Monday, October 13, 2008

GERAKAN DIHERDIK, DIPIJAK OLEH UMNO?

Aduh...aduh pedihnya apabila Timbalan Menteri Penerangan mempertikaikan status penduduk asal negara ini dengan mendakwa kaum Melayu juga pendatang seperti Cina dan India, manakala penduduk asal negara ini hanya Orang Asli.

Ketika berucap pada satu majlis secara terbuka, Datuk Tan Lian Hoe mengajak ahli parti itu keluar daripada bayangan Umno.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Pemuda dan Wanita Gerakan Ke-21 yang disempurnakan Pemangku Presiden parti itu, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Beliau mendakwa selama ini mereka hanya mengikut telunjuk Umno, diherdik serta dipijak pucuk pimpinan parti tunjang pemerintahan Barisan Nasional (BN) itu.
Bagus betul pemimpin kerajaan seperti Tan ini diletakkan di Kementerian Penerangan. Akan haru-birulah maklumat yang akan disampaikan nanti.

Kita lihat apa reaksi bos Gerakannya dan juga bos di Kementerian Penerangan.
Datuk Datuk Ahmad Shabery Cheek yang selama ini dilihat begitu memperjuangkan Melayu
Rupa-rupanya masih ada pemimpin dalam BN yang tidak sensitif asal usul Melayu.

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah memberikan amaran semalam bahawa Gerakan perlu bertanggungjawab dengan mengambil tindakan terhadap Ketua Wanita parti itu.

Ini kerana beliau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan hubungan komponen BN dan mewujudkan suasana tegang antara kaum.

Walaupun kenyataan itu mungkin bukan suara keseluruhan ahli Gerakan, pucuk pimpinan parti itu perlu sedar tindakan Tan tidak sepatutnya berlaku.

Beliau berkata, Tan patut mengambil iktibar daripada kejadian lalu apabila kenyataan yang menyinggung perasaan sesuatu kaum akan mencetuskan masalah besar dalam negara.

“Sebelum ini pada mesyuarat Majlis Tertinggi BN, semua parti komponen sudah dinasihatkan supaya mengelakkan kenyataan polemik yang boleh menjejaskan keharmonian BN atau yang menyentuh sensitiviti kaum, tetapi nampaknya ada yang tidak mahu mendengar nasihat itu," katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika menghadiri majlis hari raya di kediaman Ketua Pemuda Umno bahagian Parit Sulong, Zulkarnain Kamisan, di malam kelmarin.

Yang pasti, pucuk pimpinan Gerakan perlu mengambil tindakan supaya isu yang ditimbulkan Tan itu tidak terus diperdebatkan.

S ementara itu, Pengerusi Pertubuhan Pergerakan Perpaduan Islam Malaysia (PPPIM), Datuk Zulkifli Mohamad, mencabar Tan mengadakan perbahasan terbuka bagi membuktikan kebenaran bahawa orang Melayu adalah pendatang dari Sumatera, manakala penduduk asal negara ini hanya Orang Asli.

Katanya, mengikut fakta sejarah, penduduk asal negara ini memang masyarakat Melayu dan beliau meminta pihak yang membuat dakwaan itu mengkaji sejarah Kesultanan Melayu Melaka serta Sejarah Melayu.

“Gerakan cuba bermain api mempersoalkan kedudukan Melayu dan PPPIM sedia berbahas bersama mereka. Bukti yang paling nyata dapat dilihat dari segi gelaran asal negara kita iaitu Semenanjung Tanah Melayu sejak sebelum merdeka,” katanya.

Timbalan Pengerusi Majlis Muafakatan Melayu Kebangsaan (MMKMM) Profesor Datuk Dr Zainal Kling, berkata penyelewengan sejarah sedang ditanam oleh orang bukan Melayu.

Beliau berkata, sejak beribu tahun lalu, Semenanjung Tanah Melayu, Selatan Siam, Sumatera, sebahagian Kemboja, Vietnam Selatan, sebahagian Pulau Kalimantan dan Jawa barat digelar Kepulauan Melayu atau gagasan alam Melayu.

“Kita tidak boleh menyamakan sejarah moden dengan sejarah Melayu lama kerana penjajah Belanda dan British membahagikan empayar serta Kerajaan Malaysia, Indonesia dan Brunei,” katanya.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membidas kenyataan pedas Ketua Wanita Gerakan itu yang mendakwa asal-usul setiap kaum di negara ini adalah sama.

Sambil meluahkan rasa kesal mereka, rata-rata NGO ketika dihubungi Utusan Malaysia menyifatkan kenyataan Lian Hoe itu tidak masuk akal dan buta sejarah, selain menyentuh sensitiviti kaum di negara ini yang dikhuatiri boleh menjejaskan keharmonian yang terjalin.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Dr. Mohd. Hilmi Ismail berkata, tindakan Lian Hoe mengeluarkan kenyataan sedemikian secara jelas menunjukkan betapa ceteknya ilmu sejarah yang dimilikinya sehingga beliau berani mempertikaikan status orang Melayu sebagai penduduk asal di negara ini.

''Sama ada beliau tidak tahu atau sengaja tidak mahu tahu mengenai sejarah, itu saya tidak pasti, tetapi tindakan memutar belitkan fakta sejarah seperti apa yang dilakukan olehnya merupakan sesuatu yang tidak dapat dimaafkan,'' katanya.

Mohd. Hilmi mendakwa, perbuatan Lian Hoe itu secara tidak langsung menunjukkan beliau seolah- olah cuba mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu selain mencabar Perlembagaan Malaysia.

''Beliau patut sedar bahawa orang Melayu sudah berzaman berada di Tanah Melayu sebelum kaum Cina dan India dibawa masuk oleh pihak British.

''Tambahan pula, jika bukan kerana tolak-ansur orang Melayu, orang Cina dan India yang masuk ke negara ini ketika itu sudah pasti tidak akan mendapat taraf kerakyatan.

''Selain itu, sebelum Malaysia, negara kita juga dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu, justeru hak kaum Melayu tidak wajar dipertikaikan sama sekali,'' katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohammad pula menyifatkan, hanya orang yang buta sejarah sahaja yang gemar memutar-belitkan fakta sejarah sehingga mencetuskan kemarahan kaum lain.

Beliau berkata, dalam konteks ini, Lian Hoe sewajarnya sedar bahawa perbuatannya itu hanya akan mengeruhkan ketidakstabilan politik dan hubungan antara kaum di negara ini.

''Soal asal-usul tidak patut dijadikan senjata dalam agenda politik kerana kita khuatir ia akan hanya mengeruhkan lagi situasi yang dihadapi negara sekarang.

''Namun, apa yang dikesalkan, fakta yang dia berikan pun salah dan boleh dianggap macam orang buta sejarah, patut minta pakar sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim ajar semula dia subjek itu, mungkin baru faham,'' katanya.

Pendapat yang sama turut disuarakan oleh Kelab Pengundi Melayu Semenanjung Malaysia yang turut menyarankan supaya perkara tersebut diselesaikan dengan segera.

Presidennya, Mohd. Ariff Abdul Aziz berkata, semua rakyat mempunyai peranan masing-masing dalam menentukan keharmonian dan kemajuan negara.

Bagaimanapun, katanya, jika terdapat mana-mana pihak yang ingin bermain api menggunakan isu seperti itu lagi dan sekali gus memecah-belahkan perpaduan yang ada, kerajaan akan disaran agar bertindak tegas.

No comments: