Thursday, October 23, 2008

MUSA HANYA BOLEH ‘MENYALAK’

Amboi, amboi bila mengata orang UMNO, Tun Musa Hitam bagai lupa apa yang beliau lakukan pada 1980-an.

Bekas Timbalan Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri itu berkata anggota Umno kini sibuk berebut kuasa untuk kepentingan diri sedangkan yang sepatutnya mereka fikirkan ialah masalah rakyat dan cara bagi mengatasinya.

Tidak adil untuk menuduh semua calon yang bertanding sebagai mereka yang mementingkan diri semata-mata.Lagipun semua tahu kedudukan penting dalam parti akan membolehkan seseorang mendapatkan kedudukan bagi berbakti kepada rakyat.

Seperti Musa sendiri, apabila tiada jawatan dalam parti, beliau hanya boleh ‘menyalak’ tetapi apa sumbangan beliau kepada UMNO sejak 1988? Asyik tegur sana tegur sini dan nasib baiklah juga ketika rejim Abdullah Badawi ini beliau diberikan kedudukan baik sikit. Pertanyaan kita ialah untuk apa Musa bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden dan kemudian mempertahankannya?

Dan untuk apa beliau menyokong Tengku Razaleigh Hamzah menentang Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga menyebabkan UMNO diharamkan? Apakah Musa melakukan itu semua demi rakyat atau kepentingan diri sambil membalas dendam?

Mungkin Musa boleh membohongi generasi muda sekarang tetapi sejarah tidak boleh dipadam begitu sahaja. Biarpun kita menolak pendapat beliau dalam konteks tujuan pertandingan tetapi pendapatnya bahawa generasi muda diperlukan bagi membantu memulihkan semula penyakit tua Umno yang kini sudah menginjak usia 61 tahun, wajar difikirkan.

Menurut Musa, penyakit tua Umno kini tidak boleh lagi dibaiki atau dirawat golongan tua kerana Umno kini memerlukan muka baru yang lebih muda untuk mengembalikan semula Umno serta keyakinan rakyat terhadap parti itu.

"Penyakit tua ini tidak boleh diperbaiki oleh orang tua-tua, jadi maksud saya mereka yang hendak bertanding pada pemilihan Umno Mac depan, yang ingin memegang jawatan-jawatan tertinggi haruslah terdiri daripada golongan muda yang mempunyai idea-idea yang baru," katanya semalam.

Biarpun ramai yang beranggapan untuk memulihkan Umno, kombinasi antara generasi tua dan muda merupakan satu tindakan yang bijak, namun Musa berpendapat dalam keadaan Umno yang sudah berusia 61 tahun adalah lebih baik generasi muda mengambil alih parti itu sepenuhnya.

Musa berkata Umno harus sedar bahawa sokongan rakyat terhadap parti itu kini telah menurun berikutan isu-isu yang ada kaitan dengan persepsi rakyat.
"Persepsi rakyat ialah Umno begitu lama berkuasa dan pada pendapat mereka dari hasil pilihan raya Mac lalu, ada kelemahan-kelemahan yang begitu serius yang Umno tidak dapat mengatasinya termasuk isu rasuah dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata generasi kini merupakan orang terpelajar yang boleh berfikir dan tidak mahu lagi menerima amalan rasuah serta mendambakan akauntabiliti serta kredibiliti yang baik pada seorang pemimpin.

"Orang sekarang bukan seperti dahulu, macam zaman saya, kini kebanyakan masyarakat, orang terpelajar yang tidak mahu amalan rasuah, apa juga yang diperkatakan oleh pemimpin-pemimpin jika pemimpin tersebut tidak ada kredibiliti, jika imej mereka tidak diterima maka apa jua yang diperkatakan pemimpin itu tidak mahu mereka terima," katanya.

No comments: