Wednesday, July 26, 2017

Apa Yang Susah Sangat Nak Jawab Mengenai Kos Lawatan Rosmah?


Jawapan lisan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat semalam berhubung lawatan program PERMATA ke London dipersoalkan.

Ia tidak memuaskan hati  Anggota Parlimen Kulai Teo Nie Ching dan mempertikaikan jawapan berkenaan.

Malah, anggota parlimen DAP itu turut menganggap jawapan yang diberikan oleh Azalina sebagai 'jawapan sampah' kerana tidak menjawab soalan.

Apa masalah untuk menjawab soalan yang begitu mudah?

"Soalan saya, saya ingin tahu berapa kos lawatan ke London, butiran perjalanan dan apakah hasil lawatan Datin Seri Rosmah Mansor dan dua menteri lain ke London pada 4 hingga 10 Mei.

"Tapi bila saya terima jawapan, saya hairan dengan jawapan yang diberi Azalina.

"Dia (Azalina) langsung tak sebut berapakah jumlah yang dipersetujui oleh jemaah menteri.
Ini contoh yang sangat teruk. Ini jawapan yang "rubbish"," kata Teo pada sidang media di Parlimen semalam.


Dalam soalan bertulis, Teo meminta perdana menteri menyatakan kos, butiran perjalanan dan hasil lawatan penaung program PERMATA Datin Seri Rosmah Mansor ke London pada 4 hingga 10 Mei 2017 dengan diiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Azalina.

Jawapan yang diberi Azalina kepada Teo berhubung soalan itu pula ialah, kos yang terlibat dalam lawatan rasmi Rosmah ke Londonn adalah seperti mana yang dipersetujui oleh jemaah menteri melalui Memorandum Jemaah Menteri yang telah dibentangkan pada 26 April 2017 dengan menggunakan peruntukan sedia ada Jabatan Perdana Menteri.

Dalam jawapan bertulis itu juga, Azalina turut menyenaraikan lima program semasa lawatan rasmi tersebut serta empat hasil dan manfaat yang diperolehi daripada lawatan berkenaan.

Sehubungan itu, Teo mempersoalkan anggota parlimen Pengerang berkenaan kerana tidak memberitahu kos lawatan tetapi mampu memberi senarai manfaat semasa lawatan berkenaan.

"Kalau Azalina cukup yakin lawatan ke London memberikan hasil dan manfaat, kenapa tak boleh beritahu rakyat berapa banyak kos yang telah dibelanjakan?

"Memang semua orang tahu segala perbelanjaan perlu dilulus oleh jemaah menteri. Soalan saya hanya nak tahu kos. RM1 juta ke? RM2 juta atau setengah juta?
"Soalan mudah pun tak boleh beri jawapan," katanya.


Isu lawatan Rosmah ini pada 11 Mei lalu, turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku dari DAP, Lau Weng San apabila memohon pejabat perdana menteri untuk menjelaskan kos dan butiran perjalanan isteri perdana menteri, itu ke London.

"Khususnya antara 4 hingga 7 Mei kerana dua menteri kabinet yang sepatutnya mengiringi Rosmah dalam lawatan ke London tidak bersama dengan beliau dalam tempoh empat hari ini.

"Selain itu, tujuan saya menimbulkan soalan ini adalah kerana media Malaysia dan United Kingdom nampaknya kurang melaporkan aktiviti-aktiviti beliau selama seminggu di London.

"Maka, ada keperluan untuk pihak perdana menteri memberi penjelasan yang lebih lanjut terhadap kos perjalanan tersebut," kata Lau dalam kenyataannya.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, antara aktiviti Rosmah di London ialah menyampaikan ucapan serta merasmikan Majlis Nobel Minda atau Nobelist Mindset.

Selain itu, Rosmah juga menyaksikan majlis menandatangani dua Surat Hasrat (LOI) iaitu antara PERMATA Pintar dan Cambridge University, dan PERMATA Insan dengan Oxford Centre for Islamic Studies, University of Oxford.

Mengulas lanjut, Lau berkata, carian di internet hanya melaporkan kenyataan Kementerian Luar Negara yang dikeluarkan sehari sebelum Rosmah bertolak ke London.

"Carian di laman web The Royal Society of London serta carian di beberapa akhbar dan media UK tidak memberi apa-apa hasil carian," jelasnya.

Kalau setakat itu sahaja yang boleh dilaporkan media dalam dan luar negara sepanjang lawatan seminggu itu, tambah Lau, ia sangat sedikit.

"Seharusnya isteri perdana menteri perlu menghadiri sekurang-kurangnya satu program rasmi setiap hari dan semestinya perlu ada laporan atau liputan media hampir setiap hari daripada London berkenaan dengan lawaran tersebut," ujarnya lagi.

