan strategik bagi mengemudi perniagaan masing-masing mengharungi kemelesetan.

Friday, November 7, 2008

BEKAS HAKIM BUKAN DIPECAT?

Bertuahnya mereka, dapat ex-gratia dan pencen. Itulah nasib enam hakim yang sebelum ini heboh dikatakan dipecat.

Ternyata mereka bukan dipecat tetapi ditamatkan perkhidmatan lebih awal dan layak mendapat pencen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mengotakan jaminan mendapatkan maklumat terperinci mengenai jumlah sebenar pembayaran ex-gratia kepada enam bekas hakim yang dikatakan dipecat pada 1988.

Pembayaran ex-gratia itu dibuat sebagai menghargai sumbangan bekas hakim-hakim berkenaan yang terlibat dalam krisis kehakiman dan merupakan langkah kerajaan memulihkan semula kewibawaan badan kehakiman.

Ex-gratia tersebut telah diserahkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim pada Jun lalu kepada hakim-hakim terlibat.

Bagaimanapun Zaid enggan mendedahkan jumlahnya atas alasan permintaan oleh hakim berkenaan sendiri. Zaid meletakkan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 15 September lalu.

Pembayaran ex-gratia berkenaan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada April lepas sebagai menghargai sumbangan besar kepada bekas hakim yang ‘dipecat ‘dalam krisis kehakiman bagi memulihkan semula kewibawaan badan kehakiman yang tercemar sejak 20 tahun lalu.

Nazri mengumumkan semalam bahawa kerajaan telah membayar ex-gratia berjumlah RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan lima lagi bekas hakim kanan yang terlibat dalam krisis kehakiman, 20 tahun lalu.

Nazri menjelaskan, bekas hakim-hakim itu telah ditamatkan perkhidmatan lebih awal seperti saranan panel yang telah bersidang berhubung kes tersebut dan bukan dipecat oleh kerajaan.

“Sekiranya bekas hakim-hakim itu dipecat mereka tidak layak mendapat pencen tetapi kerana telah ditamatkan perkhidmatan, maka mereka layak dibayar pencen mengikut Akta Pencen,” katanya.

Kenyataan Nazri bahawa hakim bukan dipecat sudah pasti mengundang tanda-tanya kerana sebelum ini dihebohkan bahawa mereka dipecat.

Yang menjadi sasaran teruk ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan beliaulah punca hakim-hakim berkenaan dipecat.

Salleh menerima bayaran tertinggi dengan RM5 juta, Tan Sri Azmi Kamaruddin (RM2 juta), Tan Sri George Edward Seah Kim Seng (RM2 juta) manakala Tan Sri Wan Hamzah Mohd. Salleh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer dan Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh masing-masing mendapat RM500,000.

Nazri membuat pengumuman itu ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Bajet 2009 bagi Jabatan Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Kata Nazri: ‘‘Saya pegang apa yang dikatakan sebelum ini bahawa kerajaan bersedia untuk menubuhkan sebuah panel lain untuk menilai kes bekas hakim-hakim tersebut sekiranya terdapat bukti-bukti baru, tetapi pada masa ini tidak ada maka tidak perlu kerajaan tubuhkan panel baru,” katanya.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong sebelum ini telah mendesak kerajaan supaya mendedahkan jumlah pembayaran ex-gratia itu yang diumumkan pemberiannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada April lalu.

Mohamed Nazri berkata, bayaran itu bukanlah jumlah yang sesuai kerana ia melibatkan harga diri dan maruah bekas hakim-hakim berkenaan.

‘‘Kerajaan tidak pernah mempertikaikan bayaran yang dibuat kepada bekas-bekas hakim itu tetapi Ahli Parlimen Wangsa Maju (Wee Choo Keong, PKR-Wangsa Maju) yang mempertikaikan jumlah bayaran tersebut.

‘‘Sebenarnya kita tidak boleh meletak berapa harga yang sebenarnya patut dibayar sebab ia soal harga diri, mana boleh letak harga, tetapi kita bayar dan anggap jumlah tersebut sesuai,” jelasnya.

Nazri menjawab celahan N. Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) yang menyatakan bayaran itu terlalu rendah berbanding jawatan Salleh yang merupakan Ketua Hakim Negara adalah satu jawatan lebih penting daripada Perdana Menteri.

Jawapan Nazri itu dibantah keras oleh Choo Keong yang turut mencelah dengan menyatakan ia adalah terlalu tinggi memandangkan bekas hakim-hakim itu menerima bayaran pencen.

‘‘Apa yang dikatakan oleh Choo Keong itu mempertikaikan jumlah bayaran. Gobalakrisnan menyatakan terlalu rendah dan Ahli Parlimen Wangsa Maju pula menyatakan terlalu tinggi, jadi tidak ada kesepakatan dalam jumlah bayaran yang harus diberikan, maka tindakan kerajaan adalah betul,” katanya.

Beliau berkata, lima bekas hakim itu turut menerima pencen bulanan iaitu Salleh sebanyak RM5,102.16, Wan Suleiman (RM4,815), George Seah (RM5,916.90) Eusoffe (RM4,815), Wan Hamzah (RM6,508.59) dan Azmi (RM5,916.90).
Nazri menambah, apa jua bentuk bayaran kepada bekas hakim-hakim itu, ia tidak bermaksud bahawa kerajaan bersalah.

Pada 29 Oktober lalu, Nazri yang baru mengambilalih portfolio perundangan, berkata beliau tidak mengetahui butiran lengkap mengenai jumlah pembayaran itu kerana pengiraan dibuat oleh Setiausaha Kabinet dan bahagian pencen.

Biarpun diasak beberapa wakil pembangkang yang membangkitkan perkara berkenaan seperti dari Ipoh Timur, Pokok Sena, Subang, Kubang Kerian, Balik Pulau dan Wangsa Maju, beliau tetap dengan jawapannya.

Malah beliau turut menyuruh Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju) agar mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya memecatnya kerana tidak tahu jawapan kepada soalan itu.