Menjawab persoalan Lau sebelum ini, pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor hari ini secara sinis berkata, selaku ADUN, Lau sepatutnya bertanggungjawab berhubung hal ehwal negeri dan bukan berkaitan Pusat.

"Anda seorang ADUN dan tanggungjawab anda adalah berkenaan hal ehwal negeri. Soalan-soalan yang anda tanya itu adalah berkaitan dengan Pusat dan boleh ditanya oleh anggota parlimen di Dewan Rakyat.

"Belajarlah mengenali tugas masing-masing, bukannya main sondol," kata Rizal. 

Tuesday, July 4, 2017

Kerajaan PAS Kelantan Didakwa Terlibat Dengan Syarikat Kutip Wang Haram

\

Kerajaan negeri Kelantan didakwa terlibat dengan operasi sebuah syarikat yang mengutip wang orang ramai dengan menjual token atau apa yang didakwa cryptocurrency.

Rakyat berhak untuk mengetahui sama ada langkah Climate Protector yang beralamat di Berek 12, Kota Bharu menggunakan kelulusan sejuta ekar Hutan Simpan Kekal (HSK) itu dengan mengutip wang orang ramai dengan menjual token atau apa yang didakwa cryptocurrency dipersetujui oleh Kerajaan Kelantan atau tidak.

Melalui status FBnya semalam, Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa mendakwa ketika berucap di majlis perjumpaan Aidilfitri, 2 Syawal (26 Jun), Menteri Besar Kelantan didakwa dengan bangganya sekali lagi bercakap mengenai projek 'bertaraf dunia' Kelantan - perniagaan karbon menerusi sejuta ekar HSK diluluskan kepada Climate Protector Sdn Bhd.

Menteri Besar dikatakan menyatakan perkara itu ketika berucap di majlis perjumpaan Aidilfitri, 2 Syawal (26 Jun)

“Sedangkan tiga hari sebelum itu katanya, iaitu pada 23 Jun, Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi laman webnya, menyenaraikan Climate Protector dan sekutunya, EcoBit sebagai beroperasi tanpa kelulusan, “ katanya.

Husam yang juga ADUN Salor menegaskan, kerajaan negeri Kelantan perlu mendedahkan tindakannya selepas Bank Negara menyenaraikan sebuah firma yang memeterai perjanjian dengannya untuk melindungi kira-kira 396,000 hektar hutan sebagai syarikat yang beroperasi tanpa kelulusan.


Husam berkata syarikat, Climate Protector Sdn Bhd, adalah salah satu dari empat syarikat yang dinamakan oleh Bank Negara menerusi satu senarai pemerhatian atau amaran kepada pengguna pada 23 Jun.

Senarai syarikat dan laman sesawang berkenaan tidak diberi kebenaran atau kelulusan di bawah undang-undang dan peraturan berkaitan yang ditadbir oleh Bank Negara.

Climate Protector memeterai perjanjian dengan kerajaan negeri Kelantan pada 9 Jan, 2017. Perjanjian itu meliputi tempoh 30 tahun.

Climate Protector dilaporkan sebagai "syarikat kredit karbon" pertama di Malaysia yang mendakwa teras perniagaannya adalah “inisiatif melindungi alam sekitar daripada pemusnahan hutan dan degradasi (REDD)."

Lima bulan lalu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata perjanjian dengan kerajaan negeri Kelantan itu bercanggah dengan syarat yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Mekanisme ini adalah berasaskan prinsip pembiayaan bagi jumlah pengurangan pelepasan gas rumah kaca dan tidak melibatkan mekanisme pasaran," kata Wan Junaidi.

Sehubungan itu, menurutya, semua kerajaan negeri digesa untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenai inisiatif REDD daripada Bahagian Pengurusan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di talian 03-88861140 atau melalui e-mel di aduannre@nre.gov.my bagi memastikan kesahihan maklumat mengenai inisiatif REDD.


Walaupun demikian, Husam berkata, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob, pada 26 Jun tidak memandang berat amaran Bank Negara itu.

Berikutan itu,  Husam berkata kerajaan negeri kini perlu tampil menyatakan tindakan seterusnya selepas Bank Negara mengeluarkan amaran itu.

Husam turut mengemukakan beberapa persoalan dalam isu ini:

Pertama, syarikat mengutip wang secara haram menggunakan kelulusan Kerajaan Negeri?

Kedua, orang ramai mungkin menjadi mangsa kepada skim penipuan?

Ketiga, syarikat mendapat untung percuma?

"Jika ya, adakah Kerajaan Kelantan turut menjadi mangsa atau bersubahat?," soal beliau.

Menurutnya selepas pendedahan ini, Kerajaan Kelantan perlu mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan negeri dan rakyat.

"Kala perlu kerajaan harus membatalkan perjanjian atau memberitahu orang ramai jangan terpedaya. Bagi rakyat mereka tidak harus berdiam diri seperti biasa.

"Kalau perlu patut membuat laporan polis, BNM dan SPRM," katanya.

Apa yang penting katanya, aset HSK Kelantan tidak tergadai, rakyat tidak mengalami kerugian dan kepentingan negeri dipelihara secara jujur, amanah, profesional dan cekap.

Husam berkata beliau akan mengadakan sidang media khas di Wisma Amanah Negara, Kuala Lumpur hari ini (4 Julai 2017, Selasa, jam 11.00 pagi) mengenai perkara itu.

Sumber - Malaysiakini & Malaysia Dateline

Thursday, June 29, 2017

Jangan Retorik - Apa 'Selling Point' AMANAH Untuk Yakinkan Pengundi?


Parti Amanah Negara (AMANAH) yang dikatakan bertujuan membawa Islam progresif dengan barisan kepimpinan yang alim dalam bidang atau kepakaran tertentu, wajar sekali menerangkan dasar atau polisi kenegaraannya yang punya identiti Islam yang inklusif.

Bukan ayat dengan perkataan ‘inklusif’ tetapi polisi bersifat (konsep) Islam inklusif.

AMANAH perlu membuktikan ia parti yang mempunyai polisi yang boleh menyatukan rakyat pelbagai bangsa, polisi yang boleh memurnikan ekonomi dan sosial.

Dengan kata lain, ia polisi yang praktikal dan releven.

Berikutan itu AMANAH tidak boleh terus menerus  beretorik serta  memaparkan diri mereka sebagai mangsa politik hubungan mesra antara PAS dan UMNO.

Jika setahun atau enam bulan lalu, mungkin retorik ini masih laku dijual. Tetapi sekarang dan pada masa hadapan, tidak boleh lagi.

Hentikan retorik bahawa AMANAH sebagai mangsa PAS demi memujuk sokongan rakyat.

Dalam isi suratnya kepada AMANAH, Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor Mahadzir Ibrahim  berkata. beliau  belum mendengar  butiran itu dinyatakan secara jelas dan konsisten.

“Bagi saya ini penting dalam proses membina atau membentuk imaginasi penyokong dalam memposisikan parti mereka jauh daripada politik intrik PAS.
.
Polisi ini tidak harus menjadi kitab yang sukar dibaca atau diterjemahkan kepada rakyat. Jangan harap rakyat mahu membaca apa yang anda tulis atau menyelidik buku-buku ilmiah anda,” kata beliau seperti di petik Malaysiakini semalam.

Menurutnya, polisi itu  harus menjadi zikir di setiap bibir pemimpin AMANAH dalam menghadapi kritikan mahupun membuat kritikan terhadap masalah negara, setiap masa.

Jika polisi-polisi ini sudah ada, ia perlu diterangkan secara lebih berkesan.

Surat Ahli DAP Untuk AMANAH

(Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor )


Parti Amanah Negara (AMANAH) ditubuhkan pada September 2015. Sejarah bagaimana ia tertubuh, semua yang mengikuti perkembangan politik sudah tahu. Tak perlu saya catatkan lagi.

Kita dapat lihat bagaimana sukarnya sesebuah parti mahu dibentuk. Bukan setakat masalah teknikal sebaliknya yang lebih sukar ialah untuk mengumpul pengaruh dan kekuatan.

Apatah lagi, AMANAH bukan diketuai oleh tokoh seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bukan soal Abang Mat Sabu tak popular, tetapi keterampilannya berbanding bekas PM dan TPM tidak ada padanya. Namun, dalam politik, itu bukan syarat mandatori untuk sesebuah parti itu berjaya.

Namun, sedikit sebanyak ia penting bagi mewujudkan faktor yang boleh menarik perhatian dan sokongan orang ramai untuk menyertai AMANAH.

Justeru, pada aspek ini AMANAH tidak perlu bersaing atau dibandingkan dengan parti seperti PKR (dengan ketokohan Anwar) atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan ketokohan Dr Mahathir atau Muhyiddin.


Maka, aspek apa yang sesuai bagi AMANAH untuk menapak kukuh dalam persaingan politik hari ini?

Apa perlunya hal ini dipersoalkan? Bukankah ini hal AMANAH? Kenapa saya sebagai ahli DAP menyibuk?

Hari ini AMANAH sudah tidak boleh memaparkan diri mereka sebagai mangsa politik hubungan mesra antara PAS dan UMNO. Jika setahun atau enam bulan lalu, mungkin retorik ini masih laku dijual. Tetapi sekarang dan pada masa hadapan, tidak boleh lagi.

Bergantung wala' dan retorik

Contoh terbaik, Anwar. Lebih 10 tahun imej Anwar sebagai mangsa kekejaman BN laku dijual atau berjaya mengolah sokongan rakyat. Tetapi hari ini, generasi yang lahir pada era 1990-an yang kini sudah layak mengundi, tidak dapat membeli imej tersebut.

Dr Mahathir bersama pembangkang pada hari ini, bukan kerana imej Anwar Ibrahim sebagai mangsa politiknya, tetapi sebab masalah korupsi kerajaan UMNO Najib Razak. Ini relevennya.

Maka, aspek ini juga tidak boleh lagi digunakan oleh parti AMANAH. Lupakan. Hentikan retorik anda sebagai mangsa PAS demi memujuk sokongan rakyat.

Justeru apa lagi yang boleh diprojekkan untuk menarik sokongan buat AMANAH?

Dari gaya (trend) politik PAS hari ini, parti mereka hanya bergantung dengan wala’ ahli-ahlinya dan juga retorik Islam yang mesra regim kleptokrasi atau ringkasnya Islam Kleptokrasi ala PAS.

Bagi saya inilah kelemahan PAS yang boleh menjadi kekuatan bagi AMANAH jika dapat dirumuskan dengan lebih cermat.


Saya belum mendengar konsep politik AMANAH yang dikatakan Islamnya lebih progresif berbanding PAS. Saya tidak mengambil hujah-hujah di ceramahnya kerana ceramah lebih bersifat retorik. Sesiapa pun boleh beretorik jika hari-hari berlatih depan cermin.

AMANAH yang dikatakan membawa Islam progresif dengan barisan kepimpinan yang alim dalam bidang atau kepakaran tertentu, wajar sekali menerangkan dasar atau polisi kenegaraannya yang punya identiti Islam yang inklusif.

Bukan ayat dengan perkataan ‘inklusif’ tetapi polisi bersifat (konsep) Islam inklusif.

Mengapa AMANAH penting

Polisi yang boleh menyatukan rakyat pelbagai bangsa, polisi yang boleh memurnikan ekonomi dan sosial. Polisi yang praktikal dan releven.

Saya belum dengar butiran ini dinyatakan secara jelas dan konsisten. Bagi saya ini penting dalam proses membina atau membentuk imaginasi penyokong dalam memposisikan parti mereka jauh daripada politik intrik PAS.

Polisi ini tidak harus menjadi kitab yang sukar dibaca atau diterjemahkan kepada rakyat. Jangan harap rakyat mahu membaca apa yang anda tulis atau menyelidik buku-buku ilmiah anda.

Sebaliknya polisi ini harus menjadi zikir di setiap bibir pemimpin AMANAH dalam menghadapi kritikan mahupun membuat kritikan terhadap masalah negara, setiap masa.

Jika polisi-polisi ini sudah ada, ia perlu diterangkan secara lebih berkesan.

Saya tidak tahu atau tidak mampu menjawab pertanyaan rakan-rakan, mengapa kita perlu berkawan dengan AMANAH dan mengapa ia penting.

Selain daripada jawapan dan hujah saya bahawa AMANAH menolak UMNO, GST dan regim kleptokrasi Najib, saya tidak mampu memberikan jawapan yang lebih jelas dan apakah selling point untuk meyakinkan pengundi atas pagar di kalangan orang Cina dan Melayu agar menyokong AMANAH kuat-kuat.

Balik kepada soalan tadi - ini adalah hal parti AMANAH dan kenapa saya sebagai ahli DAP nak menyibuk?

Naratif ini telah menjawab, mengapa saya "menyibuk" tentang hal parti AMANAH.

Dalam konteks Pakatan Harapan (PH) secara holistiknya, DAP, PKR atau PPBM memerlukan wakil AMANAH yang kuat dan cukup untuk membentuk kerajaan baru. Tanpa kekuatan yang cukup, perimbangan politik dalam PH akan terganggu.

Maka, dasar-dasar parti AMANAH yang jelas dengan identiti politik yang jitu, sangat-sangat diperlukan ketika ini. Bukan untuk PH sahaja, sebaliknya untuk AMANAH sendiri, malah semestinya untuk para pengundi.

Tidak semua pengundi akan memangkah HARAPAN kerana kebencian mereka kepada Najib Razak dan UMNO, sebaliknya saya yakin, lebih ramai daripada mereka mengundi kerana suka dan yakin dengan dasar dan identiti serta matlamat parti politik itu.

Pandangan saya tidak penting, yang  penting identiti politik AMANAH harus lebih jelas.